Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Tentang Keinginan Bunuh Diri EP2

Mungkin kau pernah terfikir untuk bunuh diri. Sehingga kau sedar bahawa kau takut untuk berjumpa dengan Tuhanmu dalam keadaan kau meragut sesuatu yang bukan hakmu. Credit Picture : http://pre15.deviantart.net/

Mungkin kau pernah terfikir untuk bunuh diri. Sehingga kau sedar bahawa kau takut untuk berjumpa dengan Tuhanmu dalam keadaan kau meragut sesuatu yang bukan hakmu.
Credit Picture : http://pre15.deviantart.net/

“Aku tahu kau takkan bunuh diri. Kalau kau sudah terlalu nekad, kau takkan fikir dua tiga kali untuk terjun. Kau kena percaya, Allah SWT sayangkan kau. Kau rebutlah peluang dalam hidup ni. Buang jauh-jauh fikiran negatif hendak bunuh diri. Kau masih muda, banyak lagi kejayaan menanti kau..”

“Tak guna aku hidup lagi. Aku memang sial! Aku gagal di universiti. Bisnes aku lingkup sebab orang durjana macam puaka! Aku hilang keluarga, mak bapa aku sumpah aku tak mengaku anak. Ada adik beradik pun macam sial, kenal aku time aku ada duit je! Aku minta tolong pada Allah, Allah tak tolong. Apa guna Dia sebagai Tuhan kalau tak tolong hamba Dia? Aku bukannya malas, aku bukannya tak usaha. Tapi kenapa Tuhan masih biarkan aku macam ni? Sekarang aku dah tak percaya ada Tuhan. Baik mati jelah dari hidup..!” Lelaki itu menangis, memukul-mukul dada dan kepalanya, kakinya pula semakin mendekat ke hujung bangunan. Tersilap langkah boleh tergelincir dan jatuh. Harris berdebar-debar. Dia meminta pada Allah SWT,

‘Ya Allah, aku dah hamba-Mu di hadapanku ini bergantung kepada-Mu.’

“Okey, okey. Aku sudah dengar cerita hidup kau. Sekarang kau dengar cerita hidup aku pula. Tapi sebelum tu, kau undur ke belakang sikit. Bangunan ni tinggi, kalau kau tergelincir dan jatuh ke bawah, kemungkinan besar tulang kau semua patah dulu sebelum kau mati. Aku tak naklah sebelum aku habis cerita kau dah mati dulu.” Dan yang kelakarnya, lelaki yang hendak bunuh diri itu boleh pula ikut cakap Harris untuk mundur ke belakang sikit. Dalam erti kata yang lain, psiko Harris berjaya.

Lee di belakang tersenyum geli hati dalam penuh debar.

Dari arah belakang Lee, muncul seorang wanita bertudung litup, kedengaran suaranya mengucap, “Astaghfirullahal’adzim.” Wajahnya nampak risau. Lee kerut dahi, “Keluarga cik ke lelaki tu?” Wanita itu geleng kepala dan jawab, “Saya tak kenal.. Saya ingat atas ni takda orang nak tenangkan lelaki tu.” Harris angguk, “Takpa, kat depan tu kawan saya tengah nak tolong dia. Baik kita ke belakang sikit, supaya tak ganggu emosi lelaki tu..”

Lee dan perempuan itu berundur.

Harris menyandar ke dinding bangunan itu dengan selamba, terpinga-pinga lelaki yang hendak terjun melihat lelaki di hadapannya itu. Harris menyambung,

“Cerita hidup aku macam ni.. Lebih kurang empat bulan lepas, mak bapa aku meninggal dunia. Aku anak tunggal, takda sesiapa. Aku rasa keseorangan, rasa kosong ja hidup. Tak lama lepas tu aku diberhentikan kerja sebab kata majikan aku, syarikat tidak mampu bayar gaji aku dengan kelulusan yang aku dah. Dan bersambung pula kisah, tunang aku dan keluarganya putuskan pertunangan kami sebab aku menganggur baru beberapa minggu. Kau nak tahu apa aku rasa waktu tu?” Harris cuba bersoal jawab dengan lelaki itu.

Lelaki itu tekun mendengar dan menjawab pertanyaan Harris dengan separuh menjerit. “Apa yang kau rasa? Ha?! Kau jangan nak buang masa aku!” Nafasnya turun naik, sesekali dia memandang ke bawah. Harris melihat ke bawah bangunan.

Bertambah ramai penonton di bawah.

“Aku rasa hendak bunuh diri. Aku rasa sudah tiada guna hidup di dunia.” Harris berhenti sekejap sebelum menyambung. “Sebab aku rasa aku sudah tiada sesiapa dalam dunia ini. Rasa keseorangan, rasa diri sendiri tidak berguna. Terasa macam mati itu lebih baik! Lagi pun kalau aku mati, aku rasa macam takkan ada sesiapa yang kisah pun.”

Tiba-tiba lelaki itu menyampuk, “Ha tau pun! Lebih baik mati saja!” Dia maju pula selangkah ke hadapan. Harris tarik nafas sebelum menyambung.

“Tapi aku terfikir tentang Tuhan. Kalau aku mati dengan cara bunuh diri, memanglah hidup di dunia akan berakhir. Tapi lepas aku sudah bunuh diri nanti, alam barzakh pula ada, berhadapan pula dengan malaikat-malaikat yang akan soal dan seksa dalam kubur. Sudahlah kata Nabi, orang yang bunuh diri tidak dapat mencium bau syurga! Gila bau syurga pun tidak dapat cium. Lepas tu diseksa pula sampai hari Kiamat! Ha, kau tau tak hari Kiamat bila?” Harris menyoal lagi lelaki itu, dan sekali lagi lelaki itu memberi respon dengan cara menggeleng. Harris tanya lagi,

“Kau tahu tarikh sebenar hari kiamat tu bila? Kau tahu tak?”

Sekali lagi, lelaki itu menggeleng. Wajahnya melihat ke bawah. Dadanya turun naik. Mungkin sedang berfikir untuk cepat-cepat terjun, atau sedang berfikir untuk mendengar cerita Harris yang selanjutnya. Dalam masa yang sama, dada Harris juga berombak.

Tiba-tiba Harris terasa dunianya sempit. Harris merasakan badannya menggigil. Terbayang kalau-kalau lelaki di depannya ini terjun di depan matanya sendiri. Mungkin itu adalah mimpi ngeri dalam hidupnya. Pergantungan Harris sekarang sungguh-sungguh sepenuhnya kepada Allah.

“Kiamat tu boleh jadi 50 tahun akan datang. Boleh jadi beratus-ratus tahun akan datang. Kita tidak tahu. Jadi cuba kau fikir, kalau kau bunuh diri hari ini, saat ni, kau mati, kau terus disoal dan diseksa di alam barzakh. Kau sanggup tunggu lima puluh tahun akan datang dalam keadaan setiap saat kena seksa? Weh, Allah SWT murka orang yang bunuh diri tahu!” Harris menekankan intonasi suara.

Biar ada gerun dan lelaki di hadapannya itu terfikir sendiri.

Tidak semena-mena dia duduk mencangkung, “Aku dah tak kisah sebenarnya..” Dia menangis. Harris nampak airmata dia jatuh beberapa kali. Harris menelan air liur. Halkumnya jelas kelihatan bergerak. Debar dihati Harris hanya Allah SWT sahajalah yang tahu. “Baiklah, kalau kau tak kisah..” Harris diam sekejap. Dan lelaki itu dalam keadaan mata yang berair memandang Harris sayu. Harris seakan-akan dapat merasakan bahawa lelaki di hadapannya ini sudah lama menanggung beban.

“Kalau kau mahu bunuh diri sekarang, terjunlah! Aku takkan halang kau. Tapi kalau masih teragak-agak nak terjun, kau dengar dulu apa aku hendak cakapkan. Selepas itu, kalau kau hendak terjun tapi masih teragak-agak, aku boleh tolong tolak kau!”

Lelaki tersebut berubah air muka, dia menjerit ke arah Harris.
“Apa lagi? Apa lagi? Apa lagi?”

“Kalau kau mati sekarang, kau sudah tiada peluang untuk hidup dan kau akan kehilangan peluang untuk berjaya. Mak bapa kau sumpah kau? Kenapa kau tidak buktikan pada diorang yang kau walaupun gagal di universiti kau boleh berjaya. Biasalah bisnes ada masa untung dan rugi. Tapi kau masih boleh mulakan semula. Adik beradik kau tak nak tolong kau? Kau kena hidup dan buktikan pada diorang yang bila kau berjaya nanti, diorang yang akan menagih pertolongan dari kau. Janji kau usaha sungguh-sungguh, kau minta pada Allah. Orang yang baik-baik ada di mana-mana di seluruh dunia ni. Tapi kalau kau terjun sekarang, kau mati tiadalah peluang tu semua. Tambahan pula, Allah akan murka pada kau, malaikat akan seksa kau. Bau syurga pun kau takkan dapat cium. Atau kalau kau terjun sekarang, kau tidak mati tapi patah sana sini, kau akan hidup dalam kehinaan. Jadi kau pilihlah jalan hidup kau. Bunuh diri tu bukan jalan penyelesaian!” Harris selamba.

“Aku bagi kau masa berfikir seminit dari sekarang. Lepas tu, kalau kau masih teragak-agak hendak terjun selepas seminit, aku akan berlari ke arah kau dan tolak kau sampai jatuh!” Harris menguatkan suara. Lelaki di hadapannya itu sekarang sekejap memandang Harris sekejap memandang dirinya dan sekejap memandang ke bawah.

Dia seakan-akan kebingungan. Dengan tiba-tiba dia menjerit dan tersedu-sedu.

“Tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satuuu!” Tamat. Harris pandang lelaki itu, dan lelaki itu pandang Harris. Dia berdiri, wajahnya mempamerkan wajah keliru dan takut. “Mari aku tolong tolak.” Harris membuat gaya seakan-akan menolak. Sekali lagi Harris pandang ke bawah. Kelihatan bomba dan polis sudah tiba. Orang ramai dijauhkan dari bangunan tersebut. Beberapa orang anggota polis tiba di atas bangunan.

Harris memberi isyarat kepada mereka.

Lelaki tersebut tiba-tiba bersuara, “Aku macam nak mati. Tapi aku takut mati.” Harris berlagak seolah-olah mahu berjalan laju menuju lelaki tersebut sambil berkata, “Okey, kau teragak-agak? Mari aku tolong tolak!” Harris cepat-cepat memberi anggukan kepada Lee yang berada di belakang lelaki tersebut dan memeluk lelaki itu dari belakang dengan kadar yang pantas. Harris berlari ke arah mereka, beberapa anggota polis juga turut membantu Lee memeluk dan menenangkan lelaki yang tidak jadi bunuh diri itu. Lelaki itu terbaring, dan disuruh duduk. Bertenang. Tarik nafas.

Harris memegang bahu lelaki tersebut, “Aku tahu kau takkan bunuh diri. Kalau kau sudah terlalu nekad, kau takkan fikir dua tiga kali untuk terjun. Kau kena percaya, Allah SWT sayangkan kau. Kau rebutlah peluang dalam hidup ni. Buang jauh-jauh fikiran negatif hendak bunuh diri. Kau masih muda, banyak lagi kejayaan menanti kau..” Harris menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut sebelum dibawa oleh anggota polis turun ke bawah. Dalam tangisan, sempat lelaki itu mengucapkan terima kasih. Harris mengangguk.

Lee tepuk-tepuk bahu Harris pula.

“Alhamdulillah.. Kau gilalah, bro! Jantung aku dah sampai ke langit dari tadi.. Nampaknya lepas ni aku kena pi klinik minta periksa tekanan darah aku. Hahaha!” Lee dan Harris gelak sama-sama sebelum berpelukan. Lee bersuara, “Aku rasa, Allah pun sedang setting kehidupan kau sekarang..” Harris mengangguk dan mengurut dada,

“Syukur dia tidak terjun betul-betul. Aku rasa tak cukup oksigen untuk bernafas!”

“Ehem!” Satu suara kedengaran dari arah belakang mereka.

Harris dan Lee berpaling ke belakang lalu mereka saling berpandangan. Lee cepat-cepat berkata, “Ris, aku ke bawah dulu. Pihak polis ada nak ambil keterangan saksi kejadian katanya. Yang tu biar aku uruskan. Jumpa kau kat bawah nanti.” Sebelum beredar, Lee mengangguk kepada perempuan itu tadi. Dan perempuan itu membuat hal yang sama.

Harris hairan, “Err, Cik girlfriend lelaki tadi tu ke?” Tanya Harris noob. Hahaha 😛

“Eh tak. Saya naik tadi masa dengar orang terjerit-jerit ada orang nak bunuh diri. Saya ingat takda orang nak tenangkan orang tu tadi. Tapi masa sampai tadi dah ada awak dan kawan awak tu. Kawan awak kata awak boleh handle. So.. erm macam tu lah!”

“Ooo.” Reaksi Harris. Tidak tahu mahu menjawab apa.
Memang betul-betul noob Harris ni.

“Err tak apalah. Saya minta diri dulu. Ini kad saya. Assalamu’alaikum!” Perempuan itu memberikan kad bisnes tanpa diminta. Harris ambil lalu mengucapkan terima kasih.

Dari atas bangunan tersebut, Harris memandang ke bawah. Orang yang ramai berkumpul tadi sudah mulai bersurai. Tetapi masih ada yang memegang telefon bimbit masing-masing, barangkali untuk merakam saki baki kejadian atau menangkap gambar.

Harris berkata-kata kepada diri sendiri,

“Kadang-kadang perjalanan hidup ini sukar untuk diduga. Ketika kita merasakan bahawa hidup kita yang paling sedih dan menderita, yang paling jahat dan berdosa, Allah SWT rupa-rupanya telah banyak hadirkan kejadian di sekeliling untuk memberi petanda bahawa kehidupan kita, bukanlah berkisarkan tentang diri kita sahaja. Tetapi tentang orang lain juga. Kerana kita semua di dunia ini saling bersangkut paut.

Bagaimana mungkin boleh demikian? Kerana Allah ada cara-Nya.

Dan aku tertanya-tanya, kenapa masih ada wujud manusia yang tidak berhati perut dan mementingkan diri semata-mata. Kezaliman apa yang bersarang dalam hati manusia yang melihat manusia lain hanya sebagai hidupan yang tidak bermakna?

Ketika mana di dunia ini ada seseorang yang mahu bunuh diri, yang mahu mencabut nyawa sendiri, apakah dalam hati mereka sebenar-benarnya sudah tiada rasa bertuhan. Atau apakah sebenarnya mereka sudah lupa tuhan sesungguh-sungguhnya? Apakah yang terkandung dalam fikiran mereka sehingga ada yang nekad bahawa membunuh diri sendiri itu adalah satu landasan untuk lari dari keserabutan di dunia?

Sedangkan, agama apapun di dunia ini melarang keras pengikutnya untuk membunuh diri. Kerana membunuh diri itu adalah sehina-hina jalan untuk manusia berhadapan dengan masalah. Kerana apa? Masalah ada penyelesaiannya. Masalah akan berlaku seperti mana siang yang berganti malam. Masalah itu adalah fasa kecil di dunia untuk dihadapi.

Saat dimana kita merasakan bahawa Allah sedang berada paling jauh dengan diri kita, maka tidakkah pernah manusia terfikir bahawa saat itulah Allah sedang dekat sangat dengan kita. Ya, saat manusia mengiyakan kata-kata hati yang sedang dusta, saat itulah sebenarnya Allah sedang berbicara dengan kita melalui cara-Nya sendiri.

Kerana itu.. apalah yang sedang kurasakan sekarang.

Terima kasih, Allah.
Terima kasih.

Hari ini, terbukti bahawa Kau tidak diam dan menyaksikan kehidupanku..”

6 bulan kemudian..

Harris bernikah dengan seorang perempuan yang pernah memberikannya kad bisnes tidak lama dahulu. Bermula dari situ, rupa-rupanya Allah sedang mengaturkan kehidupannya. Ditinggalkan dengan tunang sendiri, tapi sebenarnya Allah menggantikan dengan seseorang yang mungkin Allah lebih tahu adalah yang terbaik.

Benarlah kata Lee ketika hari kejadian bunuh diri beberapa bulan lalu, “Aku rasa, Allah pun sedang setting kehidupan kau sekarang..” Harris tersenyum dan mengangguk sendiri.

“Terima kasih sahabatku, Lee. Tatkala aku merasakan bahawa tiada seorang pun yang peduli terhadap diriku dan kehidupanku, rupa-rupanya kau sentiasa ada disitu. Walaupun kau kurang pamerkan, tetapi kau buktikan dengan perbuatanmu.

Aku doa kepada Allah, semoga Allah memelukmu dengan rahmat selalu, sahabat!”

-TAMAT-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *