Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Selamat Hari Guru!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Selamat Hari Guru

Alhamdulillah. ALLah turunkan rahmat [hujan] pada pagi ini. Kesejukannya terasa. Subhanallah. Kawan-kawan, bila hujan turun, adalah tidak berat dan tidak susah untuk kita lafazkan doa ketika hujan turun, kan? Lafaznya begini..

“Allahumma shoyyiban naafi’a [an].”

Semalam, tidak sempat mengemaskini blog akibat dari kesiputan broadband. Sesudah bangun tadi pagi baru internet nak bekerjasama dan secara automatiknya juga idea yang hendak dicurahkan ke sini semalam sudah kabur. Jadi, lanjutkan saja pada idea pagi ini ya.

Sesungguhnya, kita manusia ini adalah sangat kerdil dan tiada apa-apa nilai di sisi ALLAh. Oleh itu, janganlah berjalan di atas muka bumi ini dengan membawa segala kesombongan dalam diri. Kerana kita tiada hak pun untuk menyombong, sikit pun tiada. ALLAh tidak rugi jika ada manusia yang enggan tunduk dihadapan-Nya. Dan ALLAh juga tidak rugi kalau kita menyombongkan diri, kerana ALLAh lagi Maha Sombong..

Berjalan di atas muka bumi ini biarlah dengan kerendahan hati nurani. Siapapun anda, apapun pangkat anda.. Ingat, anda bukan anda pada hari ini jika bukan kerana pertolongan ALLAh dan didikan guru-guru anda suatu masa dahulu. Mengingati dan menghargai jasa orang adalah digalakkan. Salah satu sebabnya adalah kita tidak lupa dan tinggi diri terhadap apa yang kita miliki. Iya kan?

Hari Guru

Hari ini adalah hari yang istimewa dan bermakna buat guru-guru. 16 Mei adalah hari guru pada setiap tahun. Istimewa sungguh para guru. Besar juga tanggungjawab mereka.

Saya mempunyai banyaaak guru. Dan mereka semua amat saya cintai.

Menjadi guru bukan satu pekerjaan yang mudah. Mental dan fizikal perlu sentiasa sihat dan waras. Kekuatan jiwa sangat diperlukan untuk mendidik anak-anak yang baru hendak mengenal dunia dimana semuanya mempunyai banyak ragam yang berbeza.

Adalah tidak mudah untuk melayan dan memahami pe’el semua pelajar. Bayangkan, dalam 1 kelas ada 50 – 70 orang. Guru yang prihatin sudah semestinya akan cuba mengenali semua pelajar yang ada di dalam kelas itu dan cuba memahami serta mengikuti tingkah laku pelajar-pelajar tersebut. Itu satu hal, hal lain lagi adalah memastikan ilmu yang disampaikan itu sampai ke dalam jiwa para pelajar.

Bagi saya, pekerjaan guru adalah tidak mudah.

Namun begitu, pekerjaan sebagai guru adalah pekerjaan yang paling mulia. Akan terasa kemuliaan dan aura kebahagian jika pekerjaan ini dilakukan kerana ALLah SWT dan sudah semestinya kerana keinginan untuk mendidik anak bangsa yang dalam kejahilan bertukar menjadi seorang yang ‘alim. Semua manusia dalam proses pembelajaran sepanjang hayat.

Guru Banyak Mengubah Diri Saya

Sangat-sangat berterima kasih kepada semua guru-guru saya. Guru-guru saya tidak hanya terdiri daripada guru-guru di sekolah sahaja. Sesiapa yang pernah memberi tunjuk ajar adalah guru saya, termasuklah sahabat handai dan rakan taulan. Terima Kasih saya ucapkan. Namun, guru yang paling banyak membawa perubahan dalam hidup saya adalah guru ketika mana saya masih berada di sekolah.

Mereka yang mengenalkan saya itu dan ini. Mereka yang mengajarkan saya siapa itu ALLAh. Mereka mengajar saya membina keyakinan diri, walaupun memang self-confident saya tidak berapa baik tetapi oleh kerana didikan mereka, saya boleh beraksi dengan gaya tersendiri. Mereka yang mengajar saya melafazkan ayat-ayat cinta ALLAh. Dan banyak lagi ilmu yang mereka turunkan. Dan dalam ilmu yang mereka turunkan itu, ada juga ilmu yang tidak saya manfaatkan dan akhirnya sehingga sekarang terasa rugi. Baiklah, itu adalah kelemahan saya. Saya akui. Hehe..

Bukan hanya murid saja yang pelbagai ragam. Guru juga begitu. Namun, mereka semua mempunyai keistimewaan masing-masing. Terima Kasih juga kepada guru saya, satu-satunya guru yang membolehkan saya meminati sejarah, bak kata muda-mudi sekarang.. Minat gileerrrr-gilerrrrr terhadap sejarah. Saya minat sejarah bukan kerana guru tersebut, tetapi kerana teknik yang beliau gunakan, maka ‘subjek tidur’ itu menjadi antara subjek yang saya minati. Syukran ya Mu’allimah!

Selamat Hari Guru, Cikgu!

Terima Kasih wahai guru-guruku. Kalian adalah sumber inspirasiku.

Semoga kehidupan kalian di dunia dan akhirat diberkati, dirahmati serta disayang ALLAh selalu. Tiada hadiah dapat dititipkan. Dan saya sendiri percaya yang kalian tidak mengharapkan sangat hadiah. Tetapi apa yang kalian harapkan adalah anak murid kalian menjadi seorang yang berguna kepada agama dan mencipta kejayaan. InshaALLAh, akanku berusaha menuju ke arah itu.

Tidak terbalas segala jasa dan budi yang kalian taburkan.

Sungguh kalian sangat-sangat telah menyinari kehidupan saya. Impian dan doa saya sedari dulu, semoga saya menemui kalian di akhirat kelak. Doa diterbangkan setiap kali usai menunaikan solat. Semoga ALLAh redha dengan doa-doa saya untuk kalian.

Juga kepada guru saya yang telah pergi menghadap Ilahi, Yuliana binti Samsudin. Semoga cikgu ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Dan semoga cikgu sedang tersenyum kerana saham cikgu ketika berada di dunia. Wahai cikgu ku, ketahuilah.. Bahawa saya sangat menyayangi cikgu. Selagi masih bernafas dan ingat, akanku terbangkan doa buat cikgu di sana.

[Hari menerima khabar kematiannya, saya menjadi longlai. Hampir rebah kerana lutut yang tiba-tiba menjadi lemah. Sangat terkesan dengan khabar itu, lalu tanpa disedari airmata saya mengalir. Sesungguhnya, senyuman cikgu menjadi kerinduan saya]

Tenanglah cikgu di sana…

Semoga ALLah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *