Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

(Cerpen) Kasih Aroma Kopi #1

Cinta yang tidak berbalas itu bukan rugi, malah bahagia sebenarnya. Yang rugi, hanyalah dia yang buta pada cinta. Credit Picture: http://grafitup.deviantart.com/

Cinta yang tidak berbalas itu bukan rugi, malah bahagia sebenarnya. Yang rugi, hanyalah dia yang buta pada cinta.
Credit Picture: http://grafitup.deviantart.com/

Lama rasanya tidak duduk di tempat itu menghadap lautan dan menikmati haruman hanyir yang terhasil oleh hempasan ombak-ombak kecil di gigi tembok di hadapannya. Sejak dari tadi asyik menulis sesuatu pada buku jurnal sehingga tidak sedar kopi di dalam gelas plastik sudah kekeringan. Jari-jari Seri yang memegang pen untuk ditarikan menulis aksara dan diksi sesekali berhenti dan kelihatan Seri seperti berfikir.

Entah apa yang difikirkannya untuk ditulis. Beberapa lama Seri duduk di situ sehingga tidak sedar kehadiran orang lain.

Tiba-tiba satu suara menyapa, “Assalamu’alaikum! Boleh saya duduk di sini?” Seri yang tengah tekun menulis menjawab salam tanpa melihat empunya suara dan hanya berubah sedikit posisi ke sebelah kiri bagi membagi ruang di sebelah kanan kepada suara tadi. Beg sandangnya ditarik ke sisi. Terdetik juga dalam hati Seri, banyaknya kerusi panjang di tempat ini. Sini juga orang hendak duduk. Tapi itu tidak membuatkan tumpuan Seri beralih. Biarlah, lagi pula ini tempat awam.

“Azim rasa Seri punya kopi sudah habis tu. Sudi terima Azim mahu belanja segelas kopi lagi?” Habis sahaja suara itu menyapa, serentak dengan penyudah tulisan Seri pada jurnalnya. Seri mengangkat muka dan menghadapkan seluruh muka ke sebelah kanan. Empunya suara tadi mengangkat tangan selamba seakan-akan mengucapkan ‘Hai!’ kepada Seri. Seri terpaku sesaat.

“Errkk!” Itu reaksi pertama Seri selepas hampir 10 tahun tidak melihat orang yang berada di sebelahnya sekarang. Namun tangan Seri menerima gelas kertas yang berisi kopi. “Terima kasih.” Ucap Seri, dan memandang gelas yang berisi kopi itu. Pandangan yang dalam, tapi kosong.

Azim mengangguk. Suasana jadi senyap antara mereka. Seri memandang jauh ke hadapan. Azim juga begitu. Mungkin kedua-duanya sedang mengimbas kembali kenangan atau peristiwa.

“Maafkan Azim. Lama tidak berhubung. Bukan tidak cuba hubungi. Tapi dengar katanya orang tu tukar nombor. Emel pun tidak berbalas. Seri tidak terima langsung sebarang emel dari Azim?” Azim diam seketika. Seri sudah menarik nafas dan melepaskannya perlahan, kelihatan seakan-akan mengeluh atau melepaskan sesuatu yang terbuku di jiwa. “Seri apa khabar?”

“Alhamdulillah, baik saja. Erm.. Nombor lama sudah lama tidak pakai.” Seri kelihatan berusaha mengukir senyum. Saat ini macam-macam yang bermain di fikiran. “Azim buat apa di sini?” Tanpa menjawab soalan itu terlebih dahulu, mata Azim menangkap buku jurnal yang terletak di atas beg di sisi Seri. “Masih minat menulis? Memang menulis dan Seri ni tidak boleh berpisahlah.” Azim senyum. Seri hanya menjawab dengan mengangguk dan tersenyum nipis.

Seri menghirup air kopi yang diberikan oleh Azim tadi. “Mm.. Mocha?!” Azim di sebelah seakan-akan menunggu reaksi Seri selepas meminum kopi tersebut. Azim tersenyum, sinar gembira yang sudah lama Seri tidak pernah tatap itu terpancar. “Yes, mocha! I thought Seri sudah lupa!” Azim sengih. Seri pandang gelas di tangannya, “Mana boleh lupa. Favourite all the time, kan.”

Azim menyambung kata-kata Seri tu, “Our all the time favourite coffee!”

“Ehem! Oh kebetulan pula berada di tempat yang sama. Seri sangka tempat ini tidak ada orang mahu lepak. Yalah, tempat lama yang masih tidak berubah. Yang berubah cuma grafiti di tembok-tembok ini. Kali terakhir beberapa tahun dahulu, bukan ini seni grafiti yang ada di sini.” Seri macam acuh tidak acuh. Terpaksa mencari modal bercerita tentang sekeliling.

“Oh, ya betullah tu. Tapi ada perkara yang berubah, dan ada yang tidak!” Jawab Azim. “Kali ini, balik for good? Mana Jainal? Kenapa Jainal biar Seri ni duduk di sini satu orang?” Azim tersenyum, tapi senyuman itu kelat. Seakan-akan dibuat-buat untuk menyedapkan hati.

Dahi Seri berkerut. “Setakat ini insya-Allah balik for good! Sudah lama merantau dan menghuni negeri orang. Hebat mana pun negeri orang, negeri sendiri tetap ada istimewanya yang tersendiri di hati! Tapi tidak tahulah, apa yang Allah sedang aturkan untuk kehidupan kita di masa depan. Who knows, right?” Seri angkat bahu dan tersenyum. Wajahnya kelihatan lega dan bahagia.

Azim mengangguk. Seperti berasa puas dan bersetuju dengan jawapan Seri. Namun ternanti-nanti juga dia jawapan kepada soalan dia yang lain tadi. Dia tidak mahulah tanya untuk kedua kali. Nanti nampak macam menyibuk dan terhegeh-hegeh pula dirinya.

“Azim sudah lama merasa istimewa negeri sendiri dan tempat kelahiran sendiri. Sebab itu keputusan Azim untuk balik for good sudah terlaksana sejak beberapa tahun lepas. Mana tahu masih ada sinar untuk doa-doa yang hamba-Nya yang hina ini minta-minta, kan? Sayang dengan negeri sendiri, apatah lagi apabila cinta hati berasal dari negeri itu.” Azim berkata-kata.

Seri kelu bicara. Dalam hati Seri, Azim ini kalau hendak berjiwang pun, agak-agaklah tempat dan orang yang dia hendak luahkan. Kita yang mendengar ini pun boleh terkelu, tidak tahu mahu menjawab apa. Hendak berjiwang dan berkata-kata manis madu, pergilah kepada cinta hati. Tidak lama beberapa saat kemudian, Seri tergelak kecil. Azim memandang, mungkin terkejut sedikit dengan reaksi Seri. “Kenapa?” Azim angkat tangan dan jongket bahu.

“Maaf.. Maaf!” Seri menutup mulut. “Tidak sangka sudah pandai berkata-kata dan berjiwang, ya Azim? Betullah, semuanya sudah berubah termasuk Azim. Kecuali tempat ini!” Seri gelak lagi.

Azim senyum dan menggeleng-geleng. Kata orang muda zaman sekarang, istilahnya adalah mudah terhibur. “Mungkin betullah apa yang Seri cakap tu. Tapi sebenarnya, pengalaman hidup atau kekecewaan dan patah hati yang dialami oleh seseorang, boleh merubah seseorang itu. Dan mungkin itulah apa yang terjadi pada Azim. Atau Azim sudah terpengaruh sebab ada sahabat seperti Seri seorang penulis yang pandai berkarya? Agaknya terikut-ikut pandai berkata-kata.”

Seri berdebar-debar. Pada Seri, situasi baru sahaja bertukar jadi janggal. Setiap balasan bicara Azim seakan-akan hendak meluahkan kekecewaan. “Tidak boleh. Tidak sepatutnya aku berada di sini bersama-sama Azim!” Monolog hati Seri. “Tett.. Tett.. Tett..” Tiba-tiba telefon bimbit Seri berbunyi.

Seri cepat-cepat mengambil telefon bimbit dari dalam begnya. Dibukanya pesanan ringkas yang dihantar oleh pihak telekom memaklumkan bahawa nombornya baru sahaja ditambah nilai dengan jumlah seratus ringgit. ‘Ini mesti bapa yang tolong isikan kredit ni’, kata Seri. Dan kesempatan itu digunakan oleh Seri untuk meloloskan diri dari situasi yang janggal tersebut.

“Azim, I have to go. Saya ada temujanji hendak berjumpa dengan kawan. Thanks for this!” Seri menunjukkan gelas kopi yang dipegangnya dan tersenyum. “Oh, jangan lupa sampaikan salam saya pada dia ya? Assalamu’alaikum!” Dan Seri berlalu pergi tanpa berpaling walau sekali.

Azim hanya sempat menjawab salam yang diberikan oleh Seri selepas beberapa saat Seri beredar dengan pantas. Azim tepuk dahi, mungkin dia sedikit keterlaluan dalam kata-kata sehingga menyebabkan Seri jadi kekok. Sudahlah ini pertemuan pertama selepas hampir sepuluh tahun tidak bertemu, jadi kekok dan dingin pula secara tiba-tiba. Azim mengeluh. Sedikit menyesal.

“Seri, sekiranya kau tahu bahawa ‘dia’ itu memang tidak pernah menghuni hatiku. Akukah yang bersalah?” Azim mengucapkan ayat itu perlahan. Tidak semena-mena Azim menggeleng dan beristighfar. Seri itu sudah menjadi suri orang lain. Dan orang lain itu adalah sahabat Azim sendiri.

“Apalah khabar agaknya Jainal ya? Semoga kau sihat dan masih mengingati aku, sahabat!”

Seri yang sudah jauh meninggalkan Azim dan menuju tempat letak kereta, berhenti sebentar di luar kereta sebelah pemandu lalu berdiri dan menyandar di situ. Seri meletakkan beg di atas kereta, lalu menekup muka. “Haishhh!!! Ya Allah, kenapalah aku jumpa dia di sini? Banyak tempat lagi di Sandakan ni, kenapa perlu terjumpa?!” Seri mengusap ke atas dan ke bawah wajahnya, sudah tidak kisah mengenai tudung yang senget kiri dan kanan. Keserabutan jiwanya lebih sengat dari tudung itu rasanya. ‘Dia adalah orang yang paling terakhir aku nak jumpa, tiba-tiba dia pula antara orang terawal yang aku terjumpa selain keluarga aku. Haih laa!” Seri menggeleng-geleng sendiri.

“Azim, soal Jainal.. Aku sudah lama tidak mendengar khabar tentang dia. Macam mana aku hendak jawab soalan kau tadi. Dan soalan kau pula seakan-akan hendak meletakkan aku bersama-sama dia.” Seri berhenti sejenak berbicara sendiri. “Kita bertiga, betul-betul sudah putus komunikasi antara satu sama lainkah?” Seri menghela nafas berat.

Dia masuk kereta dan memandu membelah deretan kereta di atas jalanraya.

…bersambung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *