Melepaskan Luka-luka Kehidupan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Melepaskan kesemua luka pergi. Ia takdir Ilahi~

Kita ini manusia. Dalam kehidupan manusia, sememangnya kita memang bersifat tidak sempurna. Maka, banyak kelemahan-kelemahan dan keburukan tingkah ada pada diri, sama ada kita sedari atau tidak. Yang Maha Sempurna itu adalah Allah Ta’ala.

Manusia tidak sempurna tidak bermaksud itu dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki diri. Malah Islam menyeru kepada penganutnya untuk sentiasa memuhasabah dan membersih-bersihkan hati dan jiwa selalu agar sentiasa dalam ketenangan.

Apabila tidak sempurna, maka tentu ada cacat celanya. Pasti ada ujian mahupun perkara dalam hidup ini yang boleh menjadikan manusia rasa hambar. Ujian; sama ada diuji dengan manusia yang dikenali mahupun tidak, yang rapat atau tidak, ataupun keadaan sekeliling dan perjalanan hidup meninggalkan kesan yang bernama ‘luka’.

Pahit manis dalam kehidupan itu lumrah yang pasti dilalui.

Suka dan Manis Tidak Selamanya

Kalau boleh, apa yang mahu dipinta adalah, kita langsung tidak mahu ada sebarang masalah yang kadang-kadang boleh membuat jiwa jadi sesak, fikir jadi sempit adakalanya. Tapi bagi manusia yang berfikir dengan akal yang dipandu iman, perkara sebegitu memanglah mustahil. Mana ada manusia hidup tanpa diduga. Kan?

Hidup ini pasti bosan apabila landai sahaja tanpa ada masalah. Tanpa ada luka dan parut hasil daripada ujian-ujian yang dilalui. Tanpa ada sebarang tangis sedih terhadap diri. Kerana yang membuatkan kehidupan itu berwarna-warni adalah ujian demi ujian yang diturunkan. Namun diakui, bukanlah mudah untuk melalui setiap satu dugaan. Tidak semudah melangkahkan kaki kanan untuk digerakkan.

Susah? Ya, sangat susah.

Dalam konteks kehidupan kita contohnya. Baru semalam atau sehari lepas kita melalui hari itu dengan gembira, gelak tawa, gurau senda dan perkara-perkara yang membuat kita tersenyum ceria. Tup tup hari ini, sebaliknya pula yang berlaku. Kita malah jadi sebaliknya; menumpahkan airmata, sakit fizikal dan sakit hati, dilukai dan melukai dengan kata-kata yang melukakan. Dan itu sememangnya sakit.

Macam mimpi, bukan? Semalam suka, gembira. Hari ini, pedih dan sedih.

Rasanya, sangat ramai diantara kita apabila diminta untuk menceritakan perkara mahupun peristiwa yang membuatkan dia sedih dan terluka, memang ramai yang dapat menghitung-hitungnya. Malah mungkin ada yang siap ingat tarikh dan masa.

Tetapi, perlukah kita semua terikat dengan peristiwa yang menyakitkan itu? Nah, di sini sebenarnya persoalan untuk ditembak pada diri sendiri. Apakah apabila saat kita mengenangkan kelukaan itu, hati kita senang? Atau dalam erti kata lain, hati kita merelakan? Ataukah apabila kita terkenang setiap peristiwa yang melukakan itu, hati kita jadi berdendam? Malah mungkin kita mencari-cari kesalahan orang lain pula.

Apa yang bermain dihati kita, kita lebih tahu dari orang lain.

Perlukah kita menjadi pendendam akan semua luka-luka kehidupan yang telah dan pernah kita lalui? Perlukah kita mengotori hati untuk menyimpan barah hasad dalam diri?

Berdamailah Dengan Luka, Lepaskanlah

Kamu tahu, kawan? Apabila kita dilukai, kita ada dua pilihan. Sama ada kita membalas untuk melukai kembali, atau kita bersabar muhasabah diri sendiri membersihkan hati dan biar Allah Ta’ala memainkan peranan-Nya dalam hal yang melukai hamba-Nya. Kerana Allah Ta’ala itu Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku.

Allah tidak pekak dan buta, wahai kawan!

Kehidupan memang sentiasa akan ditonyoh-tonyoh. Semua manusia berhadapan dengan ujian masing-masing. Berbeza-beza. Tapi apa yang lebih membezakan diantara kita semua adalah, bagaimana kita berhadapan dengan ujian yang diberikan.

Jangan pernah berdendam walau betapa sakit pun perjalanan yang telah dirasai. Kerana hakikatnya dendam itu akan menyuburkan kedengkian dan akan wujud lebih banyak penyakit hati. Kita manusia biasa, aite? Sakit hati itu memang ada pada semua manusia. Tapi cepat-cepatlah merawat hati sendiri. Jangan dibiarkan melarat.

Tapi sebenarnya, jika kita ini melihat luka-luka kehidupan itu dengan skop yang lebih besar dan melihat dengan jendela cinta akhirat, sebenarnya luka-luka kehidupan itu membawa mesej dari Tuhan. Mesej? Ya. Mesej.

Allah Ta’ala sebenarnya, nak ajar diri kita untuk lebih kuat. Untuk lebih pandai menilai sesebuah perkara. Untuk lebih mengenal manusia yang mana satu kawan, yang mana satu lawan. Untuk kita lebih matang dalam melayari kehidupan.

Dan yang lebih penting,
Allah Ta’ala sebenarnya nak ajar kita bahawa kita ini siapa pada Tuhan.

Kawan, dalam banyak perkara dalam kehidupan ini, jika jalan perdamaian itu lebih menyenangkan dan membahagiakan, kenapa memilih untuk menjauh dan berdendam?

Dengan ego yang tinggi melangit, manusia takkan dapat ke mana.

Lepaskan luka-luka kehidupan. Relakanlah. Pasrahkanlah. Allah Ta’ala ada sebagai tempat untuk bergantung. Dan Allah Ta’ala sangat suka pada orang-orang yang sabar.

Sebenarnya, hati merasa malu apabila menyoroti kisah Rasulullah SAW yang betapa banyak kali dilukai, tetapi Baginda langsung tidak memilih untuk berdendam. Kita tahu siapa Baginda? Baginda Rasulullah, Kekasih Allah, yang telah dijanjikan syurga.

Jika Baginda mahu, boleh saja Baginda membalas kesemua perbuatan orang yang melukai dirinya dengan 1000 kali lebih sakit daripada yang dirasai Baginda. Tetapi Baginda memilih untuk tidak melakukan itu walaupun ditawarkan.

Maka, siapa kita ini untuk memilih berdendam?
Ego dunia apa yang tersimpan di pundak kita?
Darjat apa yang ada pada diri kita?

Damaikanlah hatimu, wahai manusia lindungan Tuhan.
Bersihkanlah jiwamu, wahai manusia kecintaan Tuhan.

Semoga ALLAh merahmati.

2 thoughts on “Melepaskan Luka-luka Kehidupan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *