Cintailahi.Com 8 Tahun!

Selamat ulangtahun, wahai Cintailahi.Com yang ke-8 tahun!

Pada 22 April 2018, beberapa hari yang lepas saya sudah memperbaharui domain blog cintailahi.com ini. Hari ini pada 25 April 2018, genap 8 tahun blog ini sudah wujud! Bermakna sudah dibina pada bulan April 2010 dulu.

Ala kulli hal, 8 tahun pengalaman yang cukup bermakna. Walaupun sekarang sebenarnya semasa sedang menaip ini sepertinya tidak percaya. “Biar betul sudah 8 tahun?” Tempoh yang tidak sekejap sebenarnya. Dari blog ini juga antara wadah yang membawa perubahan dalam hidup saya sendiri sejujurnya.

Saya masih ingat apa misi dan visi kenapa blog ini saya wujudkan.

Pertama, kerana mahu memaksa diri menulis di sini. Kerana ini adalah hosting dan domain yang berbayar, maka saya mengira bahawa akan sia-sia jika saya bayar tapi tidak juga rajin menulis dan kemaskini di blog ini. Kalau saya berbuat demikian, akan timbul istilah pembaziran yang akan saya lakukan. Blog ini tidak sama seperti blog-blog saya yang sebelumnya, percuma dan konsep yang masih anak-anak riang. Jadi ya, inilah salah satu saya mendidik diri sendiri untuk terus menulis dengan serius pada waktu itu.

Kedua, saya menanam cita dan harapan agar dari blog ini terhasil sesuatu. Ada dua sebenarnya dalam benak saya waktu itu; menghasilkan buku, tidak pun biarlah blog ini dibaca oleh ramai orang dan mendapat sesuatu bermanfaat dari sini agar ada kebaikan yang mengalir nanti dalam hidup saya walaupun sudah meninggalkan dunia. Malah, di dalam blog ini juga saya pernah muatnaik entri yang mengandungi impian saya untuk menulis buku.

ALHAMDULILLAH! Melalui blog ini juga saya dilamar! Dilamar oleh seorang editor dari syarikat penerbitan yang saya sangat berterima kasih sehingga sekarang. Dan selepas itu, lahirlah karya sulung saya ALLAH TIDAK PERNAH JAUH, yang segala puji seluruhnya kepada Allah SWT, menjadi best-seller dan telah dicetak lebih kurang sebanyak 20 000 dalam masa dua tahun!

Ya Tuhan, nikmat manakah yang ingin aku dustakan?

Sepanjang kewujudan blog ini, terima kasih juga kepada para penyumbang yang mulia, yang pernah menyumbang berupa wang ringgit untuk saya memperbaharui blog saya sebelum ini. Semoga Allah SWT melipatkali gandakan rezeki anda. Dan anda tahu anda siapa sekiranya anda membaca post ini, ketahuilah sungguh-sungguh saya berterima kasih. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan serta sokongan yang ditunjukkan.

*tunduk hormat*

Apa harapan saya untuk tahun-tahun seterusnya?

Kemaskini Cita-Cita Baru Pula

Saya pernah berazam dulu, sekiranya saya hendak menghasilkan novel, maka saya perlu menghasilkan buku motivasi terlebih dahulu. Segala puji bagi Allah, buku motivasinya sudah terlaksana dan akan terus berusaha menulis dalam genre yang sama. Tetapi selepas ini, saya berharap kepada diri sendiri untuk lebih berusaha menulis pula dalam genre novel seperti mana niat yang saya telah pasakkan suatu masa dulu. Siapkan apa yang dimulakan, Suhana.

Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus membaca dan menulis.

Pernah ada beberapa individu yang bergurau dan berkata, “Untunglah sudah jadi seorang penulis. Mesti ramai peminat dan dapat royalti.” Saya senyum saja. Tahan untuk telan sendiri hakikat hidup seorang penulis. Apatah lagi penulis sendu macam saya ini. Yang tidaklah terkenal mana, kerana itu bukan tujuan saya. Kalau boleh, cukuplah karya saja yang dikenali dan sentiasa memberi manfaat kepada para pembaca.

Ada perkara yang ingin saya beritahu, dunia penulisan itu adalah dunia yang sunyi. Cukup sunyi untuk kau mengkoreksi diri sendiri. Apakah kau sanggup berada di dunia ini, yang bila-bila masa kau akan teruji dan ditikam oleh tulisanmu sendiri? Cukup sunyi, untuk kau sabar.

Tetapi sekali kau menulis, karyamu tidak akan pernah mati.

Harapan Selepas 8 Tahun Ini

Semoga makin rajin menulis dan memanfaatkan penulisan. Semoga dapat bantu diri sendiri dan keluarga. Insya-Allah, hendak usaha sehari paling kurang artikel akan dimuatnaik dalam blog ini. Mengambil semangat suatu masa dahulu, hampir setiap pagi mesti ada saja entri terbaru.

Ucapan terima kasih kepada anda pembaca blog ini, anda saya tidak lupakan. Semoga doa-doa kebaikan yang mungkin kalian pernah berikan kepada saya, insya-Allah berbalik jua kepada kalian.

Ayuh, Suhana! Hidupkan kembali blog ini!

2 thoughts on “Cintailahi.Com 8 Tahun!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *