Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Antara Kita dan Waktu

Bismillah.

Sesederhana apapun kita di dunia, atau apa adanya kita. Mesti kita akan terfikirkan yang terbaik buat diri kita dan insan-insan kesayangan kita. Credit Pic : http://endegor.deviantart.com/

Sesederhana apapun kita di dunia, atau apa adanya kita. Mesti kita akan terfikirkan yang terbaik buat diri kita dan insan-insan kesayangan kita.
Credit Pic : http://endegor.deviantart.com/

Melihat seorang demi seorang dalam kalangan kawan-kawan yang melalui fasa demi fasa dalam kehidupan, jujurnya buat saya bahagia. Yang kita saksikan pernah tertangguh kejayaan, akhirnya berjaya dalam bidangnya. Yang dulunya kita kenal perangainya hanya suka main-main, akhirnya berbicara dengan serius mengenai hidup dan kebahagiaan di dunia. Yang berniaga dan sedang meluaskan perniagaan dan kepakarannya.

Dan yang jadi apapun mereka, yang masih kenal kita sebagai seorang kawan lama.

Betullah. Seseorang itu akan berubah seiring waktu menuju kedewasaan. Masing-masing akan mula memikirkan kelangsungan hidup. Kelangsungan cita-cita dan impian. Tidak kurang yang sedang berusaha mewujudkan sebuah syurga di dunia untuk keluarganya.

Namun ada satu perkara yang membuat saya tertarik untuk memikirkannya. Apapun yang sedang kita lalui. Kegusaran yang pernah dan sedang kita hadapi. Kesempitan dari segi kewangan atau hal lainnya. Ada insan yang pernah mengalami semua ini sebelum kita. Mereka itu mewujudkan apa yang pernah kita alami, yang tidak pernah kita terfikirkan dahulu. Yang kita tahu dulu, semuanya sudah tersedia. Apa yang kita mahu, kita pinta dan terus dikabulkan dengan cara mereka yang tersendiri.

Orang tua kita. Mak dan bapa kita.

Sedang sebahagian ramai dalam kalangan kita masih baru membangun untuk kesejahteraan hidup. Masih mencari-cari kesamarataan diantara kemampuan dan keperluan. Yang masih resah memikirkan untuk memenuhi keperluan dan kehendak hidup yang banyak pada zaman yang serba canggih ini.

Saya berfikir dalam mengenai hal ini. Hebatnya mereka melayari bahtera hidup dan memenuhi keperluan keluarga. Saya yakin sangat apa yang kita rasai pada saat ini, ketika terfikir-fikir dan tercari-cari jalan untuk lebih nyaman dan boleh hidup berdikari seadanya, pernah dirasai dan dilalui oleh kedua orang tua pada zaman mereka. Namun yang mengagumkan saya sebetulnya, bagaimana mereka dengan bersungguh dan telus untuk kuat demi keluarga yang mereka ada. Memberi makan, memberi tempat perlindungan dan pakaian serta memastikan keluarganya dalam keadaan sihat walafiat.

Tidak layak untuk kita katakan, ah zaman mereka itu adalah zaman untuk senang survive. Langsung tidak layak kita berkata demikian. Apatah lagi apabila orang tua kita itu bekerja keras dengan kudratnya, dari menjadi kuli diarah ke sana sini dan tidak bersekolah tinggi seperti mana anak-anaknya yang lebih tinggi persekolahannya.

Tapi tahukah kita perbezaan zaman itu dan zaman kita?

Kerana itu antara salah satu hal yang biasanya saya tidak kekok, adalah suka untuk bergaul dan bersembang dengan yang lebih tua. Kerana mereka kaya dengan pengalaman. Sedangkan kita hanya kaya dengan semangat, tapi kalah pada jerih payah pengalaman yang pernah dilalui oleh orang tua kita pada zaman mereka.

Kita semua sedang berjuang dengan cara sendiri, kan? Sedang berjuang mencapai cita-cita dan impian. Sedang membentuk secara tidak langsung masa depan sendiri. Dengan semangat yang masih muda, jangan pernah lupakan orang tua. Beringatlah.

Orang tua kita pernah menjadi anak muda. Yang penuh semangat dan kekuatan kudrat. Orang tua kita yang pernah berusaha untuk menstabilkan kehidupan sendiri dan keluarganya. Yang ada cita-cita dan impian yang entahkan sudah tercapai atau ada cita dan impian yang dikuburkan saja demi berkorban demi orang-orang yang mereka cinta.

Doakan orang tua kita, adik beradik kita dan kawan-kawan kita semuanya. Semoga walau kita dengan kelemahan masing-masing, Allah itu masih bantu kita menuju apa yang sedang kita perjuangkanan dan mencapai impian yang sedang kita kejarkan.

Semoga hal-hal begini tidak saya lupa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *