Hari Ini Hari Ibu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

[Ihsan Pak Google]

Hari ini, bertarikhkan 9/Mei/2010.. Adalah hari Ibu di Malaysia dan negara-negara lain yang sewaktu dengannya. Sudah kelihatan banyak anak-anak yang baik lagi soleh dan solehah mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada ibu, emak, ummi, mummy mereka. Harapnya, ibu mereka membaca ucapan daripada anaknya. Adalah sia-sia sahaja perbuatan mereka jika mereka hanya mengucapkan di dalam laman sosial. Tetapi, sebenarnya mereka tiada mengucapkan secara lisan atau pun bertulis untuk betul-betul di baca oleh ibu mereka. Saya tersenyum.

Ibu.. Ibu adalah insan yang bersusah-payah menanggung derita demi anak kecil yang ada di dalam perutnya. Ibu ke hulu ke hilir membawa beban berat yang berbelas-belas, malah mungkin berpuluh kilo sehingga sakit badan ibu, bengkak kaki ibu menanggung beban yang berat. Duduk dan tidur juga tidak selesa selama berbulan-bulan lamanya. Tidak dapat digambarkan rasanya.

Itu semasa mengandung. Bagaimana pula ketika waktu ingin melahirkan kita. Ibu terpaksa bertarung dengan maut untuk memastikan kita lahir dalam keadaan yang sihat walafiat. Putus urat-urat ibu. Alangkah sakitnya.. Jika ibu bertahan dalam perjuangannya, maka selamatlah dirinya. Jika ibu tewas dalam perjuangan melahirkan anaknya, maka inshaAllah mati syahid untuknya. Allah tidak mensia-siakan pengorbanan seorang ibu.

Saya Juga Ada Mak

Saya juga ada Mak. Dan beliau sangat baik walaupun kadang-kadang amarah beliau itu tersangatlah tajam. Saya tahu, ia untuk kebaikan diri saya. Tetapi, kelemahan saya sebagai seorang anak.. Dulu apabila baru menginjak usia remaja, pantang ditegur akan melanting. Allah.. Ampunkan dosa-dosa saya terhadap mak.

Mak banyak berkorban untuk kami. Beliau seorang yang tidak senang menzahirkan perasaan kasih dan sayangnya terhadap kami semua. Mungkin dengan cara membelai rambut atau lain-lain cara seperti ibu kalian. Namun saya tahu, faham dan kenal sangat bagaimana mak menzahirkan kasih-sayang terhadap kami. Beliau punya cara tersendiri yang mungkin hanya kami anak-anaknya yang mengetahui.

Mak, Jatuh Jantung Saya

Saya suka mengusik mak saya, ketika beliau dalam keadaan marah atau geram. Subhanallah, suara beliau memang tinggi dan kuat. Dan saya pernah mengusiknya,

“Mak.. Waa. Hampir jatuh jantung ni.” Dan saya tersenyum nakal.

Kalau dulu, pernah terfikir, kenapa mak asyik marah-marah. Dan saya menemukan jawapannya! Dengan marah-marah, ia adalah salah satu cara mak menunjukkan kasihnya kepada kami. Dan saya sayang Mak sampai syurga, inshaAllah.

Mak Memang baik

Saya teringat apabila seorang kawan yang sangat rapat datang bertandang ke rumah. Seronok berbual sehingga lupa untuk menyediakan minuman kepada seorang kawan tadi. Dan mak sangat marah. Kenapa biarkan kawan tak minum dan banyak lagilah bebelan daripada beliau. Hehe. Terima Kasih wahai Mak!

Dan kadang-kadang, Mak sendiri secara senyap-senyap di dapur sudah menyiapkan sesuatu untuk kawan-kawan saya yang bertandang ke rumah. Mak takkan benarkan mereka balik selagi mereka tidak makan masakan mak di rumah. Mak.. Mak.. Syurga buatmu.. Aamiiin.

Hari Ibu Adalah Setiap Hari Bagi Saya

Iya. Hari ibu adalah setiap hari bagi saya. Saya raikan mak setiap hari dan satu yang saya sesali apabila mak berasa kesal dengan sesuatu perbuatan yang tidak saya sedari. Dan saya sangat kesali itu.

Kadang-kadang apabila direnung-renung kembali.. Ada anak-anak yang hanya akan melayan ibu mereka dengan sebaiknya pada Hari Ibu seperti hari ini sahaja. Selepas itu, akan membiarkan ibu mereka. Tidakkah kesian si ibu yang sepatutnya setiap hari kita raikan. Jangan begitu, kerna suatu hari nanti kita pasti menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak kita kelak.

Apapun, satu yang saya sedar dan perasan.. Ibu tidak mengharapkan kita membalas jasa mereka dengan wang ringgit. Tetapi apa yang mereka inginkan adalah kita berjaya di dunia dan akhirat dan pandai menjaga diri tidak kira di mana kita berada.

Dan satu amalan yang tidak patut para anak tinggalkan adalah, amalan mendoakan sentiasa keselamatan dan kebahagian ibu bapa mereka. Jangan lupa walau sehari untuk mendoakan buat mereka. Ingat, doa anak yang soleh adalah satu amalan yang akan mereka bawa sesudah mati.

Hargailah ibu kalian.

Ingin saya memperingati diri saya sendiri. Hargailah ibu kalian. Sayangilah mereka. Taatilah mereka. Kerana tanpa mereka, kita tidak berada di dalam dunia ini. Wallahu’alam.

Saya sayang Mak saya sampai syurga.

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *