Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Kerana Itu Bukan Tugas Kita

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kita jalan sahaja. Jatuh, kita bangun semula.

Kita jalan sahaja. Jatuh, kita bangun semula.

31 Disember 2012. Menarik nafas.
Oh, ini hari terakhir dalam tahun 2012. Tahun Masihi.

Apabila tiba dihujung tahun seperti ini, terasa sekali begitu cepat peredaran masa berlalu. Walaupun, sebenarnya dalam setahun ini begitu banyak perkara yang pernah dihadapi dan dialami oleh kita yang membuatkan kita sedih, gembira dan menangis.

Mungkin kesan gembira dalam jiwa agaknya.

Yang pastinya, ada juga diantara kita barangkali yang gagal mencapai misinya untuk tahun 2012. Mungkin setelah berusaha sekeras mungkin, dan juga mungkin kerana sudah merancang sebaik mungkin, namun akhirnya perancangan itu langsung tidak menjadi. Lalu kesedihan menyinggah dibenak. Akhirnya keluhan terluah jugak.

Seorang manusia dengan misinya.
Seorang sahabat dengan azamnya.
Seorang pelajar dengan harapannya.
Seorang pekerja dengan kesungguhannya.

Ah, tapi terimalah. Perancangan ALLAh jauh lebih mengatasi perancangan kita!

Belajar Melepaskan Dengan Lapang Hati

Di mana tempat kita berdiri sekarang, ALLAh Ta’ala sudah tentukan. Walaupun mungkin betapa beratnya hati kita setiap kali melangkah. Jika bercakap mengenai kematian, kita tahu kita pasti mati. Cumanya tidak tahu bila. Dan mati kita, pastinya telah Dia susunkan sbeelum lahirnya kita ke dunia yang penuh tipu daya ni.

Pertemuan kita, ALLAh yang aturkan.
Perpisahan kita, juga ALLAh juga yang mengizinkan.

Kehidupan ini masih banyak misterinya. Kerana itu, kita perlu belajar melepaskan sesuatu yang telah terjadi. Dan diri kita kena akur dengan kehendak ALLAh Ta’ala. Jika itu yang telah diaturkan-Nya untuk kita, maka itulah yang terbaik untuk kita.

Tapi kita, bukan diam sahaja tanpa perlu usaha.

Hak yang perlu kita tunaikan adalah usaha, usaha dan usaha. Bukan menjadi lemah dan lembik jika perancangan yang telah dibuat terjadi sebaliknya. Kerana pasti wahai kawan, semuanya yang terjadi itu tidak sia-sia dan bukan tiada manfaat.

Untuk setiap usaha yang telah diberikan sepenuh tenaga, dan kehendak hati tidak terpenuhi-Nya dengan cara yang hati kehendaki, janganlah gundah gulana. Mungkin, Dia ada cara-Nya sendiri mahu diberikan. Dan bukan dengan cara yang hati manusia itu kehendaki dan mahukan. Janganlah sesekali berputus-asa tanpa mencuba.

Untuk bahagian manusia, adalah berusaha dan berdosa.

Untuk memastikan natijahnya itu baik atau tidak, cemerlang atau gagal, bukanlah tugas kita sebenarnya. Selepas berusaha sebaik mungkin, kita perlu letakkan hati kita selapang mungkin. Selapangnya sehingga mudah untuk diisikan dengan garam tarbiyah.

Dan kerana itu bukan tugas kita, maka lapangkanlah hati kita wahai kawan.

Belajarlah melepaskan dengan lapang hati.
Dan belajarlah usaha lagi dan lagi.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *