Dia Sangat Istimewa Bagiku

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Abah yang sentiasa berusaha untuk anaknya ini.

Dia, banyak mengajar diri ini akan erti kehidupan.

Dia banyak menyaksikan tangis dan tawa diri ini, kejatuhan dan kegembiraan dalam hidup ini. Walaupun kadang kala dia tidak memahami, tapi dia sentiasa ada di sisi. Berusaha membuktikan bahawa dia itu adalah seorang ayah yang sentiasa melindungi anaknya. Tidak kira bila dan di mana.

Dia memahami diamku. Dia memahami senyumku. Dia memahami tawaku. Dia memahami gembiraku. Dia memahami rajukku dan setia memujukku dengan kata yang perlahan. Dan sungguh, terbit di benak ketika itu – aku tidak patut merajuk begini.

Dia adalah, temanku yang bisa diajak berbicara akan banyak hal. Aku adalah temannya yang akan bersama ke mana-mana. Malah, ada masanya airmataku mengalir melihatkan dia yang terlena di sebelah ketika aku memandu dek kerana dia terlalu kepenatan.

Tingkahnya, sehingga ke hari ini seperti tidak mengenal lelah untuk memastikan keluarganya hidup dalam cukup. Sentiasa. Dia cuma mahukan yang terbaik buat keluarganya. Itu cuma. Titik.

Dia yang akan terus call aku apabila mendapat mesej dariku. Dan segala pertanyaannya selepas itu akan membuatkan aku menangis keharuan. Dia ialah orang yang akan menahan airmatanya mengalir apabila menghantar aku ke lapangan terbang. Sebab katanya pada Mama, “Jangan menangis depan anak apabila berpisah dengan mereka, takut nanti hati mereka jadi berat..”

Abah, bagaimana aku akan dapat mengkhianati kepercayaanmu?
Demi Allah, tiada ruang untukku berbuat demikian sikit pun.

Redup matanya mengandungi 1001 kisah pengalaman hidup. Dan aku tidak akan pernah dapat menangkap maksud redup mata itu sesungguhnya. Terlalu banyak kisah duka dan suka yang terkaca.

Moga rahmat Allah Ta’ala terus menaungi hidupmu, wahai insan yang mulia di sisi Allah Ta’ala. Duhai bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik buat anaknya, sungguh kau telah berusaha memberi sebanyaknya. Kau sempurna dimataku akan tanggungjawabmu di dunia – tiada yang terkurang untukku. Kalau pun ada, itu adalah kerana sifat manusia yang tidak pernah merasa cukup dan sempurna.

Yang hampir sempurna bagiku adalah – Abah!

Abah, Selamat Hari Bapa! Orang sentiasa ‘ingat’ Abah.
Orang sayang Abah! *senyum dari sini

One thought on “Dia Sangat Istimewa Bagiku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *