Yang Berlalu, Biarkan Berlalu

Sahabat Selalu Senang Apabila Bersama

Dua sahabat karib itu sejak berada di Tingkatan 3 sudah sering bersama. Azam dan Amirul, ibarat sepasang kekasih atau belangkas bila dilihat orang. Sewaktu berada di Tingkatan 5, mereka berdua mengambil keputusan untuk menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan sekolah mereka bersama seorang rakan baik mereka, Arif.

Keputusan mereka itu tidak dibantah oleh kedua orang tua mereka. Mungkin saja kedua orang tua mereka memberi kepercayaan kepada mereka bertiga untuk tinggal berdikari bersama. Namun begitu, jika tiada aktiviti atau ada waktu terluang, mereka akan balik ke rumah masing-masing untuk bersama keluarga.

Arif adalah anak tunggal. Kedua ibu bapanya ada di Tawau, manakala dia di Sandakan tinggal bersama pakcinya. Azam pula adalah anak bongsu daripada 5 adik-beradik. Kedua ibu bapanya adalah orang yang agak berpengaruh di Sandakan. Pun begitu, dia tidak menyombong diri. Malah penampilan serta pergaulannya dengan rakan-rakan sekolahnya seperti biasa sahaja. Manakala Amirul Hamzah atau Amirul pula adalah anak kedua daripada 3 adik beradik, dan dia satu-satunya lelaki. Amirul berasal daripada keluarga yang berpegang kuat dan mengamalkan Islam, dan di antara mereka bertiga, keluarga Amirul adalah keluarga yang agak berada. Amirul berasal dari Semenanjung, tetapi telah berpindah ke Sandakan mengikut keluarga. Dan dia terpaksa berhenti dari Sekolah Agama lalu menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Swasta As-Salam Sandakan.

~~~~~~~~~~

“Amirul.. SPM tinggal 3 bulan je lebih kurang kan. Saya macam tak yakinlah, Mir. Rasa belum cukup kuat lagi usaha ni,” keluh Azam.

Amirul hanya diam. Menunggu Azam menutur kata seterusnya.

“Lagi satu, saya takut. Dulu saya banyak buat dosa. InshaAllah, Allah balas balik semua perbuatan saya. Saya gagal dalam SPM. Na’udzubillah..!” luah Azam lagi. Kali ini diikuti dengan gerakan tangannya mengurut dada dan menyapu dahi.

“Hehe. Azam.. Azam. Allah itu tidak zalimlah, Akh. Kita sekarang hanya mampu berusaha dan buat terbaik je. Sama ada gagal atau tidak, itu urusan Allah. Allah Maha Segala-galanya! Yakin dan Ingat!” Azam tersenyum sambil membuat gaya ‘peace’.

“Iyalah, Mir. Tapi, saya takkan pernah lupakan kisah salam saya dulu.. Rasa jijik je. Masih ingat tak macam mana saya layan awak dulu? Teruk kan? Kadang-kadang bila fikir balik, saya malu sangat dengan awak. Awak baik.. Saya jahat, penuh dosa. Jijik! Mir.. Allah ampunkan tak saya atas dosa-dosa saya dulu?” kelopak mata Azam kelihatan berair. Tangannya memegang tangan Amirul.

Amirul menggenggam tangan Azam. Dia tahu sahabatnya yang satu itu masih dihantui kisah silam. Manakan tidak. Seorang budak perempuan sanggup membunuh diri dengan meminum racun kerana Azam memutuskan hubungan mereka. Kenapa perempuan itu bunuh diri meminum racun, kerana putus cinta hanya mereka yang ketahui. Mak bapa budak perempuan itu hanya menyangkakan bahawasanya anak mereka tekanan lalu membunuh diri. Tetapi bagi Amirul, itu bukan salah Azam. Budak perempuan itu yang hilang pertimbangan. Sedih juga Amirul apabila terkenangkan.

Malam itu, Amirul tidak dapat berkata apa-apa. Dan seperti biasa, jika dia tidak dapat memberi nasihat melalui lisan kepada sahabatnya, Azam. Dia akan menulis di websitenya tentang persoalan yang Azam ajukan. Cuma, Amirul akan menulis secara umum. Dan Azam faham benar akan cara sahabatnya itu.

~~~~~~~~~~

Azam sudah kembali ke dalam biliknya sendiri. Dia membuka komputer riba dan mengunjungi laman sesawang Amirul.

“Erm.. Belum ada entry baru pun. Selalunya waktu macam ni dah ada. Cepatlah, Mir. Cepatlah!” gesa Azam di hadapan komputer ribanya. Lucu benar gaya Azam.

Sementara Amirul di sebelah pula sibuk menarikan jari di atas papan kekunci komputer ribanya.

“Alhamdulillah. Dah siap. Ya Allah.. Semoga tarian tangan yang Kau benarkan ini bermanfaat buat orang lain,” lalu Amirul meng’click’ butang PUBLISH.

Dan kelihatan Azam sedang khusyuk membaca sesuatu dihadapan komputer ribanya. Kelihatan kelopak matanya berair. Sekejap dikelip-kelipkan untuk menghilangkan takungan air di matanya. Dan sekejap lagi bertakung. Akhirnya, airmatanya jatuh tepat ke atas papan kekunci.

—————————————————————–

Tajuk Entri : Yang Berlalu Biarkan Berlalu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Memikirkan sahabat kecintaan saya. Saya begitu cinta padanya. Dan kalau boleh, inshaAllah.. Saya hendak sama-sama melangkah ke dalam syurga ALLAh bersamanya. Indahnya berdamping dengan dirinya kerana cinta kepada ALLAh. Dan sekarang sahabat saya dirundung duka. Secara automatiknya saya juga turut sedih. Namun saya harus kelihatan kuat dihadapannya, kerana saya nak jadi seorang sahabat yang dia boleh harap kepada saya, inshaAllah.

Dan entri terbaru ini.. Terbit kerana cinta kepadanya.

Semua dari kita punya masa silam. Ada sejarah yang gembira dan bahagia, tidak kurang juga yang tidak gembira lagi menyedihkan. Ada yang tertawa di masa lalunya, ada yang menangis di masa silamnya. Semuanya ibarat berlawanan dengan masa sekarang bagi mereka yang ingin berubah. Namun, apapun corak masa lalu kita. Hakikat yang perlu kita hadapi sekarang adalah HARI INI dan KEHIUDAPAN KITA PADA HARI INI.

Diri saya sendiri juga mempunyai kisah silam. Tidak perlulah saya ceritakan. Tapi saya bersyukur dengannya. Kerana ALLAh membenarkan saya melalui masa silam saya seterusnya inilah hidup saya hari ini.

Adakalanya kita akan mengingati masa lalu. Boleh jadi membayangkannya seperti kita masih dan sedang berada diwaktu itu. Benar-benar seperti berada di masa silam. Bagi saya sendiri, sekali-sekala ingat pada masa yang lalu itu tidak salah, meskipun ada yang pahit tapi saya pasti, pasti ada pengajaran yang boleh diambil darinya.

Namun, sedih dan menangisi masa yang lalu adalah satu tindakan yang sia-sia. Kadang-kadang, jika kita asyik mengingatinya dan seperti tidak berada dalam kehidupan hari ini, ia boleh menjadi sesuatu wabak yang boleh membunuh cita-cita yang sudah kita tanam dan niatkan di dalam hati. Dan akhirnya, semua usaha akan menjadi sia-sia.

Seharusnya, kisah silam yang penuh dengan kesedihan itu ditutup dan dikunci rapat selama-lamanya dalam peti lupa. Kemudian diikat dengan tali yang kuat dalam penjara kelalaian, sehingga tidak akan terlepas selama-lamanya.

Kedukaan yang dihadapi oleh jiwa sekarang tidak perlu dikembalikan oleh kenangan lalu. Kesedihan kita hari ini tidak perlulah kita bazirkan untuk memperbaiki masa lalu. Kerana masa dan kenangan yang lalu itu tidak akan dapat pernah dibaiki oleh manusia biasa pun. Apa yang kita perlu hadapi ialah apa yang akan berlaku pada esok harinya. Mengapa perlu berusaha untuk kembali ke masa lalu dan mencuba menebus kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan? MashaAllah. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Bukankah ALLAh SWT pernah berfirman :

“Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu? Dan kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu..”


[Al-Insyirah : 1-2]

ALLAh SWT dengan sifat Pengasih-Nya memberikan kita masa lalu untuk merasai masa hadapan, yakni waktu yang kita lalui sekarang dan waktu-waktu yang akan datang. Justeru, apakah mungkin kita semua akan tetap berada di episod silam? Tidak kan?

Masa yang telah berlalu sudah berakhir. Hal yang demikian tidak akan membawa kebaikan atau untung sedikitpun kepada kita jika ianya hanya akan membuatkan kita jauh di belakang berbanding dengan insan-insan lain yang terus melangkah ke hadapan. Ianya tiada faedah sedikitpun malah lebih kepada mengundang perasaan putus asa dalam diri sendiri.

Apakah orang Islam seperti kita ini bertindak sedemikian rupa?

“…Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”


[Al-Insyirah : 6-8]

Wahai sahabat.. Yang berlalu biarkan berlalu. Kamu masih punya hari esok yang panjang untuk ditempuhi. Yakin akan peraturan ALLAh. Kita cuba sedaya habis buat yang terbaik dalam hidup. Semuanya kerana ALLAh. Kerana hendak ALLAh memandang kita dengan rahmat dan redhanya.

Wahai sahabat.. Janganlah dirimu berduka. Bukan kesalahan akan apa yang terjadi. Anggap ia suatu pengajaran yang membina jati diri. ALLAh masih memberi peluang hidup kepada kita untuk berbakti. Untuk apa terkenangkan pada perkara yang hanya membantutkan perjuangan kita esok hari?

Dan ketahuilah wahai sahabat.. Saya sentiasa berada disampingmu walaupun kita jauh terpisah dek jarak. Kerana ALLAH yang mempertemukan kita dan semestinya DIA punya rancangan yang besar akan setiap pertemuan itu.

YAKINLAH! Melangkahlah dengan penuh berani! Wallahu’alam.

Semoga ALLAh merahmati.

————————————————————–

Airmata Azam mengalir membaca entri tersebut. Ditambah dengan komen-komen pengunjung setia blog Amirul, hati Azam bertambah sayu dan sebak. Seakan ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Dalam pada masa yang sama, dirinya berkobar-kobar untuk berjuang pada hari esok. Dia menyilang tangan sambil bertutur memohon kepada ALLAh agar dibantu setiap langkahnya ke arah kebaikan.

Dalam hatinya. Dia berterima kasih kepada Amirul. Setiap entrinya dalam blog walaupun hanya cerita peribadi semata-mata, pasti cepat menyentuh hatinya. Kepada Allah dia panjatkan kesyukuran menemukan Amirul yang sangat menjaga hubungan dan adab dalam persahabatan. Malah sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk membantunya selama ini.

Hendak diikutkan hati, mahu sahaja dia berlari ke dalam bilik Amirul dan memeluk Amirul erat-erat. Tetapi memandangkan sudah larut malam, pasti Amirul sudah menyambung mengulangkaji atau melakukan Qiam.

“Terima KAsih ya ALLah menghadirkan sahabat sepertinya untukku,” Azam meraup muka. Tersenyum…

Yang Berlalu, Biarkan Berlalu.

4 thoughts on “Yang Berlalu, Biarkan Berlalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *