Yakin Meneruskan Perubahan

Adakalanya mata yang terbuka itu belum tentu melihat.

*ditemani dengan instrumental ‘Selamat Pagi Cinta’.

Ramai yang maklum bahawa melakukan perubahan itu adalah sesuatu yang tidak mudah. Sungguh. Kerana perubahan itu ibarat berpindah dari satu tempat yang kita dah biasa sangat di tempat itu, lalu berpindah ke satu daerah lain yang kita masih terkapai-kapai memahami keadaan persekitaran.

Itu memang tidak mudah.

Tetapi, tidak mudah itu tidak bererti ‘tidak boleh’. Setiap pekerjaan, hatta dalam pembelajaran, bermulanya dengan sesuatu yang terasa agak sukar. Lalu perkara itu menjadi mudah, dan menjadi sukar kembali serta begitulah seterusnya.

Hidup ini adalah perjalanan.

Teruk; Tiada Peluang

Pernah terasa bahawa diri sendiri sungguh-sungguh sudah tidak ada peluang? Pernah tertunduk menangis sebab merasakan diri sangat-sangat teruk tidak dapat membuang sifat atau perangai yang kurang elok dan membawa kepada terbuatnya keburukan?

Pernah merintih kepada Tuhan, sakitnya perubahan?

Saya sangat yakin. Orang-orang yang sedang dan pernah melakukan perubahan terbesar dalam hidupnya pernah merasai keadaan seperti di atas.

Hei, pernah tertanya-tanya? Kenapa perlu melakukan perubahan dari keadaan diri yang sekarang kepada sesuatu yang kita katakan lebih baik, padahal perjalanan menuju perubahan itu sangat menyakitkan. Malah mengganggu keselesaan hidup yang senang.

Sebab, hati itu memahami keadaan kamu. Malah hati itu yang menuntun kamu melakukan perubahan. Hati itu yang fitrahnya suci, mahu kamu dekat kepada Tuhan.

Kerana kamu memang memerlukan Tuhan.
Kamu sangat rasa kamu perlu berubah untuk dekat kepada Tuhan.

Teruskan Berjalan Kepada-Nya

Mungkin, kadang-kadang kamu merasa bahawa tiada orang memahami kamu. Tiada orang yang merasai apa yang kamu rasa. Bahkan, akan ada waktunya kamu akan merasa bahawa orang-orang yang terdekat dalam hidup kamu tidak ada untuk kamu bila kamu memerlukan mereka. Ingatlah, itu antara ujiannya.

Saya pernah merasa dan masih sedang merasai. Senyum.

Kerana hidup ini sebuah perjalanan, maka perubahan itu sentiasa berlaku dalam kitaran hidup. Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Kawan, kita memang tidak sempurna. Dan bukanlah untuk melakukan perubahan itu membawa maksud bahawa dirilah yang paling baik, atau dirilah yang sangat sempurna. Tetapi perubahan itu untuk membentuk diri menjadi manusia yang bermanfaat. Kerana itulah sebaik-baik manusia di atas muka bumi.

Saya cuma nak cakap yang, kamu tidak bersendirian. *tepuktepukbahudia

Ada ramai lagi yang sedang mencari jalan pulang. Maka kita yang sedang merangkak ini, teruskanlah perubahan. Bisikan dengki serta celahan orang lain itu adakalanya menyakitkan. Tetapi, senyum sajalah. Apa yang penting, diri kamu tahu atas nawaitu apa kamu melakukan perubahan. Dan mengapa kamu perlukannya.

Yakinlah. Teruskanlah perubahanmu itu. *rangkulbahudia

Pssst! Percaya tidak yang, kita boleh berganding bahu hatta berjauhan?
Boleh. Lewat doa-doa yang kita kirimkan pada Tuhan.
Dia ada. Dia Mendengar. Dia Melihat. Siang dan Malam.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *