Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Kekuatan Ukhwah: Eratkah Kita?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Eratkah Kita?

Bicara soal ukhuwah takkan pernah habis atau takkan pernah jemu diperkatakan oleh setiap orang. Manusia tidak akan hidup dengan tenang sekiranya ukhuwah yang terjalin itu ada keretakan atau ketandusan di mana-mana bahagian. Pasti dihantui dengan pelbagai perasaan yang mengganggu jiwa, bukan?

Memelihara ukhuwah sesama manusia ini bukanlah sesuatu yang mudah bagaikan memelihara ukhuwah dengan haiwan atau tumbuhan. Walaupun adakalanya berukhuwah dengan haiwan dan tumbuhan perlu kepakaran dan sentuhan kasih-sayang. Namun, ukhuwah sesama manusia itu adalah suatu perasaan yang perlu disegarkan setiap hari melalui doa dan juga ingatan dimana kasih-sayang yang hadir dalam jiwa itu perlu dikembalikan kepada ALLah SWT.

Berbohonglah saya kalau saya katakan ukhuwah saya dengan sebahagian sahabat saya sentiasa tenang. Tidak disapa ombak atau tidak berkocak. Adakalanya ukhuwah akan selalu berbunga-bunga. Tersenyum sendirian. Subhanallah. ALLAh juga yang menghadirkan perasaan itu. Namun adakalanya akibat dari diri masing-masing, ukhuwah yang dahulunya mekar berbunga-bunga, bunganya akan layu. Dan bunga itu akan terus layu dan layu sekiranya tiada seorang pun yang mempunyai perasaan belas kasih untuk merawatnya, dan akhirnya bunga tersebut akan mati. Adakah bunga tersebut mempunyai peluang untuk hidup semula? Tanya doktor. Kalau ada pun, mungkin kemekaran bunga tersebut tidak secantik dan seharum dulu. Akan kelihatan perbezaan yang ketara selepas itu.

Ukhuwah Yang Mekar Berbunga

Perkenalan sekejap cuma tapi disertai dengan keikhlasan kerana ALLAh SWT, inshaALLAh akan berasa sudah lama saling mengenali dan saling menyayangi. Itu adalah resepi rahsia terbuka kepada sebuah ukhuwah. Tapi, jangan terlalu gembira dan merasa bahagia.

Ingat-ingat selalu. Syaitan tidak senang duduk apabila melihat dua orang Muslim itu menjalinkan ukhuwah kerana ALLAh. Kerana, dengan ukhuwah yang kuat, akan tercipta sebuah cetusan yang besar!

Sahabat yang baik akan cuba untuk menerima diri sahabatnya dengan seadanya. Sahabat yang baik akan cuba untuk menyukai apa yang sahabatnya suka selagi tidak salah di sisi Islam. Sahabat yang baik akan selalu tersenyum apabila menemui sahabatnya. Sahabat yang baik akan sentiasa menjaga hati sahabatnya. Sahabat yang baik akan sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan, kerana bersangka baik kepada sahabat itu adalah tingkat yang paling rendah dalam hubungan persahabatan dan tingkat yang paling tinggi adalah melebihkan sahabatnya dalam apa jua keadaan. Dan sahabat yang sangat baik adalah sahabat yang tidak melupakan sahabatnya di dalam doanya kepada Rabbul ‘Izzati. Sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya di dunia dan akhirat.

Saya, kalau masuk syurga, saya akan tarik tangan kawan saya walau apapun yang terjadi. Saya, kalau ditakdirkan ALLAH dengan sifat Pengasih-Nya dimasukkan ke neraka, saya takkan menyentuh tangan sahabat saya hatta memandangnya pun saya tidak akan. Kerana saya tahu, sahabat saya akan sedih melihat saya.

Menuturkan ayat ingin berjumpa dengan sahabat-sahabat saya di akhirat kelak, akan membuatkan hati saya menjadi sangat-sangat sebak. Apakah mungkin saya dan mereka bisa ketemu? Ingin menjadi jiran mereka di syurga. Apakah saya mampu?

Mekarnya ukhuwah sesama manusia itu adalah mekarnya dan berbunganya ukhuwah dan kasih-sayang yang kita serahkan kepada ALLAh. Jika hubungan dengan ALLAh sudah retak, apakah hubungan sesama manusia akan menjadi sangat manis? Adakalanya, ALLAh mungkin datangkan dugaan kepada sebuah persahabatan untuk melihat sejauh mana ukhuwah yang dimaksudkan kerana ALLAh.

Dalam ujian itu, ada yang berjaya. Tidak kurang juga yang kecundang. Dan saya, tidak mahu menjadi golongan yang kecundang dalam persahabatan.

Hebatnya Ukhuwah Sesama Mereka

Pernah suatu hari tu semasa dalam kelas. Tidak silap saya semasa mempelajari subjek Matematik. Dan tidak silap saya, pada waktu itu lebih kurang 3 minggu sahaja lagi peperiksaan akan menjengah. Saya sedar perubahan yang berlaku dalam ukhuwah antara saya dan sahabat-sahabat yang lain, terasa jauh. Agaknya sebab masing-masing sedang sibuk untuk mengulangkaji pelajaran. Dan kesilapan kami pada waktu itu adalah, kami menyedari ukhuwah sesama kami makin longgar namun tiada siapapun yang seakan-akan kisah mengenainya. Kami menyedarinya. Dan guru-guru yang kenal kami dengan rapat juga merasainya.. MashaALLAh.

Guru yang ada dalam kelas pada waktu itu adalah Cikgu Haji Osman. Cikgu ni adalah seorang guru yang sangat suka bercerita dalam kelas. Tiada satupun kelas yang dimasukinya melainkan ada sahaja cerita yang ingin dikongsinya. Kadang-kadang saya bertanya, cikgu ni tidak penatkan atau tidak pernah ketandusan ideakah untuk berkongsi cerita? Jawapannya adalah satu, Cikgu Haji Osman punya banyak pengalaman. Cerita beliau bukan hanya sekadar cerita, tetapi manusia motivasi. Dan pada pagi itu saya masih ingat lagi, beliau menyentuh tentang ukhuwah mereka dalam persahabatan.

Betapa kagumnya saya. Dalam pada masa yang sama, mata saya berkaca.

“Kami, bila terasa ukhuwah tu kering.. Kami cepat-cepat siram! Masa Cikgu di Semenanjung sebelum ke UK, cikgu terpegun melihat sahabat kepada sahabat Cikgu yang sangat-sangat memelihara perasaan sahabat sendiri. Semasa main futsal pun sangat beradab. Bila terlanggar sikit, diorang akan cakap, “afwan ya akh! afwan!” Dan mereka sanggup tak tackle bola tu sebab nak jaga perasaan sahabat. Tak nak mengkasari sahabat tadi walaupun waktu itu hanya bermain.. Hebat kan?” Cikgu tu bercerita dan semua pelajar khusyuk mendengar.

“Cikgu dah lama hidup. Walaupun cikgu ni dah tua, tapi cikgu masih muda. Masih terasa seperti berumur 18 tahun. Cikgu masih remaja.. Jadi, kamu janganlah bagitau cikgu bahawa tiada di antara kamu ni yang ukhuwahnya dengan sahabat-sahabatnya sentiasa tenang,”

“Masa kamu sibuk macam nilah sikap mementingkan diri tu sangat menebal dalam diri kamu. Ada yang dipulaukan, malah ada yang dibenuakan!”

“…Yang pasti, ukhuwah kami tidak seperti kamu semua. Yang adakalanya indah, indahlah sangat. Tapi bila gersang, gersang yang amat!” Terasa waktu tu Cikgu sedang menampar pipiku.

Apa yang diceritakan oleh beliau itu sebenarnya memang ditujukan khas buat kami. Masa tu, sikap mementingkan diri sendiri sangat menebal. Kerana hendak berjaya untuk berada di puncak, maka sahabat yang lain ditinggalkan. Semuanya hanya ingin berjaya seorang-seorang sahaja.

Nah! Sifat seperti ini juga memusnahkan sebuah persahabatan. Mungkin niatnya memang murni. Tapi tanpa kita sedari, syaitan sudah mula menyucuk. Saya dan kalian juga tahu, dalam dunia ini hidup bukan semata-mata untuk ukhuwah. Namun segala-galanya adalah kerana ukhuwah~! Fahamkan..

Jadi, Eratkah Kita?

Saya sendiri bukan merupakan sahabat yang baik. Adakalanya tanpa disedari melukakan sahabat sendiri. Tapi, bukankah sahabat yang baik itu juga adalah sahabat yang sentiasa menegur akan kesalahan-kesalahan hamba-Nya? Pun begitu, saya tidak boleh bergantung harap kepada sahabat-sahabat saya. Hal ini kerana, saya perlu menyedari sendiri apakah kesilapan yang saya telah lakukan sehingga membuatkan sahabat saya terluka.

Pertanyaan “Jadi, Eratkah Kita?” ini saya lontarkan buat diri saya sendiri.

Perlunya tanamkan dalam hati sedalam-dalamnya, setiap ukhuwah yang kita jalinkan di dunia ini, harapannya kita bukan hanya berukhuwah semasa di dunia sahaja. Tapi juga sampai akhirat di mana janji ALLAh untuk menjadi HAKIM akan tiba.

Kadang-kadang kita sebagai manusia terlepas pandang.. Terlepas pandang akan ukhuwah sesama kita. Tautan hati yang kuat akan mengkhabarkan kepada kita jika ada antara sahabat kita yang tidak sihat zahir dan batinnya. Hatta, jika sudah mencapai halawatul ukhuwah itu sendiri.. Khabarnya apabila sahabat kita sedang mendoakan kita di sana, kita akan merasai doa itu di sini. Subhanallah! ALLAh juga pemberi perasaan yang indah dan unik ini.

Peringatan untuk diri saya sendiri. Kekuatan ukhuwah lillahi ta’ala itu sangat-sangat diperlukan dan akan menjadi suatu senjata bagi umat Islam apabila tibanya waktu dunia akan mengalami keadaan huru-hara suatu hari nanti. Persoalannya, dalam menuju masa itu yang hanya ALLAh SWT ketahui, eratkah hubungan kita bersatu dalam perjuangan? Tepuk dada, tanya iman!

Manisnya berukhuwah tidak menggambarkan eratnya ukhuwah. Renungkan… Wallahu’alam.

Semoga ALLAh merahmati.

One Comment

  1. adelia says:

    ukhwah memang sangat hebat.

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *