Entri 400 – Saya Belajar Sesuatu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Berselubung kasih-sayang dari kedua orang yang mulia itu, memang indah. Tidak tersamakan dengan apa saja!
Berselubung kasih-sayang dari kedua orang yang mulia itu, memang indah. Tidak tersamakan dengan apa saja!

orang ramai kata, kasih ayah berkorban nyawa.
serasa-rasa, memang betul tanpa keraguan.

Biar entri ke-400 ini, saya ceritakan mengenai seorang- abah!

Kadang-kadang rasa duit mengalir cepat. Tapi bila ditilik-tilik kembali, oh bukanlah duit yang sepertinya mengalir itu dibelanjakan atas perkara yang tidak berfaedah. Syukur jika begitu!

Zaman belajar ini – ya kitalah – zaman yang memerlukan banyak perbelanjaan. Termasuklah juga saya sendiri. Saya tidak tahu apa rasa mereka yang meminjam pinjaman dari kerajaan. Tapi untuk kondisi saya yang tanggungan di bawah kedua orang tua dan bantuan pihak yang berkaitan, maka saya tahu susahnya mendapatkan wang itu bagaimana.

Bagi seorang pelajar, berlapar itu mungkin sudah sebati. Dan syukur sekali lagi jika kamu pernah berlapar semasa di permusafiran ilmu; niatkan saja kerana ALLAh SWT.

Semoga Dia memberi perkenan keberkatan.

Untuk meminta kiriman wang dari kedua orang tua, hal itu selalu meresahkan jiwa ini. Takut meminta kerana asbab borosnya diri- walaupun memberi duit itu tanggungjawab mereka.

Dan walaupun mereka selalu berpesan; khabarkan kalau kehabisan.
Pasti sesaat dikirimkan — namun segan juga rasanya badan.

Semoga Mempercepatkan Perkenan-Nya

Bila setiap kali Abah masukkan duit, dengan cepat dan serta merta. Memang rasa, eh bukan rasa. Tapi memang belajar sesuatu. Sebak menyelubungi.

Sampai tahap begini pengorbanan seorang Abah?

Lepas memasukkan, setiap kali itu jugalah Abah akan buat panggilan untuk memberitahu bahawa fulus sudah dimasukkan. Paling kurang, akan terima SMS sebagai khabaran. Dan apabila setiap kali kedua-dua cara itu digunakan. Pasti akan membalasnya,

“terima kasih, abah. semoga dengan bersegeranya abah terhadap anak abah ini, maka Allah akan bersegera kepada abah menggantikn dengan yang lebih baik!”

atau;

“moga Allah rahmati abah dengan rahmat yang banyak. terima kasih!”

Setiap kali melakar tinta terima kasih begini, serius rasa sangat hiba. Berair mata jangan cakaplah, bertakung! Kerana saya tahu mencari wang itu tidak mudah. Bukan hanya keselesaan diri perlu dikorban, malah kadang-kadang kebahagiaan sendiri perlu dilupakan.

Dan Abah, akan melontarkan sebuah panggilan lagi untuk memberitahu. Eh tapi sebenarnya bukan sekadar itu. Abah sebenarnya mahu mendengar suara anaknya; dan salah satu yang lainnya, tanda dia menerima ‘terima kasih’ yang dihantar melalui SMS itu. Seakan-akan mahu memberitahu; “Abah dah baca mesej kamu. Belajar sungguh-sungguh. Jangan main-main. Banggakan Abah dan Mama di sini. Buat Abah bahagia dengan pencapaianmu, nak!”

Itulah Abah,
sosok yang saya sayang.

Grrr. Kenapa mata jadi berair ni?

Semoga ‘Terima Kasih’ Itu Doa

Terima kasih itu, semoga ALLAh SWT segera terima sebagai doa. Semoga ALLAh SWT bersegera kepada Abah dan Mama saat-saat mereka memerlukan-Nya. Semoga dan semoga.

Bila berdoa macam tu, serasa sebagai anak akan sedar diri. Dan semoga ia menjadi satu dorongan; bukan untuk saya sahaja. Tapi mereka, yang dimuliakan oleh ALLAh SWT.

Sungguh, tarbiyah itu banyak mengubah.
Dan untuk itu, harus berterima kasih kepada ALLAh.

Mengekspresikan cinta terhadap kedua ibu bapa dengan cara yang ‘tak pernah buat’, pada mulanya mungkin sukar. Tapi bila terfikirkan akan bahagianya hati mereka kedua ibu bapa apabila mempunyai anak yang lembut jiwanya terhadap setiap pengorbanan mereka, pastilah mereka akan tersangat bahagia kerana ada anak seperti kita.

Dan BAHAGIA seperti itu, tidak akan dapat dibeli di mana-mana.
Sungguh!

Sudah semakin dewasa ini, terfikir banyak cara untuk membahagiakan mereka. Dan mungkin kelihatan saya banyak melakar aksara, tapi saya juga melakar tingkah.

Dan untuk entri ke-400 ini, bersemadi di dalam blog ini mengenai Abah.

Di mana melangkah, di mana berdiri–
anak-anak selalu membawa nama mak dan ayah,
semoga kami anak ini mengerti,
mulia atau sebaliknya mak dan ayah,
adalah pada kejadian tingkah kita.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *