Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Di Daerah Kekecewaan

Assalamu’alaikum wbt.

Jangan biarkan diri kita terperangkap dalam dearah kekecewaan.
Credit Picture: by_destructivexdemon

Terbaca sedikit mengenai kekecewaan dalam buku yang ditulis oleh Nik Nur Madihah, Noktah Terjahit. Terima kasih kepada yang menghadiahkan buku tersebut. Alkisahnya mengenai daerah kekecewaan. Berdepan dengan kekecewaan bukanlah perkara yang mudah. Ibaratnya kecewa itu, kita carik-carikan sehelai kain, lalu kain yang terkoyak-koyak itu dijahit semula. Apa yang akan jadi? Kesannya masih ada di situ, jadi tidak cantik. Begitulah kiranya kesan kecewa dalam hidup.

Boleh pakai tak perumpamaan saya itu? Kalau tak boleh pakai, saya nak juga pakai! 😀

Tiada manusia yang tidak pernah kecewa. Tiada manusia yang hidupnya gembira-gembira saja. Tiada manusia yang tidak pernah diuji dengan masalah. Perlu kita tahu, seceria dan seramah serta semanis apapun wajah seseorang itu, atau seceria mana pun tulisan orang yang kita baca, itu tidak mencerminkan seratus peratus keceriaannya.

Dan daerah kekecewaan itu, adalah antara daerah yang perlu kita lalui dalam hidup ini. Daerah yang sering kali kita terasa berada dalam dunia sendiri dengan kelemahan serta penyesalan yang kita akui. Masih belum termasuk dengan tindakan kita membunuh harapan diri sendiri dengan mengatakan bahawa kekecewaan yang dialami ini, adalah kerana diri kita sendiri. Atau kerana orang lain yang cukup kejam mengecewakan.

Jangan Berlama-lama Kecewa

Tahu kenapa kekecewaan terjadi? Kerana perkara yang berlaku tidak seperti yang kita jangkakan dan impian. Kerana hal-hal yang berlaku melukai hati dan jasad kita. Dan kadang-kadang kerana terasa dunia ini sangat-sangat mengecewakan sehingga membuatkan kita terkurung dalam perasaan kecewa sendiri.

Beritahu saya, siapakah dia yang tidak pernah merasai kecewa?

Saya juga pernah kecewa, tapi terus terang saya katakan. Berada dan mengurung diri dalam perasaan kecewa, hanya akan membuatkan kita menjadi manusia yang hilang arah. Kenapa? Kerana kita masih terperangkap dalam peristiwa dimasa lalu sehingga hal-hal yang akan datang, seakan-akan tertutup buat diri kita.

Boleh jadi kita benci dengan takdir dan kehidupan.

Kecewa Itu Ada Dua Jenis

“Kau kenapa Suhana sampai membebel kecewa berjenis-jenis ni?”

Hahaha. Janganlah marah. Bertenang. Bak kata anak buah saya Fatima Ameerah, “SABAAARRR!”. Betul, kecewa itu ada dua jenis. Kedua-dua jenis itu yang membuatkan ke mana hala tuju kita dalam kecewa dengan hidup. Percaya tak?

Pertama, kekecewaan yang membuatkan kita mendekat kepada Allah. Kekecewaan yang membuatkan kita sedar bahawa hidup kita ini bukanlah hak milik kita mutlak sehingga apa yang kita rancang dan usahakan sentiasa terjadi mengikut apa yang kita mahu. Kekecewaan jenis ini, membuatkan kita sedar bahawa kita ini ada Allah, kita milik Allah. Dan sehebat mana pun persiapan atau rancangan kita untuk sesuatu dalam hidup, ada HAKIM YANG AGUNG untuk APPROVE rancangan, harapan dan cita kita tersebut atau Tuan Punya Dunia akan DENY.

Kekecewaan ini akan membuatkan kita lebih baik. Tidak tenggelam dalam luka hati. Kerana kita yakin, walaupun belum lagi kita nampak mana hala tuju, tapi kita yakin dan percaya bahawa Allah ada rancangan-Nya tersendiri dan DIA tidak akan meninggalkan kita selagi mana kita tidak meninggalkan DIA.

Make sense, right?

Kedua, kekecewaan yang membuatkan jiwa kita retak dan putus harapan. dengan kehidupan ini. Kekecewaan yang membuatkan kita merasakan bahawa dunia dan takdir hidup sangat kejam menzalimi kita. Seolah-olah usaha dan penat lelah kita tiada harganya walau sekelumit. Kekecewaan yang akhirnya lambat laun akan menyalahkan Allah SWT. Merasakan bahawa DIA tidak adil dalam kehidupan kita.

Kekecewaan ini terasa seperti mengurung kita dalam sebuah daerah yang sunyi, gelap, tiada ceria, jauh dari keramaian. Kita jauh dari Allah, kita merasakan bahawa kita dan DIA sudah tiada perhubungan (God forbid). Bahkan kita merasakan bahawa dunia tidak akan hairan jika kita tiada, yang bakal menjurus untuk kita membuat hal yang bukan-bukan.

Kenapa terjadi jenis kekecewaan seperti ini?

Kerana kita TIDAK MENCARI ALLAH sejurus selepas kita kecewa. Kerana pertama-tamanya kita menyalahkan Allah atas apa yang berlaku. Kerana kita terlalu berharap kepada dunia ini yang bukan tempat kita sebaliknya hanya persinggahan kita. Dan kerana ego kita terlalu tinggi sebagai seorang hamba kepada Tuhannya!

Masalah Bukan Pengakhiran Hidup

Saya tahu tidak mudah. Saya tahu susahnya bagaimana. Saya faham perasaan sunyi itu bagaimana rasanya. Saya mengerti apa keadaannya dicengkam dengan perasaan mahu berjaya dan yang berlaku sebaliknya. Saya tahu rasa kecewa itu bukan suatu yang indah.

Tapi fikir sejenaklah, keadaan tidak akan jadi lebih baik jika kita menyalahkan takdir yang membawa maksud menyalahkan Tuhan kita. Menurut Rasulullah, sekasih-kasih ibu bapa kita kepada kita, kasihnya Allah kepada kita tiada tandingnya dengan kasih ibu bapa kita. Jadi, masakan Allah mahu menjerumuskan kita kepada sesuatu yang membawa keburukan semata-mata?

Kadang-kadang sebenarnya, kita lupa nak bersihkan hati sehingga apabila berlaku sesuatu, kita tidak dapat berfikir dengan waras, sebaliknya kita terus melatah dan merungut dengan takdir hidup. Ada kaitankah pula keadaan hati dengan semua ini? Ada. Iman dan hubungan kita dengan Allah pun adalah punca tertinggi hala tuju hidup kita.

Bagaimana kiranya kita mahu meletakkan dunia dalam genggaman kita kalau, kalau hati kita sudah dipenuhi dunia dan bukannya iman dan Allah? Tidakkah jadi huru hara jadinya secara logik? Tenang, tenang. Allah ada, Allah takkan tinggalkan kita.

Hei, senyumlah sikit. :’)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *