Jangan Kamu Salahkan Sesiapa

Assalamu’alaikum wbt.

Credit to : whoever made this picture.
Credit to : whoever made this picture.

Butang next ditekan berkali-kali pada Ipod. Bermacam-macam lagu yang belum sempat penyanyinya mengeluarkan suara, terus sahaja bertukar lagu lagi dan lagi. Hujan membasahi bumi Sandakan. Malam ini ketenangan hujan tidak membelai perasaan. Entah apa yang bergelodak didalam hati sekarang ini. Fikiran menerawang jauh. Sejauh alam.

Kenangan demi kenangan singgah di layar memori.

Memang otak akan membuli jasad ya untuk tidak berehat? Jasad kata, aku mahu berehat. Otak kata, jangan harap! Selalu sahaja begini. Ada yang berpengalaman sama seperti ini? Keluhan demi keluhan dilepaskan. Bukan kerana mengeluh dengan suratan takdir. Tapi kerana dari tadi pusing ke kanan, tidak kena. Pusing ke kiri, tidak kena.

Keluhan tidak mampu mengubah apa-apa. Kadang, langsung tidak membantu mana.

Hidup ini adalah bertanggungjawab kepada diri sendiri. Bahkan bukan kepada diri sendiri sahaja. Tapi kepada orang-orang sekeliling. Kepada sahabat-sahabat yang jauh dan dekat. Kepada kenalan. Kepada orang-orang di luar sana.

Dan kau tahu apa perasaan dia bilamana kau tahu kawan kau sedang nazak (dengan permainan dunia), tapi kau tidak dapat bantu dengan tangan sendiri atas beberapa faktor? Kau tahu perasaan dia macam mana? Perasaan dia, kurang enak.

Kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ujian kerana kecantikan dan keenakan dunia. Termasuk diri ini sendiri dan kamu semua yang di luar sana..

Ketika mana dalam hidup kamu pernah tergelincir dari landasan yang betul. Ketika mana iman kamu turun dengan mendadak. Ketika ibadah siang dan malammu lompong di sana sini. Saat kamu merasai kesihatan jiwamu sangat parah. Dan saat kamu sendiri merasakan bahawa kamu menjauhi orang-orang soleh dan soleha lantaran kesombongan kamu yang bercampur segannya diri kamu kepada mereka. Detik dan ketika masih ada yang mengambil berat terhadap kamu untuk menarik kembali kamu ke jalan-Nya…

Maka soalan pertama yang kamu patut tanya adalah kepada diri kamu sendiri. Bukan kepada Tuhan yang asyik dan selalu kita salahkan akibat dari perbuatan tangan-tangan kita sendiri. Bertanya kepada diri sendiri..

“Kenapa aku jadi begini? Kenapa aku jauh daripada Allah?”

Menyalahkan orang sekeliling, baik rakan sebaya, rakan sekerja mahupun keluarga adalah tindakan yang kurang bijak. Kerana apa? Kerana sebenarnya apabila kita mencari-cari manusia lain untuk dipersalahkan atas keadaan diri kita yang jauh daripada Allah, sebenarnya kita sedang mahu menyembunyikan dosa-dosa kita daripada Allah. Walhal, Allah itu Maha Mengetahui Segalanya! Tiada apa pun yang boleh kita sembunyikan daripada Allah.

Tetapi sebaliknya, berbaliklah kepada diri sendiri. Bersoal jawablah dengan diri sendiri dan mencari ruang sebanyak mana untuk kita menilai kembali kelalaian-kelalaian diri kita sendiri sehingga kita boleh melupakan Allah dan meletakkan keduniaan nombor satu dalam hati kita.

Saya, kamu, kamu dan kamu akan berhadapan dengan ujian yang macam-macam dalam kehidupan ini. Ujian kita mungkin tidak sama. Tapi asal namanya ujian, maka kita berhadapan dengan dunia dan kekentalan iman kita bagaimana sebenarnya. Jangan sesekali menyalahkan kebaikan dan cuba menafikan kebaikan yang sepatutnya perlu wujud dalam diri dengan mengatakan, “Aku rasa aku hipokrit kalau buat benda-benda (kebaikan) tu..”

“Aku rasa aku hipokrit” – hanyalah ayat yang digunakan sebagai alasan untuk meloloskan diri dari rasa bersalah kerana menjauhkan diri dari segala perintah Allah!

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *