Ramadhan #5: Yang Teruji

..yang ada sesuatu dalam hidupnya.

Orang-orang teruji yang sedang berada di seluruh dunia.

Sementara kita tiada rehat atau cuti dari sesuatu yang bernama ujian dari pelbagai sudut dalam hidup, ujian yang kecil mahupun yang besar. Ala kulli hal, bulan ramadhan ini tanpa mahu menipu diri sendiri adalah bulan kerehatan kepada jiwa. Bulan yang saya rasakan bahawa mungkin kebanyakan orang sedang cuba untuk menumpukan perhatian kepada diri sendiri dan ibadah kepada Allah. Yang masih memikirkan ujian namun tidak menjadi lemah dengan kehadirannya.

Orang-orang yang bercelaru jiwanya. Yang terlalu memikirkan masa-masa terkedepan dan membayangkan apa yang sedang menunggunya dimasa depan. Yang antara berani, bahagia dan resah untuk meneruskan langkah kerana takut akan sesuatu yang tidak diingininya terjadi. Saya suka untuk nasihatkan diri saya sendiri, tiada apa yang kita boleh lakukan selain sudah melakukan yang terbaik. Masa itu bukan kita yang mengawalnya. Manusia juga begitu. Jauh sekali untuk kita dapat mengawal manusia. Melainkan kita sendiri yang perlu mengawal dan memastikan bahawa diri kita sendiri masih on track.

Keresahan si ibu dan bapa yang umurnya semakin meningkat senja, namun masih terus memikirkan anak-anaknya. Kerisauan sentiasa dihati mereka tentang bagaimana mereka akan menjaga diri mereka, hubungan mereka sesama adik beradik, dan peranan mereka sebagai seorang anak apabila kelak si ibu dan bapa kembali kepada Maha Pencipta. Resahnya si ibu dan bapa walau gembira melihat anak-anaknya membesar sihat, tapi selalu saja pandangan mereka terhadap anak-anak mereka itu, anak-anak tetaplah anak mereka yang masih kecil seperti suatu ketika dahulu.

Tongkahan dagu si suami beserta bebanan dibahu dan dalam jiwa tentang bagaimana untuk dia menanggung keluarga kecilnya yang semakin hari semakin bertambah keperluan dan belanja. Bebanan mindanya penuh dengan kekhuatiran tentang bagaimana dia mahu memberikan pendidikan kepada anak-anaknya tanpa mahu berhutang dan meminta-minta. Bebanan jiwanya yang paling terasa, betapa mahunya dia menyediakan keselesaan kepada keluarga kecilnya.

Hiba seorang anak yang melihat ibunya sakit menanggung ujian nikmat kesihatan yang baik yang semakin ditarik oleh Tuan Punya Dunia. Bagaimana robek dan terluka yang sangat dalam jiwanya apabila setiap kali melihat ibunya terbaring dengan penuh kesakitan. Sehingga suatu saat, berkali-kali dia memohon kepada Allah, biar Allah memindahkan kesakitan itu kepadanya lalu biar Allah memulihkan ibunya kembali sihat seperti sediakala. Di penjuru hospital, dia berdoa perlahan. Ya Allah, jangan Engkau ambil ibuku. Aku belum siap melepaskan dia. Biarkan aku yang meninggal terlebih dahulu, kerana aku tidak sanggup hidup tanpa ibuku.

Tentang sebuah keluarga yang tayangan mata mereka adalah keganasan, hujan peluru, dentuman bom yang berjatuhan, serta penindasan kepada ribuan keluarga yang keadaannya seperti mereka. Tiada yang menginginkan kehidupan yang tidak aman seperti ini. Tiada ibu dan bapa yang mahu anak-anaknya menangis ketakutan di tanah sendiri. Tiada seorang ibu yang sanggup meriba anaknya yang diambang sakaratul maut. Dan tiada seorang ayah yang dengan rela mengebumikan anaknya dengan tangannya sendiri. Tatkala diangkatnya ke liang lahad, dia teringat sewaktu anaknya masih bayi disaat dia mendukungnya buat pertama kali. Maka saat dia meletakkan jasad anaknya di atas tanah, dia terkenang bagaimana dia menidurkan anaknya yang kini tanpa nyawa suatu ketika dahulu mendodoinya lalu menidurkannya di atas tilam.

Sekarang.. Kita sahajakah yang ada ujian dalam hidup? Kita sahaja yang berduka?

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *