Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Khabar Buat Cinta Belahan Jiwa

Credit Picture : Google

Credit Picture : Google

Hujan membasahi bumi. Terkeluar suara kecilku dengan kata-kata ‘yes!’ yang sepatutnya perlu ku lontarkan ‘Allahumma shoyyiban nafi’an’ terlebih dahulu. Hanya kerana membayangkan tidurku akan diulit kesejukan malam ini.

Ya, my bad. I know.

Engkau tahu? Aku memikirkan masa depanku, dan termasuklah masa depan dengan dengan dirimu. Batasannya hanyalah sebuah angan-angan yang tidak berbayar. Aku tidak rugi jika tidak tercapai. Angan-angan itu percuma.

Tapi ada sesuatu yang perlu engkau tahu. Saban hari apabila aku masuk sahaja laman media sosial, semakin ramai yang berkongsi gambar-gambar mangsa yang terkorban akibat kemalangan. Lebih-lebih lagi mangsa-mangsa peperangan akibat dari perbuatan pemimpin yang bencikan kaum Islam di negara sana. Engkau pasti tahu, hatiku ini tidak pernah tenang melihat gambar-gambar yang sedemikian rupa. Dan aku pasti tidak lepas memikirkan keadaan mereka. Bukan kerana aku tidak mengambil endah.

Aku tidak terdaya. Allah tahu aku dengan usahaku walaupun tidak sebesar mana. Aku punya cara tersendiri untuk memberitahu kepada dunia.

Ah, sudahlah tentang cerita dariku. Bagaimana keadaanmu di sana?

Apakah mindamu terus cergas menerima pelajaran di sana? Atau hatimu sudah berpaling arah mengintai-intai si dia yang lebih dekat? Aku ketawa. Kalau betul, di pihak aku dan di pihak engkau; kita sama-sama tidak akan merasa rugi. Kerana tiada perjanjian lafaz antara kita. Hanya hati yang bersuara, tanpa didengari oleh telinga.

Ya, aku tidak mengapa.

Masih jauh perjalanan hidup kita. Tapi perjalanan ke rumah itu, masih jalan yang sama. Cuma ingin aku khabarkan sebuah arah – jika engkau mahu bertandang ke sini menjadi belahan di jiwa, engkau sudah tahu keberadaan dan arahnya di mana. Ku bentang dengan alas jalanan dengan penuh cinta.

Sehingga itu, sekiranya peraturan Tuhan membenarkan angan-angan menjadi cinta, ku sambut dengan penuh setia. Tetapi sekiranya Tuhan hilangkan kompas cinta diantara dua jiwa, masih tetap kita tidak rugi apa-apa. Meyakini cinta Allah terhadap kita itu lebih bahagia. Dan bahagia dari-Nya itu melalui apa sahaja dalam bentuk yang tidak terduga.

Kita akan baik-baik saja.

Kerana mencinta,
tidak bererti memilikinya dalam rangkulan jiwa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *