Ibu Adalah Insan Mulia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Restu kasih Bonda kuperlukan sepanjang perjalanan. Oh ALLAh, rahmati Bondaku.

Terima kasihku kepada Bonda, tidak mencukupi.

Setiap kesakitan yang pernah ditanggung oleh seorang Ibu demi memastikan makhluk kecil yang berada dikantung perutnya itu sentiasa dalam keadaan baik sehinggalah dilahirkan melihat dunia, tidak akan pernah terbayar oleh seorang anak.

Kesakitan seorang Ibu tidak berhenti setakat saat melahirkan seorang bayi. Selepas kelahirannya, seorang Ibu perlu menjaga, mengasuh dan berkorban pula untuk makhluk kecil itu. Bertahun-tahun Ibu disapa ketidakselesaan dalam tidur malamnya.

Sungguh tidak mudah sebuah pengorbanan seorang Ibu.

Ibu Adalah Manusia Yang Mulia

Pernah seorang kakak bercerita melalui pengalamannya sendiri. Orang yang sarat mengandung itu selalu sakit-sakit pinggang, penat dan macam-macam lagi tekanan perasaan yang dialami. Tahu senggugut? Kadang-kadang sakit pada pinggang seorang ibu yang sarat mengandung itu seperti sakit senggugut. Oh, memang sakit.

Apabila tiba hari melahirkan, Ibu terpaksa pula bertarung dengan maut. Taruhannya, antara hidup dan mati. Tapi saya pasti, apa yang difikirkan oleh seorang Ibu pada saat itu adalah hanya mahu melihat bayi yang selama 9 bulan itu lahir dengan selamat dan sihat.

Saya kira, kita tidak akan pernah tahu perasaan seorang ibu selagimana kita tidak menjadi ibu kepada seorang anak. Mungkin kita akan dapat memahami sedikit perasaan seorang ibu, tapi tidak akan pernah merasainya.

Mulianya seorang Ibu, sehingga ALLAh dan Rasulullah SAW juga turut memuliakan, bahkan Islam itu sendiri. Besarnya pahala mati syahid fi sabilillah. Tapi lagi utama lagi berkhidmat kepada kedua orang tua jika kedua-duanya dalam keadaan yang uzur dan tiada orang dapat menguruskan mereka dengan pemergiaan anak tersebut.

Sesudah anak-anak meningkat dewasa, seorang Ibu masih lagi dibebani dengan perasaan bimbangkan anak yang tidak berada dihadapan mata. Lantas itu, doa demi doa dipanjatkan kepada ALLAh Ta’ala. Moga anak yang berada di kejauhan sentiasa sihat walafiat dan sentiasa berjaya dalam hidup.

ALLAhuakbar.

Kepada Bonda, Terima Kasih

Saya tahu. Saya sesekali tidak akan layak bercakap mengenai kasih-sayang Bonda terhadap saya. Kadang-kadang akan terasa seperti mahu lemas dek kerana dalamnya cinta Bonda terhadap anak-anaknya; adik beradik dan saya.

Saya masih tidak dapat berbakti banyak kepada Bonda.

Dan saya tidak segan untuk mengaku bahawa saya bukanlah anak Bonda yang terbaik dikalangan adik-beradik yang lain. Tapi satu kepastian yang sangat pasti, Bonda itu selalu jadi yang terbaik buat diri saya. Akan selalu, dan selalu.

Saya akan selalu memerlukan Bonda. Tidak kira usia berapa sudah pun saya.

MashaAllah. Alllahuakbar.

Sungguh. Tiada kata yang dapat diungkapkan oleh seorang anak untuk menandingi kasih-sayang seorang Ibu terhadap anaknya. Dan tiada harta benda yang dapat menggantikan segala kesakitan yang dialami oleh seorang Ibu demi seorang anak. Tidak akan pernah!

Jika diizinkan umur ini masih panjang. Berharap moga saya dapat membahagiakan Bonda selalu. Moga segala perbuatan saya mendapat restunya yang membuahkan senyuman dibibirnya. Semoga saya menjadi seorang anak yang baik untuknya.

Terima kasih Bonda. Atas kecintaanmu terhadap anakmu.
Semoga anakmu ini dapat menjagamu pada hari tuamu dengan sebaiknya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *