Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Kerana Hati Kita Ada Pemilik

Bismillah.

Kadang-kadang kita terkagum, bahawa hati kita berhubung. Padahalnya, itu kerana ada Allah yang sentiasa menjaga kita.
Credit Pic: https://jihadprincess.deviantart.com/

Semalam sebelum tengahari, terdetik dihati saya tentang seorang sahabat yang sudah beberapa bulan tidak bertemu. Saya tertanya-tanya, apalah khabar dia. Baik-baik sajakah? Ada tolakan rasa dalam hati untuk bersilaturrahmi. Kata saya dalam hati, nanti saya hantar mesej dan ajak beliau keluar. Satu hal yang kurang elok disitu adalah kerana ‘nanti’ saya itu sehingga membawa ke maghrib. Saya jadi lupa niat saya tentang sahabat tadi.

Dan tiba-tiba sebelum maghrib, saya mendapat panggilan dari sahabat yang saya terfikirkan itu. Selepas bertukar salam dan perkhabaran, beliau yang terus bertanya; adakah saya tidak sibuk selepas Isyak? Saya jadi macam, “Weh, sebenarnya memang tengahari tadi terdetik mahu ajak keluar bila-bila. Ni kau call dulu.. Allah.”

Betapa cantik Allah mengatur hubungan hati sesama hamba-Nya. See? Cuma kadang-kadang kita ego dan mementingkan diri sendiri. Walhal sebenarnya dalam diri kita itu ada tempat yang penuh kasih-sayang. Hanya saja kita yang selalu cemari kerana sering terikut-ikut dengan nafsu dan akal yang tidak baik. Itulah kita. Ish!

Keberuntungan Hubungan Hati

Selepas menamatkan panggilan tersebut, saya tepuk dahi sendiri. Kerana ternyata sahabat tadi itu dulu telah memulakan langkah untuk menjalin silaturrahim. Dan saya terlepas kesempatan untuk menjadi yang pertama. Keduanya, saya terlepas pula nikmat untuk berbagi rezeki dengan kawan tadi kerana beliau yang belanja saya.

Tapi well, gembiralah juga saya. Hahaha ;P

Beberapa tahun yang dulu, seorang kakak yang saya hormati kerana Allah, pernah berkongsi dan memberitahu, “Su, hati-hati yang berhubungan kerana Allah, pasti akan merasai jika ada hati lain yang sedang tidak sihat atau sedang bersedih..” Sama halnya jika jiwa kita sedang kesedihan, namun wajah kita mempamer kegembiraan dan ketabahan, saya percaya hanya mereka yang mempunyai hubungan hati sahaja yang akan tahu hanya dengan memandang. Kerana hubungan hati itu, terbitnya empati dan saling memahami, walau tanpa berbicara. Jika kita imannya sedang tidak sihat, pasti ada yang merasai keadaan yang kita sedang alami. Ini pasti, sungguh.

Nampak seperti mustahil? Nope. Memang wujud situasi tersebut.

Kenapa hal sedemikian itu berlaku? Dah, kerana Allah itu pemegang hati-hati kita semua. Bukankah Allah itu banyak cara mengasihi kita? Ataukah kita yang kurang berfikir? Banyak waktu, Allah hadirkan orang-orang yang berusaha menjadi baik menuju Allah sama-sama dengan kita, Allah hantarkan manusia dalam hidup kita yang mengambil berat tentang kita tanpa syarat, Allah beri persaudaraan dengan seseorang yang selalu memperingati kita.. bukankah semua itu adalah antara tanda Allah mengasihi kita?

Kerana Kita dari Tuhan yang SATU

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…”. (QS. al-Hujurat : 10)

Fakta yang tiada siapa dapat menidakkan atau membengkokkan, bahawa kita ada tali persaudaraan. Kerana apa? Kita berasal dari keturunan Nabi Adam dan isterinya, Hawa. Di dalam surah al-Hujurat juga, Allah ada menyebut bahawa DIA menciptakan kita dari dalam kalangan kaum yang pelbagai, agar kita semua berkenal-kenalan. Dan perkenalan itu juga nantinya wajib melibatkan hati. Hanya caranya saja berbeza, sama ada hati kita baik dalam berkenal-kenalan, atau sebaliknya.

Kita dengan Allah dengan Manusia

Satu hal ini, kita semua tahu bahwa hubungan yang baik dengan Allah diikuti dengan hubungan yang baik dengan manusia. Dan saya, yang penuh cacat celah ini, masih belum sempurna bila bab hubungan dengan manusia. Saya sedar kekurangan ini.

Like seriously, I’m not kidding.

Kerana kononnya mempunyai hubungan yang baik dengan Allah tetapi hubungan dengan manusia so so saja, Allah juga tidak senang dengan keadaan sedemikian. Kerana itu seruan agama juga, hubungan dengan Allah itu bersangkut paut dengan hubungan dengan manusia. Jika salah satunya tiada, maka tidak sempurnalah pengabdian kita.

Sedar ja kita ini banyak kekurangan, kan. Ego pun menembok tinggi. Haih. Saya pun termasuklah tu. Tapi sama-samalah kita perbaiki apa yang patut. Biarkanlah sekiranya ada orang berkata-kata di belakang kita, kerana orang tersebut memang berada di belakang kita. Eheh! Kita fokus diri kita. Jangan kita menjadi asbab tersebarnya kebencian dan keburukan. Kita belum boleh menjadi ikutan yang baik dalam semua hal dalam hidup ini, jangan pula kita menjadi ikutan yang buruk.

Sudah pukul 7 pagi,
saya mahu mengopi dulu.

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *