Gembira Mensyukuri Nikmat ALLAh

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Saban hari, masa dan ketika manusia menikmati kurniaan ALLAh. Setiap detik dan saat sejak manusia dilahirkan hinggalah saat ini, manusia tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Kurniaan ALLAh tiba setiap hari, tidak pernah berhenti, malah ia menjadi lumrah kepada manusia. Lumrah yang wajib ada.

Tetapi, adakalanya ada juga sebahagian manusia yang terlupa bahawa apa yang kita ada asalnya daripada ALLAh SWT. Malah kadang-kadang ada yang menjadi seperti kacang melupakan kulit.

Tidak manis begitu, kan?

Manusia, apabila ada orang memberikan sesuatu pemberian, maka hati manusia akan berbunga-bunga. Dan sedaya-upaya berbaik-baik dengan si pemberi itu tadi. Nah, pemberian manusia itu pemberian yang sementara dan ianya juga datang dari ALLAh. Jadi, bagaimana nak hargai pemberian ALLAh.

Kita gembirakah atas nikmat pemberian dari ALLAh? Senyum.

Setiap Apa Yang Kita Perlukan, Datangnya Dari ALLAh

Hakikatnya, sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang melalui halkum, dan setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan keburukan dan keindahan yang kita lihat adalah kurniaan ALLAh SWT.

Perasaan cinta, suka, duka, sedih dan sakit itu juga datangnya dari Dia.

Tanpa izin ALLAh, hendak mengunyah makanan atau menelan bubur pun manusia takkan boleh. Jadi, masihkah ada ruang lagi bagi manusia rasanya untuk memperlekehkan kurniaan ALLAh? Dan menyisihkan segala perintah-Nya?

Bagi manusia yang merasa megah kerana perlindungan yang dia dapati dari kedua orang tuanya, adik beradiknya, kawan-kawannya apabila dikatakan padanya mengenai perintah ALLAh, maka segala perasaan yang ada pada orang sekelilingnya itu juga adalah kurniaan ALLAh SWT.

Manusia hendak bermegah dengan siapa sebenarnya? ALLah? Senyum.

Makanya, kenapa disarankan setiap pekerjaan dimulakan dengan Bismillah. Kerana apa yang semua kita lakukan dan perolehi adalah datangnya dari ALLAh.

Jika difikirkan, tiada ruang bagi manusia untuk bersikap sombong.

Kerana di atas sana, ada lagi yang Maha Sombong!

ALLAh Sangat Baik Kepada Ciptaan-Nya, Sebenarnya

Kita ini, patut berasa malu sebenarnya. Malu dengan ALLAh, malu dengan para malaikat dan malu kepada kerajaan langit!

Ya, malu. Kenapa?

Kadang-kadang kita lupa untuk bersyukur dengan apa yang ada. Apabila mendapat rezeki besar, manusia boleh lupa kepada Sang Pemberi, malahan! Apa yang dia nampak hanyalah apa yang ada di depan matanya. Namun ALLAh, langsung dibuang dari hatinya.

ALLAh bukan tidak tahu jika hamba-Nya berlakuan seperti itu. Dia tahu. Dan Dia Maha Tahu.

Tapi sahabat tahu tidak? ALLAh masih terus memberi dan memberi. Walaupun ada dikalangan hamba-Nya yang bersifat seperti kacang lupakan kulit. Dan hanya mengingati ALLAh apabila berada didalam kesusahan.

Jelik benar perangai, kan?

Makanya, sebagai menunjukkan yang kita ini rasa seronok dengan pemberian ALLAh, rasa gembira dan bersyukur, perasaan itu seharusnya dilakarkan dengan segala perlakuan iaitu mengabdikan diri kepada ALLAh SWT. Dan disamping berusaha untuk mencuba menjauhi segala maksiat.

Manusia darjatnya tinggi di dunia. Namun tidak selamanya di akhirat sana. Tinggi darjat tidak semestinya mulia. Mulianya seseorang hamba itu adalah apabila tingkah lakunya berteraskan tauhid dan akidah yang benar dan sentiasa mencuba melorongkan diri di jalan ALLAh.

Jadi, kita ini, kenalah ringan-ringankan melatih dan mengajar lidah untuk sentiasa memuji ALLAh, kan?

Hei sahabat! Anda bagaimana? Saya sedang mencuba. Adakah kalian juga begitu?

Mari, senyum dalam keimanan!

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Gembira Mensyukuri Nikmat ALLAh

  1. Pingback: bokep 3gp seru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *