Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Lupakan Orang Tentang Dirimu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : http://stanislaw.deviantart.com/ Kita tidak perlu peduli pun pada kata-kata negatif orang lain. Selagi kita tahu kita tidak buat Tuhan marah.

Credit Picture : http://stanislaw.deviantart.com/
Kita tidak perlu peduli pun pada kata-kata negatif orang lain. Selagi kita tahu kita tidak buat Tuhan marah.

Menulis atas dasar rindu.

Tiba-tiba malam ini bantal yang biasa diletakkan di kepala itu terasa sangat tinggi sehingga memberi ketidakselesaan. Ipod sudah lama dinyahaktifkan. Terasa dahaga. Tapi memikirkan kemalasan untuk turun ke bawah, maka telan air liur sahajalah buat seketika.

Apabila saya katakan bahawa menulis itu sebuah terapi, maka saya betul-betul maksudkannya. Sesiapa yang pernah mengenali Ya Habibi di zaman forum pink itu, sudah pasti ada yang pernah bertandang ke blog hijau suatu masa dahulu. Yang waktu itu hanyalah catatan dan perkongsian harian. Ya, menulis dan menulis. Itulah dia.

Malah, ketika menjadi Moderator Forum di forum pink itu, memang menulislah kerjanya sambil membawa mangga besar untuk meng-lock thread yang berulang dan yang sama waktu dengannya. Tapi tetap, sehingga sekarang masih tidak dapat menandingi kepanjangan kak Nisa_88 apabila menulis (hahaha). Terimbau pula kenangan lama tengah malam ni.

Hidup ini, mudah saja mencapai bahagia apabila kita yang menginginkannya. Dan kita akan sentiasa merasa sengsara, apabila kita yang mahu merasai seperti itu. Maka, begitu jugalah apabila kita menerima kata-kata negatif dari manusia. Sama ada kita mahu dengar sahaja, atau kita mahu kata-kata negatif itu mempengaruhi kehidupan kita.

Hujan lebat. Sejuk. Eh?

Lupakan Perbuatan Orang Terhadap Kita

Saya selalu memotivasikan diri saya dengan perkara ini. Lupakan saja apa yang orang pernah buat terhadap dirimu. Atau apa yang orang buat terhadap diri kita. Kalau orang lain itu memang apabila dia melihat kita hanya salah kita sahaja yang mendobrak matanya, maka biarkanlah. Masalah itu ada pada dirinya, bukan kita.

Pun begitu, saya juga adalah orang yang akan resah apabila tiba-tiba mendapat tuduhan bahawa saya memfitnah seseorang yang lain. Atau saya menyakiti seseorang yang lain dengan mulut dan tangan saya. Maka cara saya, saya akan cepat-cepat mendapatkan penjelasan. Mungkin ada yang saya tersilap dan terlepas pandang di mana-mana, maka saya bersedia untuk minta maaf dan memperbaiki diri.

Tahap resah saya itu; assignments berlambak, saya boleh tinggalkan begitu sahaja disebabkan resah mendengar perkhabaran yang kurang enak.

Hari demi hari, seiringan umur yang meningkat ini, saya makin belajar. Kalau tiba-tiba ada seseorang yang lain menuduh saya telah membuat fitnah terhadapnya. Dan saya datang kepadanya untuk diperjelaskan tetapi dia enggan bersemuka, maka saya akan lupakan sahaja. Atau sekiranya ada orang yang kurang senang terhadap saya, tetapi dia tidak pernah datang untuk berjumpa atau menyatakan sikap saya yang kurang baik di matanya, maka saya akan lupakan sahaja. Saya tidak akan bersungguh, percayalah.

Jika keadaan seperti di atas ini, maka saya boleh sabitkan orang lain itu telah membuat fitnah ke atas diri saya. Dan saya berhak untuk mendapat penjelasan atau pembelaan terhadap apa yang diperkatakannya terhadap diri saya. Haa, gitu.

Tapi kan, itu tidak selalu menjadi jalan penyelesaian.

Saya benar-benar belajar bahawa, ingin hidup bahagia itu.. Lupakanlah apa sahaja yang orang lain telah buat terhadap dirimu. Jangan difikirkan mereka yang tiada kepentingan kepada kelangsungan hidupmu mahupun dakwahmu.

Kamu tetap bisa memandang mereka sebagai mad’u. Hanya sekadar mad’u.

Jangan Berdendam

Selalulah nasihatkan diri kita; jangan sesekali berdendam dengan sesiapa.

Sangat faham adakalanya rasa dijiwa itu sangat membara sehingga membuka satu ruang untuk dendam di dalamnya. Dendam itu akan terbayar hanya apabila dapat menyakiti orang yang didendami. Betul? Kalau nanti ada yang bertanya,

“Bagaimana pula dengan musuh-musuh Islam? Kita tidak boleh berdendam?!”

Haa. Yang itu, kita cerita lain. Tetapi, Islam ni sangat indah. Sangat sempurna. Sekiranya musuh Islam itu sangat zalim dan bapak firaun punya perangai, jika dia kembali ke jalan Allah Ta’ala dan bertaubat atas segala dosa-dosanya, maka umat Islam akan menerima dia dengan sebaik-baiknya. Akan menyayangi dia sebagai seorang saudara. Kerana itulah tuntutan Islam kepada penganutnya. Peluang itu, sentiasa ada.

Fikirkan sahaja ini — Jika kita berdendam, kita tidak akan tenang. Kerana kita akan sentiasa memikirkan dendam kita dan mencari jalan untuk melaksanakan dendam tersebut. Yang mana akhirnya, kita tidak akan merasai bahagia.

Kerana kita sibuk merasai dendam yang berhuni dijiwa.

Bahagia Ada Pada Dirimu

Mudahnya begini, kamu akan merasa tidak tenang sekiranya kamu membenarkan perkara-perkara yang tidak diingini menghampiri kehidupanmu.

Dan kamu akan merasa bahagia sekiranya kamu menyahkan perkara-perkara yang tidak membahagiakan jauh dari hidupmu.

Dapat?

Nah.
Begitulah entri ringkas saat ini.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *