Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Moga Dikau Aman di Sana..

Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu’alaikum kawan-kawan…

Saya ada nenek, dan nenek saya masih ada seorang Ibu. Sehinggalah semalam. Bermakna ibu kepada nenek saya, adalah moyang saya.. Moyang saya bernama Rukiah binti Matlih. Beliau berumur dalam lingkungan 100 lebih. Agak tua, ALLAH telah panjangkan umurnya melihat kami anak cucu cicitnya, sehinggalah anak buah saya sempat mengenali moyang. ALLAH izinkan, ALLAH telah memanggilnya semalam. Moyang telah pergi sementara.. Pergi menghadap ALLAH.

Bila saya belek-belek kembali hidup saya kini, saya dikelilingi dengan kematian orang-orang yang disayangi. Baru sebulan lebih seorang insan telah meninggal, kini giliran moyang pula. Moga moyang aman di sana.

Saya tidak dapat tidur semalaman, terlelap sikit pun tidak. Dan saya teringat kat moyang lalu saya mencapai digital kamera dan melihat gambar kami berdua yang diambil oleh adik saya. Gambar itu diambil semasa kepulangan saya ke kampung nenek tahun lalu. Dan dengan gambar itu, saya tahu. Saya tahu saya takkan jumpa moyang lagi apabila balik kampung nanti.

Di kampung, banyak akan dan telah berubah. MashaALLAH. Satu persatu orang yang saya sayangi ALLAH ambil balik. Sungguh indah peraturan ALLAH.

Mata saya hendak mengalirkan airmata. Namun hati saya menghalang. Tidak salah untuk bersedih tetapi jangan sampai meratap.

Saya kena didik diri.. Kerana selepas ini, akan banyak lagi orang-orang yang saya sayangi akan dipanggil oleh ALLAH. Dan saya perlu bersedia untuk itu. Lumrah hidup…

Dan dengan kematian ini, ALLAH bawakan dengan peringatan. Bahawasanya, kematian itu memang sangat-sangat dekat dan tidak akan ada yang memberi atau menyampaikan berita kepadamu yang kamu akan meninggal pada sekian sekian haribulan.

Hari ni mungkin ALLAH panggil orang-orang yang saya sayangi. Orang yang dekat dengan saya. Esok-esok, saya tak tahu apakah akan tiba giliran saya pula. Semuanya rahsian ALLAh.. Wallahu’alam.

Dan, makhluk yang bernama manusia ini.. Selagi masih bernafas, maka lakukanlah amal kebaikan sebanyak mungkin. Luruskan niat. Semuanya kerana ALLAH..

Maaf.

Semoga ALLAH merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *