Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Menghargai Itu Tidak Menyakitkan

Assalamu’alaikum w.b.t

Credit Picture : http://learningmindsgroup.com/

Credit Picture : http://learningmindsgroup.com/

Penghargaan itu adalah suatu keharusan dalam kehidupan manusia. Bukan saya hendak katakan bahawa penghargaan itu adalah sesuatu yang wajib. Tetapi biasanya penghargaan akan memberikan impak yang positif dalam kehidupan manusia. Macam mana kita rasa gembira dan bahagia apabila dihargai usaha kita, maka begitulah jua perasaan gembira dan bahagia seseorang yang lain apabila kita menghargai dirinya.

Kita suka untuk dihargai, kan?

Saya tak naklah cerita dalam post ini mengenai penghargaan hanya akan membuatkan seseorang riak dan segala usaha jadi tidak ikhlas dan bla bla bla. Hello? Sebegitu sempitkah ruang jiwa seseorang untuk menerima penghargaan dan menyebabkan dirinya menjadi riak? Apapun, itu bergantung kepada seseorang. Hidup ini tiada apa perlu diriakkan. Sebab at the end of the day, tiada apa pun milik kita. Semuanya sebenarnya milik Allah SWT.

Tapi mari kita berbicara mengenai menghargai manusia. Menzahirkan sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besar penghargaan kepada manusia. Manusia itu seperti keluarga kita, sahabat kita, rakan sekerja kita, atau pun orang-orang sekeliling atas kebaikan-kebaikan mereka. Selalu saja, menzahirkan penghargaan itu tidak memerlukan kita untuk menggadai nyawa atau mengangkat benda-benda berat. Betul?

Senyum.

Tidak Rugi Untuk Menghargai

Menghargai seseorang dalam hidup kita itu ada banyak cara. Sama ada kita mahu menghargai ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, dan orang lain (strangers) yang kita fikir kita perlu menghargainya kerana apa yang telah dilakukannya. Antara cara tersebut ialah mengeluarkan perkataan-perkataan yang baik. Kita mungkin saja boleh menuliskan beberapa patah perkataan yang jujur untuk menyebut kebaikan orang dan mendoakan semoga Allah SWT memurahkan rezeki, moga Allah SWT membahagiakan dia di dunia dan akhirat. Atau ayat-ayat yang sesuai untuk menzahirkan penghargaan.

Saya sangat percaya, hatta dalam sesebuah hubungan suami isteri jika tiada rasa mahu menghargai pasangan masing-masing dengan cara tersendiri, pasti rumahtangga tersebut akan sedikit hambar. Kerana apa? Kerana penghargaan itu kadang-kadang adalah ‘refreshment’. Manusia memerlukan kesegaran dalam kehidupan untuk terus bermotivasi dan semangat menjalani hidup.

Saya bagi contoh sekali lagi. Kita membawa barang yang banyak. Katakanlah, barang yang kita bawa tu buku. Lalu sebahagian buku tersebut jatuh. Tiba-tiba ada orang lain bermurah hati untuk menolong kita kutip buku yang terjatuh tadi. Penghargaan seperti apa yang kita berikan? “TERIMA KASIH!” Yeap! Terima kasih itu adalah sekecil-kecil penghargaan yang kita boleh berikan. Terima kasih, dua perkataan itu sahaja.

Tetapi, percayalah bahawa ‘Terima Kasih’ kita tadi itu boleh menjadi ‘ubat semangat’ bagi orang tersebut sepanjang hari. Boleh jadi orang yang tolong kita tadi itu sedang bermuram, atau sedang berduka. Dan boleh jadi juga seseorang yang menolong kita tadi itu adalah orang yang hampir-hampir putus asa dalam hidup kerana tidak dihargai oleh manusia dan merasa bahawa tiada guna untuk hidup. Tetapi, hanya dengan ucapan terima kasih dari anda. Membuatkan dunianya yang sedang kelam, bertukar menjadi cerah. Kerana ucapan terima kasih itu sampai ke dalam jiwanya.

Boleh jadi dia merasa, “Oh! Rupanya masih ada yang menghargai aku!”

Bayangkan dunia ini adalah dunia yang tanpa ada ucapan terima kasih. Tanpa ada penghargaan dari sesama manusia. Tiada penghargaan, boleh jadi tiada kegembiraan. Satu yang terlintas di minda saya sekarang ini, dunia ini seakan bakal dipenuhi oleh zombies! Tiada berperasaan dan menakutkan rupanya. Hahaha.

Belajarlah Untuk Menghargai

Bila tengok orang gembira, kita tumpang gembira. Bila tengok orang berjaya, kita ucapkan tahniah dan doakan yang baik-baik sahaja. Bila orang lain bahagia, kita doakan semoga dia sentiasa bahagia. Dan itu diaplikasikan untuk orang-orang terdekat dalam hidup kita, dan juga kepada orang-orang sekeliling kita.

Apalah salahnya mengucapkan, “Tahniah!” Sama ada dengan suara atau sekadar meninggalkan komen di laman FB-nya? Atau kita mendedikasikan ucapan kepada sesiapa untuk menunjukkan kita gembira dengan pencapaian dan kebahagiaannya.

But you know what? Ada orang yang egonya lebih tinggi dari kasih-sayang yang ada dalam jiwanya. Ada orang dalam dunia ini yang bila melihat orang lain peroleh sesuatu dalam hidup, dia hanya akan memerhati sambil berkata, “Ah! Biarlah. Bukan penting pun!” Walaupun orang itu adalah ahli keluarga atau sahabatnya sendiri.

Kadang-kadang tu bukan kita tidak pandai untuk menzahirkan penghargaan kita. Alasan kita, “Erk aku tak biasalah nak ucap-ucap ni, nak bagi penghargaan bagai. Ahh aku memang tak biasa!” Percaya atau tidak kalau saya katakan itu adalah alasan semata-mata yang disertai dengan ego diri sendiri?

Kerana saya percaya pada USAHA. Kalau kita berusaha, maka kita akan buat.

Jangan sampai terlambat untuk kita menghargai insan-insan sekeliling kita. Selagi ada masa, hargailah mereka. Islam juga menganjurkan untuk berkasih-sayang. Dan salah satu cara berkasih-sayang adalah menghargai mereka yang kita cintai.

Semoga ALLAh merahmati.

One Comment

  1. Fyda Noh says:

    Manusia memang suka dihargai. Ambil masa hargai orang walaupun kita tak dihargai orang.
    Yang penting kita hargai diri sendiri.

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *