Titisan Bahagia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Happiness

Jiwa yang begitu kecil, pasti akan merintih dimanakah kebahagiaan yang sepatutnya untuk dirinya tatkala Tuan Punya Dunia memberi suatu ujian. Jiwa yang akan bertanya berkali-kali, mengapa Tuhan tidak memberikan kebahagiaan, sebaliknya hanya memberikan kesengsaraan. Tiada langsung kebahagiaan.

Sebagai manusia, memang selalu tersilap menilai sesuatu.

Betapa banyak sebenarnya jalan-jalan kebahagiaan yang diberikan kepada manusia. Namun, manusia tidak dapat melihatnya lantaran dek makna bahagia yang terlalu kecil bagi sesetengah manusia.

Arah kebahagiaan?

Yang Terlihat Oleh Pancaindera

Dulu semasa zaman kanak-kanak saya, erti bahagia bagi saya adalah; dapat tinggal dengan kedua ibu bapa dan semua adik beradik. Ada rumah yang besar dan kami bahagia di dalamnya dengan saling memahami dan bergelak tawa, usik-mengusik, hormat menghormati. Memang, apabila difikirkan memang bahagia sungguh.

Sekarang, seiring dengan pertambahan umur yang hakikatnya semakin pendek umur, saya mengerti. Bahagia itu bukanlah hanya seperti yang saya gambarkan pada waktu kecil dahulu. Ada benarnya, namun skop bahagia bukan hanya itu sahaja.

Sebagai manusia, yang tiada masalah atau jarang-jarang berhadapan dengan masalah itu adalah bahagia. Yang tidak selalu pening memikirkan hal itu ini juga termasuk dalam bahagia. Yang selalu tersenyum itu juga bahagia. Jarang sekali manusia akan menganggap bahawa tangisan itu adalah bahagia.

Tersangat jarang!

Juga sesetengah manusia akan berfikir seperti ini; kesenangan di dunia itu adalah bahagia~! Terpulang pada diri sendiri. Mungkin ada yang bahagia dengan cara itu dan ini. Namun yang pasti, bahagia itu bukan dinilai berdasarkan zahir semata-mata.

Terlalu banyak sebenarnya lorong-lorong bahagia yang ALLAh Ta’ala berikan!

Titis Bahagia Yang ALLAh Berikan

Apakah pada derita seseorang itu tiada derita? Pernah terfikir tak?

Saya kira, kita semua akan berfikir bahawa hidup seseorang yang sering dilanda ujian demi ujian itu tiada kebahagiaan. Apatah lagi apabila kita melihat penderitaannya dengan kedua biji mata kita. Mungkin kita akan melafazkan perkataan ‘kasihan’.

Macam mana ya nak cakap? Kita ragu pada kuasa ALLAh-kah?
Bukan ragu. Cuma begitulah sifat kemanusiaan yang ada pada manusia.

Apa yang saya hendak sampaikan adalah, sebenarnya bahagia yang selalu manusia pinta itu sering ALLAh berikan dalam kehidupan seharian manusia. Baik perkara kecil mahu pun perkara besar. Baik yang disedari mahu pun tidak.

Saya berikan contoh. Keterlaluan atau tidak kalau saya kata, saya bahagia berjumpa dengan orang yang baik hati walhal saya tidak kenali orang itu. Hanya sempat berurusan sekejap sahaja dengannya. Hati saya menjadi senang malah berbunga.

Tahu apa yang berlaku saat itu?

Itulah antara kebahagiaan. ALLAh Ta’ala mengizinkan kita kenal dengan kawan-kawan yang baik dan sanggup berkongsi gembira dan masalah dengan kita juga adalah satu kebahagiaan. ALLAh izinkan kita berurusan dengan orang-orang yang jujur juga adalah bahagia.

Tapi kadang-kadang, bahagia yang sebegini manusia tidak akan nampak. Skop bahagia bagi manusia, apatah lagi yang sedang berhadapan dengan ujian, sangatlah kecil erti bahagia itu.

Selalunya, bahagia pada manusia yang sedang berjiwa kecil pada saat itu hanyalah bahagia yang dimana ahli keluarga dan para sahabatnya menumpukan perhatian kepadanya sambil membelai perasaan dan memujuk serta memberitahu kepadanya bahawa mereka semua ada untuknya.

Anda dapat tak? Senyum.

Bahagia Dunia Tidak Kekal

Sebagaimana dunia ini, begitu juga bahagia yang didefinisikan atas dasar keduniaan. Semuanya tidak akan kekal lama. Mungkin, hanya akan ditinggalkan di dunia. Dan tidak pula terbawa sehingga hari akhirat.

Manusia biasa, apabila lemah, sangat jelek erti kebahagiaan bagi mereka!

Mungkin di sini, saya hanya dapat berikan contoh yang tidak jelas. Bagaimana kebahagiaan-kebahagiaan yang ALLAh Ta’ala berikan itu datang dari pelbagai arah, sama ada yang disedari atau tidak.

Moga anda yang membaca, lebih faham dan dapat memahamkan saya.

Saya tidak menulis mengenai hakikat kebahagiaan di sini. Senyum.

Saya tiba-tiba jadi mahu menulis tentang ini lantaran tidak dapat tidur sepanjang malam dan sekejap sahaja lagi masuk waktu solat. Artikel yang lebih kepada diri saya untuk difikir dan direnungkan.

Bahagia bagaimanakah bahagia itu bagi anda?

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Titisan Bahagia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *