Sejauh Mana Cita Dirimu?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kadang-kadang kita terlupa. Ya, terlupa.
Kadang-kadang kita terlupa. Ya, terlupa.

Lamanya tidak menulis di sini. *batuk*

Manusia itu, adalah makhluk yang suka beralasan. Setuju? Seperti contohnya saya sendiri, pasti akan memberikan alasan bahawa saya sibuk dengan kelas atau kuliyah serta tesis di tahun akhir saya. Maka dengan alasan itu, saya mengatakan bahawa kerana itulah saya kurang kemaskini blog ini. Mungkin juga saya akan memberikan alasan bahawa saya tidak tahu hendak memulakan entri yang bagaimana untuk menulis di sini.

Alasan demi alasan.

Maka saya jadi tertanya-tanya sendiri, apakah sebenarnya passion atau obsesi saya dalam kehidupan ini? Undang-undang? Ya, dan saya masih dalam perjalanan menujunya. Penulisan? Ya, saya juga masih sedang berusaha lagi dan lagi. Bakti kepada kedua ibu bapa? Ya, itu bukan nombor dua dalam kehidupan. Fotografi? Jyeah.

Tapi, ada sesuatu yang kurang sebenarnya. Apa dia? Usaha.

Semua orang boleh bercita-cita yang tinggi dan memasang impian yang banyak. Namun akal kita memberitahu, bahawa semua itu tidak akan tercapai sekiranya tiada usaha. Betul? Dan usaha itu memerlukan untuk kita mengorbankan banyak hal.

Bukankah?

Kehidupan Memang Sibuk

Ada waktu-waktu dalam kehidupan kita ini, kita akan dilanda banjir kerja yang begitu banyak. Sehingga kita rasa kita tidak menang tangan dan jiwa. Sehingga kita rasa bahawa betapa banyaknya kerja yang kita ada, tapi waktu 24 jam itu tidak mencukupi.

Kadang-kadang kita rasa letih. Bukan setakat bebanan kerja. Tapi kita pula diuji dengan ragam manusia — tu lagi memenatkan. Lalu kita merasa tertekan atau stress, sehingga terbit di benak kita mahu melepaskan stress tersebut dengan cara kita sendiri.

Mahu saja kita tinggalkan semua kerja-kerja tersebut. Seakan-akan sudah tidak sanggup menanggung tekanan pada jiwa, kata kita. Dan sekali lagi, dalam konteks keadaan saya sebagai seorang pelajar, kadang-kadang terasa juga beban apabila diberikan banyak tugasan. Walhal, memang itulah fitrah seorang pelajar.

Namun, pernahkah kita terfikir bahawa.. Di dunia, memang inilah medannya? Memang kesibukan itulah medan yang perlu kita berada di dalamnya dan tempuhi. Apatah lagi apabila kita ini memasang cita dalam kehidupan yang perlu kita capai. Cita-cita yang terlaksan itu tidak akan hadir dengan sendirinya, melainkan kitalah yang perlu mengejar dan mendapatkannya. Apa yang kita dapat? Kepuasan.

Jika tidak mahu berpenat atau tertekan, tempatnya bukan di dunia. Namun untuk mendapatkan tempat yang hanya ada ketenangan dan kedamaian jiwa tanpa ada gangguan yang berpunca dari manusia, itu perlu melalui dunia.

Maka, sejauh mana cita-citamu? Tanya diri.

Kawan, kita akan sentiasa berpenat-penatan. Sehinggalah kita tidak akan merasa penat dengan erti kepenatan. Dan masa itu, semoga rahmat Allah Ta’ala melimpah bagai hujan yang turun tanpa silu merindui bumi yang gersang. Semoga, kawan. Semoga.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *