Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Pengenalan : Projek Edaran Al-Quran Terjemahan Percuma

Bismillahirrahmaanirrahiim.

– Projek Memberi Kasih –

Projek Memberi Kasih - PKM

Nota Kepala :
(1) Keutamaan diberi kepada non-Muslim atau bagi yang duduk di negeri Sabah dan Sarawak.
(2) Setiap penyertaan hanya akan mendapat se-naskhah sahaja.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;”
Surah al-Baqarah : Ayat 2

Orang yang ingin mencari Allah dan ingin mengenali Allah, maka tidak gugur kewajiban ke atas dirinya untuk mendekatkan diri serta memahami erti kata-kata Allah Ta’ala di dalam al-Quran. Dan bagi sesiapa yang mencari kebenaran, maka al-Quran adalah jawapan yang benar.

Hidup tanpa panduan ibarat layang-layang yang terbang terputus tali – mungkin pada awalnya ia akan terbang di atas awangan, mengikut arus angin yang kuat. Dan akhirnya, akan rosak apabila mendarat dan mencium dada bumi – mungkin tersangkut di dahan pokok, lalu terkoyak. Mungkin juga akan jatuh ke dalam api yang sedang marak.

Begitulah ibarat kehidupan tanpa berpegang pada kebenaran (al-Quran).

Apakah Projek Al-Quran Terjemahan Percuma?

Sebenarnya projek ini tercetus apabila pada tahun lepas, saya membuat edaran buku percuma. Dan alhamdulillah mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya yakin, memang ramai orang Islam yang suka membaca. Dan kerana itu, saya terfikir bahawa, kenapa tidak saya membuat edaran Al-Quran terjemahan percuma? InshaAllah, lebih baik.

Pada mulanya, saya juga samar-samar dalam membuat perancangan ini. Tetapi alhamdulillah, setelah membuat perkongsian di laman FACEBOOK mengenai hal ini dan membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan dana, alhamdulillah ada beberapa orang hamba Allah turut bermurah hati berkongsi rezeki.

Maka itu adalah amanah.

Zaman ini adalah zaman fitnah. Akhir zaman yang tidak diragui akan timbul pelbagai perkara-perkara yang membuatkan manusia berpaling dari arah kebenaran. Dan tidak kurang juga ramai manusia makin melupakan Tuhan. Apa puncanya? Kerana kurangnya berpegang pada panduan kebenaran yang Islam telah sediakan.

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
A-li ‘Imraan : 104

Saya tidak mahu al-Quran menjadi asing pada ummah ini.

Bagaimana Cara Mahu Menyertai/Menerima Al-Quran Terjemahan Ini?

Anda yang berminat memiliki al-Quran terjemahan ini dan ingin mencintai al-Quran kerana-Nya, atau anda mahu menghadiahkan kepada orang lain kerana-Nya, maka anda perlu menghantar melalui emel ke alamat emel ini:

contact

Apa yang perlu anda sertakan di dalam emel tersebut ialah :

1 – Kenapa anda mahu mendapatkan al-Quran terjemahan tersebut.
2 – Apakah jaminan anda untuk memanfaatkan al-Quran terjemahan tersebut.

Tulislah dengan elok sebab-sebab anda mahu mendapatkan al-Quran terjemahan ini. Orang yang beradab dan orang Islam itu kemas dan tertib. Dan sesudah menghantar emel, anda perlu komen di ruangan komen entri memaklumkan anda telah menghantar emel.

Bagi yang bertuah;
Saya akan menghubungi anda kurang dari 24 jam dari tarikh anda menghantar emel.

Peluang Untuk Menyumbangkan Dana

Saya membuka peluang kepada sesiapa yang berhajat untuk berkongsi rezeki bagi menampung dana untuk projek pengedaran al-Quran terjemahan percuma ini. Kenapa saya perlu membuka peluang untuk orang menyumbang?

Pertama, saya masih seorang pelajar. Dan saya kira ini adalah salah satu cara atau jalan untuk saya membuat kebaikan kepada sesiapa yang mahu membuat kebaikan.

Kedua, setiap duit sumbangan yang diberikan akan saya gunakan untuk membeli Al-Quran terjemahan untuk diedarkan. Dan jika merasa perlu bagi pihak si penyumbang, saya boleh menghantar invois sebagai bukti untuk diberikan.

Bagi sesiapa yang berbesar hati untuk menyumbangkan, boleh menghubungi.

Rasulullah SAW pernah berpesan dalam khutbah terakhir Baginda :

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.” al-Hadis

Penutup : Harapan Paling Dalam

Al-Quran sepatutnya adalah sebuah kitab yang kita tidak malu memegang dan membacanya di khalayak ramai, begitulah sepatutnya. Dan sebuah kitab yang seharusnya kita bangga kerana memilikinya dan kita boleh ceritakan kelebihannya kepada orang lain.

Apabila anda-anda yang bertuah mendapat al-Quran terjemahan ini pada masa akan datang, bacalah. Jadikan ia sebagai teman dan sahabat yang baik, selalulah baca. Dan janganlah jual, simpan dan manfaatkannya. Panduan kehidupan kita di dunia ini, ada di dalamnya. Belajarlah untuk meneroka keindahan dalam agama Islam itu sendiri.

Semoga bermanfaat dan dirahmati Allah SWT.

2 Comments

  1. syahida bt ismail says:

    dengan nama ALLAH yg maha pemurah lagi maha penyayang……..
    saya mahukan senaskah Al-Quran sebagai pembimbing dan pelindung saya di dunia dan di akhirat kelak… sy ingin mendalami Al-Quran dan sy tidak mahu dilaknat oleh Al-Quran diatas bacaan sy yg salah….
    terima kasih
    assalamualaikum 🙂

    [Balas Komen]

  2. Norain says:

    Subhanallah, semoga Allah merahmati mu.
    Saya inginkan sebuah Alquran terjemahan, syukran!

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *