Apa Yang Membentengi Diri Kita?

Kadang-kadang yang membentengi kita dari melakukan usaha itu adalah diri kita sendiri.
Credit Picture: Fooyee Deviantart

Pernah tidak kita mahu melakukan sesuatu bersungguh-sungguh, dan sesuatu itu adalah sesuatu yang kita sangat inginkan dalam hidup. Kita tahu apabila kita melakukan hal itu, itu adalah antara hal-hal yang gembira dan membahagiakan diri kita sendiri. Tetapi, hasilny adalah kita tidak melakukan apa-apa kerana tiada kekuatan, tiada motivasi, tiada kesungguhan, tiada terasa dorongan dalam hidup. Selepas itu mulailah menyesal, kenapa kita tega membuang masa.

Maka timbullah penyesalan dan kalau yang banyak. Kalaulah kita bergerak dan paksa diri melakukan perkara itu, pasti sekarang kita sedang menatap hasilnya. Kalaulah semangat kita melakukan perkara itu sama seperti semangat kita mengambil tahu hal-hal kehidupan orang lain di Facebook, Instagram dan Twitter, pasti hasilnya memberangsangkan. Kalaulah kita fokus terhadap perkara yang membahagiakan kita itu, pasti kita sedang puas dengan pencapaian diri sendiri sekarang ini.

Pernah tidak berlaku hal-hal yang hampir sama dalam hidup kita?

Jika ditanya KENAPA, pasti sangat saya terlalu banyak alasan yang akan kita berikan. Dan seperti selalu saya pegang, apapun bicara yang kita berikan sebagai alasan, itu tetap akan menjadi sebuah ALASAN. Sudah tiba waktunya kita memukul diri dan menyoal diri.

Sebenarnya, alasan itu salah di sekeliling kita atau memang sebenarnya SALAH KITA?

Sekeliling Hanyalah Gangguan

Seperti kebanyakan alasan dan penolakan terhadap salah diri sendiri, saya dan mungkin juga anda, tetap akan menyalahkan keadaan sekeliling. Menyalahkan itu dan ini. Menyalahkan ketersibukan kita terhadap perkara seharian. Menyalahkan mood atau ilham yang tidak kunjung tiba. Mahu disenaraikan lagi? Fuh, boleh! Tapi akan jadi terlalu panjang jadinya. Kerana kita ini manusia yang pandai mencari-cari perkara untuk menjadi sandaran akan hal-hal yang menjadi salah kita.

Kalau seperti saya, pastilah saya akan memberi seribu satu alasan kenapa blog ini sudah sering bersawang. Pasti saya akan mengatakan oh kerana saya sedang berhadapan dengan masalah itu dan ini, saya sedang berlawan dengan diri sendiri yang tidak tahu ke mana motivasinya, atau saya akan mengemukakan alasan yang banyak untuk menyelamatkan diri. Nampak, kan? Persoalannya, kenapa Suhana? Kenapa tidak seperti beberapa tahun yang sudah, paling kurang ada satu artikel baru pada setiap hari. Tetapi sekarang ini, bagus kalau dalam sebulan itu ada beberapa artikel. Tetapi sebaliknya yang berlaku, selang beberapa bulan hanya akan ada satu artikel dimuatnaik. Begitulah kita. Kaya. Kaya dengan alasan!

Kalau hal-hal yang berlaku di sekeliling itu menjadi alasan, pastilah Sayyid Qutb tidak dapat mengarang karya di dalam penjara yang umum kita ketahui penuh dengan ketidakselesaan, tetapi sehingga kini karya-karya beliau dibaca dan menjadi rujukan di seluruh dunia. Apakah itu menjadi alasan terbesar beliau untuk menjadi seseorang yang terperuk dan menunggu hukuman?

Sekiranya dugaan yang dihadapi dalam hidup itu menjadi alasan kukuh untuk tidak maju dalam hidup, maka pasti tidaklah J.K Rowling menjadi penulis yang pendapatannya mencecah jutaan dalam ringgit. Selain masalah peribadi yang ditanggung bertahun-tahun, beliau tabah apabila ditolak karyanya berkali-kali oleh syarikat penerbitan dengan hinaan dan cemuan. Namun akhirnya, lihatlah sekarang bagaimana beliau dikenali kerana karyanya.

Persamaan mereka adalah, mereka juga diduga seperti kita. Mereka ada masalah peribadi. Mereka berhadapan dengan masalah yang besar. Antara hidup dengan mati. Mereka menempuhi ketidakselesaan dalam hidup. Mereka juga mungkin pernah menangis bersungguh-sungguh ketika tiada satu pun yang melihat aliran airmata mereka. Adakah keadaan itu menghalang mereka?

Apa-apa yang kita rasa menghalangi kita untuk membuat sesuatu yang kita suka dan yang membahagiakan kita, hanyalah satu gangguan. Persoalan terbesarnya adalah, adakah kita mengalahkan gangguan-gangguan yang tidak akan pernah putus, atau kita dikalahkan oleh gangguan yang sedikit dan nanti-nanti akan berulang walau dalam hal yang tidak sama?

Kita ini lucu ya? Berangan mahu mencapai hal-hal yang membahagiakan terjadi dalam hidup tetapi tidak sanggup menempuhi jalan-jalan yang wajib dilalui untuk mendapatkannya. Apabila kita tidak berjaya mendapatkan yang kita citakan, kita mulai pula untuk menyalahkan takdir Tuhan yang membawa keberadaan kita di dunia ini. Bila kita mendapat nasihat, bukannya kita mahu terima. Tetapi kita pusing pula kepada hal menyalahkan nasib kita yang memang sejak dahulu lagi selalu malang.

Betapa liciknya diri kita.

Lawanlah Demi Cita dan Impian Kita

Ini kenapa tiba-tiba mahu lawan pula? Mahu melawan siapa?

Melawan diri sendiri yang selalu banyak alasannya. Yang terlalu pandai memberi alasan apabila dilanda kekecewaan terhadap diri sendiri. Kerana alasannya itu untuk lari dari hakikat bahawa memang sebenarnya keadaan diri kita sekarang ini kerana sebab kita sendiri. Lawanlah diri sendiri yang terlalu cepat kecewa hatinya terhadap manusia dan hal-hal kecil yang sepatutnya tidak menjejaskan keamanan jiwa kita. Lawanlah diri sendiri yang selalu mengeluh dan selalu lupa bahawa orang lain juga ada keluhannya tersendiri. Lawanlah diri sendiri yang selalu tertekan kerana tidak mencapai apa yang mahu dicapai.

Tiada kejayaan yang datang tanpa usaha. Kita tahu, bukan?

Jadi sebenarnya, yang membentengi diri kita untuk melakukan hal-hal yang perlu kita lakukan tidak lain tidak bukan adalah diri kita sendiri. Tidak hairanlah jika dulu-dulu, ilmuan selalu berkata bahawa musuh terbesar kita adalah diri kita sendiri. Dan hadis juga ada menyebut tentang nafsu yang ada dalam diri kita semua. Melawan nafsu itu termasuk diantara jihad yang besar. Nafsu itu juga boleh dikaitkan dalam situasi yang saya sebutkan dalam artikel ini.

Maksud hadis:
“Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad (berjuang) melawan dirinya (hawa nafsunya).” -Hadis Sahih-

Jika ada orang yang perlu disalahkan, maka orang itu adalah diri kita sendiri. Maka, selepas menyalahkan diri sendiri. Harus berduka? Merasa tidak berguna? Useless? Hopeless? Merasa paling gagal dalam dunia? Jawapannya, BUKAN! Tetapi sebaliknya, selepas sedar bahawa yang salah itu adalah kita dan kekurangan kita menguruskan masa dan kehidupan serta mood kita, sepatutnya kita lebih peka dan cuba bersungguh-sungguh.

Mulakan sedikit demi sedikit terlebih dahulu. Apa lagi selepas kita tinggalkan lama, kerana sebelum ini alasan kita adalah tidak cukup masa dan tiada ilham. Cuba untuk konsisten dalam beberapa ketika. Lama-lama kita akan selesa dengan ketetapan begitu dan akhirnya kita jadi seronok untuk buat. Kita akan jadi macam, bila tidak buat akan terasa janggal dan jadi satu kekurangan.

Segala nasihat dalam artikel ini, segala ketukan, pasti-pastilah pertama sekali untuk diri saya sendiri. *tepuk dahi* Dan jika anda yang membaca sedang berada dalam situasi yang hampir sama tapi tidak serupa, semoga bermanfaat bagi anda. Ayuhlah kita sama-sama mengutip kembali semangat kita yang berjatuhan di jalanan. Masih belum terlambat untuk melakukan hal-hal yang menarik dan membuat kita bahagia dalam hidup. Semoga kita semua berjaya, insya-Allah!

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *