Refleksi Ramadhan #1 : Membaca Itu Adalah Kehidupan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Membaca itu adalah cahaya yang memberi kehidupan. Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/
Membaca itu adalah cahaya yang memberi kehidupan.
Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/

1 Ramadhan 1435H, jatuh pada hari Ahad 29 Jun 2014.

Di Malaysia, 1 ramadhan bermula pada hari ini. Manakala di negara-negara lain, sudah ada yang berada pada hari ke-2 ramadhan. Memandangkan ramadhan pertama jatuh pada hari ahad, saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di rumah, buat persiapan untuk kelas-kelas yang pertama pada semester ini. Bersedia untuk kesibukan sebagai seorang pelajar.

Saya khususkan hari ini untuk membaca buku dan melihat-lihat tajuk buku yang menarik serta mencari informasi mengenai buku-buku yang menarik minat saya yang bakal dibeli.

Apakah kalian percaya jika saya katakan bahawa, seorang Muslim dan membaca itu berpisah tiada? Percaya? Okey, let see.. Berapa ramai diantara yang sedang membaca blog ini suka membaca? Suka membaca yang membawa maksud, membaca itu adalah hobi dan aktiviti tertinggi dalam kehidupannya? Cuba angkat tangan.

Senyum.

Dalam kalangan kita, ramai yang suka membaca novel. Membaca komik bersiri, membaca majalah, membaca suratkhabar dan sebagainya. Ada juga dalam kalangan kita ini yang boleh dikatakan sebagai ulat buku. Betul? Alhamdulillah.

Namun sejauh mana sebenarnya kita mengambil serius akan hal pembacaan?

‘Bacalah!’ Itu Dari ALLAH

Umum tahu mengenai surah al’Alaq. Perintah daripada Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad untuk membaca melalui perantaraan malaikat Jibril semasa di gua hira’. Dan ‘pesanan’ daripada Allah Ta’ala itu tidak hanya untuk Rasulullah SAW sahaja, tetapi juga untuk sekalian umat manusia.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah al-‘Alaq : Ayat 1)

Tercatat dalam kitab sahih tafsir ibnu katsir, “Malaikat datang kepada baginda di gua itu, seraya berkata, ‘Bacalah!’

Rasulullah SAW menjawab, “Maka aku katakan, ‘Aku tidak bisa membaca.’ Kemudian baginda bersabda lagi, “Dia menarikku lalu mendekapku sehingga aku kepayahan. Kemudian dia melepaskanku. Maka dia mendekapku lagi hingga aku kelelahan. Kemudian dia melepaskanku lagi. Lalu ia berkata, ‘Bacalah!’ Aku menjawab, ‘Aku tidak boleh membaca.’ Maka dia tetap mendekapku untuk ketiga kalinya hingga aku kelelahan. Kemudian dia melepaskanku lagi, lalu dia berkata, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Saya tidak akan mengulas ayat-ayat al-Quran ini atau menafsirkannya, kerana saya bukan berada dalam bidang tafsir al-Quran. Namun apa yang hendak saya sampaikan sebenarnya adalah, perintah membaca itu telah wujud lama beribu-ribu tahun sebelum kelahiran kita, bukankah? Dan kalau kita sedar, seluruh isi dunia pada zaman sekarang ini mengiktiraf perbuatan membaca itu adalah sebagai perbuatan yang terpuji dan memberikan kejayaan kepada si pelakunya. Anda sedar atau tidak? Kalau tidak, silakan sedar.

Persoalannya, adakah kita orang-orang yang mengaku sebagai seorang Islam yang sejati ini mempunyai ciri-ciri seorang pembaca yang baik dalam diri?

Anak Muda dan Membaca

Saya melihat anak muda Muslim pada zaman sekarang. Dalam kalangan mereka, ada yang membaca itu adalah nafasnya. Atau dalam erti kata lain, memang buku, membaca dan dia tidak dapat dipisahkan. Good job! Namun tidak kurang juga wujud anak muda zaman sekarang ini tidak menjadikan membaca itu sebagai amalan.

Percaya? Ya, saya pernah saksikan dengan mata kepala sendiri.

Ada orang, hanya membaca silibus kuliah. Itupun dalam keadaan yang terpaksa. Kalau tak baca, ulangkaji dan faham subjek tersebut, potensi untuk gagal adalah besar. Nah! Nampak tidak peranan terbesar membaca disitu? Senyum.

Kita ini, kalau benar berjiwa hamba.. Kita tidak akan lokek waktu dan tenaga untuk membaca. Bahkan kita akan menjadikan aktiviti membaca itu sebahagian daripada diri kita. Dan kalau kita sebenarnya menganggap membaca itu adalah sebagai ibadah, maka kita tidak akan keberatan untuk berbuat demikian pun. Bukankah?

Saya cuma tertanya-tanya, bagaimana sesebuah bangsa itu ataupun dalam skop yang paling kecil, bagaimana seseorang itu akan berjaya tanpa membaca?

Saya kira, anak muda tidak patut memberikan alasan ‘MALAS’ sebagai alasan untuk tidak membaca. Saya akan menganggap alasan itu adalah yang paling aib sekali. Serius!

Bukan Kerana Manusia Yang Suruh

Saya dahulu, pernah beralasan.. Bahawa saya membaca pun kerana cikgu suruh. Saya membaca pun kerana mahu tahu ending sesebuah cerita. Saya baca pun, hanya buku komik yang berjilid-jilid (sehingga sekarang masih ada di rumah). Saya membaca pun, kerana suka sayalah mahu membaca atau tidak. Erkkk!

Bahan bacaan ilmiah? Langsung tidak ambil pusing. Bahan bacaan berupa biografi? Tidak pernah pandang. Bahan bacaan sesebuah bidang? Tak kerling pun!

Mungkin pernah diantara kita semua ini, yang seperti saya pada suatu masa dahulu. Atau mungkin ada yang sebenarnya memang lahir-lahir saja sudah menjadi ulat buku, maka tidak mengapalah. Sekiranya sudi untuk membaca entri ini, bacalah dan ambillah sekiranya ada manfaat yang sedikit.

Tetapi seiring waktu, saya jadi sedar.

Rupa-rupanya, masih banyak perkara yang saya tidak tahu. Semakin saya baca, semakin saya rasa saya tidak tahu apa-apa. Dan bahan bacaan, menjadi terlalu banyak untuk dihadam kerana dorongan rasa untuk mengetahui sesebuah perkara.

Saya mulai mendampingi buku-buku ilmiah — yang mana ada sesetengah kawan saya tidak suka membacanya. Alasannya, buku tersebut terlalu berat dan sesuai untuk orang-orang tua sahaja! Saya mulai menjadi seorang pembaca yang serius. Membaca, dan mencatat di atas kerta perkara-perkara yang saya tidak tahu. Lalu saya akan mencari orang-orang yang lebih arif. Dan saya akan bertanya lagi, lagi dan lagi.

Makanya, saya sesekali tidak akan menerima alasan yang mengatakan membaca buku tanpa guru sebenarnya adalah berguru dengan syaitan. What the?!

Mungkin sudah tiba masanya, untuk kita perlu sedar.. Bahawa membaca itu bukanlah perintah atau sekadar suruhan dari manusia sahaja. Tapi kita perlu set kembali dalam minda kita bahawasanya, membaca itu adalah perintah dari Allah SWT!

Masih belum terlambat,
untuk membaca kerana Allah.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *