Buta Yang Dipulihkan Hikmah

Kita itu makhluk yang selalu saja jadi penasaran terhadap takdir hidup sendiri. Meski kita tahu bahawa hidup kita yang selalu berlaku tidak sesuai seperti apa yang kita ingini itu ada pengatur yang Maha Adil, Maha Tahu dan Maha Pengasih, tetap saja kita tidak boleh lari dari penasaran yang kadang kala keterlaluan. Malah ketika kita sedang dihantui rasa takut untuk sebuah risiko dan was-was kepada kebolehan diri sendiri, kita seakan-akan lupa sekejap bahawa kita itu sentiasa berada dalam ‘tangan’ Penguasa segala penguasa yang ada di atas dunia. Gah sungguh kedengarannya, bukan?

Jika begitu, bukankah sepatutnya kita tidak perlu ada kerisauan dalam hati? Tidak perlu jadi bersedih memikirkan sebarang kemungkinan? Tidak takut kepada kegagalan? Tidak khuatir akan perjalanan takdir hidup yang kita sendiri tidak tahu.

Tapi hakikatnya, itulah kita sebagai manusia kawan-kawan.

Bila kita ada kerisauan dalam hati, tidak bererti kita tidak percaya dan yakin kepada Allah. Bila kita ada kekhuatiran kepada kebolehan sendiri, bukan juga maksudnya kita hilang tawakkal kepada Allah. Malah, ketika kaki kita berat melangkah untuk memulakan sesuatu tetapi dalam masa yang sama hati kita mahu melaksanakan, tidaklah bererti bahawa kita itu tidak tetap imannya sepanjang masa. Tetapi itulah tandanya kelemahan kita sebagai seorang hamba dihadapan Sang Tuhan. Lemahnya kita menunjukkan bahawa kebergantungan kita kepada Allah. Ketika mana kita merasa bahawa kegagalan sedang menanti dan kita berat untuk melangkah, tapi tetap juga kita melangkahkan kaki, maka disitulah terkandungnya pertolongan dari Allah.

Adakah kita berfikir bahawa kita tetap melangkah kerana diri kita sendiri dan bukannya kerana pertolongan dari Allah? Adakah kita berfikir bahawa ketika mana kita dalam rasa takut tapi tetap juga kita beranikan diri menghadapi suatu situasi, itu adalah kerana diri kita sendiri? Tidak, kawan! Tetapi kerana Dia sedang mengajarkan kita bertatih dalam hidup untuk yang ke sekian kalinya.

Kita selalu buta walaupun kita celik terhadap kehidupan ini.

Ketika kita merasa lemah bak anak kecil yang menangis sendiri siang dan malam, siapakah yang masih memberikan secebis kekuatan kepada kita untuk menghadapi hari-hari seterusnya sehingga kita tidak menyedari bahawa kita sedang kuat pada jalan yang tadinya kita pesimis dan penuh kekhuatiran? Kita tanpa sedar diri kita sedang menerima situasi hari demi hari, yang sebelumnya kita takut untuk menjadi sebahagian darinya. Dan akhirnya, peribadi kita terbina di daerah itu.

Kita memang akan selalu buta, kawan. Kita akan selalu buta apabila berhadapan dengan sesuatu yang kita tidak tahu. Dan sebahagian dari kita, atau sedikit dari kita yang mahu melihat kembali tapak demi tapak, langkah demi langkah perjalanan hidup, yang membawa dan menjadikan jasad dan peribadi kita seperti hari ini.

Berapa ramai diantara kita yang mahu pulih dengan hikmah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *