Secebis Dari Perjalanan Duniawi

Adakalanya, duka mengingati itu sangat memeritkan.

Lagu Forgive Me yang dinyanyikan oleh Maher Zain didengari 2 3 kali.

Lagu itu sebenarnya rintihan seorang hamba kepada Tuhannya. Pengakuan seorang hamba yang datang dengan penuh hina kepada Tuhannya.

Wahai Tuhanku, ampuni diri ini dan seluruh kamu muslimin dan muslimat.

Sejenak teringat perbuatan lalu yang menyakiti orang lain dan diri sendiri.
Menyakitkan. Memeritkan – perkara sudah terjadi; harus dipelajari.

Kadang kala dalam hidup ini, banyak sungguh yang tidak terduga. Makin dewasa, makin jauh perjalanan, makin merasai kesakitan demi kesakitan. Melihat luka demi luka yang berdarah, sembuh semula dek perjalanan masa. Parut? Bukanlah untuk didendami.

Sebuah Hambatan Pengalaman

Adakalanya kita dihantui oleh kesilapan silam. Bukan kerana tidak memaafkan diri sendiri, tapi kerana perasaan itu hadir di jiwa. Maka, perasaan malu hadir dengan sendirinya. Mata cuba dipejam rapat, menyebut nama Tuhan berulang kali – dengan harapan, redalah wahai jiwa yang sentiasa berbolak balik.

Hidup ini, adakalanya ada sesuatu yang tertentu tidak perlu kita usik dan hebohkan kepada dunia. Biarkan tertutup rapat. Cukup sahaja Dia – Tuan Punya Dunia yang tahu dan memahami. Kerana dunia ini penuh penipuan; kadang-kadang segala aduan kepada manusia adakalanya disalah anggap malah sebaliknya menjadi senjata membunuh jiwa dengan penuh hina. Tidak semua manusia akan turut gembira apabila kita berkongsi kegembiraan. Ada yang akan memandang sinis, ada yang akan memandang dengki.

Dengan kesilapan dan dosa-dosa yang terjadi, hati itu tidak akan tenang dengan diri berlagak gembira dan berlakon seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Kerana hakikatnya, semakin diri cuba menjauhi, semakin diburu rasa bersalah yang teramat. Penyelesaiannya, hadapi. Dan mulakan semula dengan pembaikan keretakan jiwa.

Dan ada waktunya, di suatu sudut kehidupan itu, perlu dibiarkan satu ruang kosong. Biar ia terisi dengan rutin-rutin kehidupan diri, yang akhirnya ruang yang kosong itu akan penuh dan meletup mencederakan jiwa yang penuh dengan keegoan.

Rumit. Tak terungkai.

Biarkan Sahaja Ia Mengalir

Mahu menangis? Berendam dengan airmata? Biar sahaja air jernih itu keluar dari kelopak mata dan membasahi pipi. Airmata itu ALLAh Ta’ala tidak ciptakan dengan sia-sia. Adakalanya ia boleh menjadi kedukaan yang diterjemahkan menjadi titisan-titisan mata. Juga menjadi bahasa yang mewakili bongkah dalam jiwa yang tidak dapat diungkapkan dek bibir sendiri. Tanda penyesalan terhadap diri sendiri, juga boleh mewakili.

Ah! Perjalanan di dunia, memang melelahkan.

Bawa kedukaan dan airmata itu menghadap Tuan Punya Dunia. Hamburkan segalanya di depan Dia. Bukan tanda ketidakpuasan hati terhadap Tuhan, tetapi kerana iman meyakini; ALLAh Tahu segalanya, ALLAh Ta’ala menyaksikan segalanya, ALLAh Ta’ala yang mengizinkan segalanya. Maka pasti Dia ada jalan buat diri yang belum dihamparkan. Mungkin sekarang ini diri masih dalam fasa ‘diperhatikan’ – sejauh mana sifat berserah diri pada-Nya – masa untuk muhasabah diri sendiri.

Jangan bersikap sombong. Kerana rugi yang hanya akan menanti.

*tariknafasdalamdalam*
*hembusnafasdengantenang*

Tuhanku, aku tahu Engkau menyaksikan setiap kejadian. Kerana Engkau yang telah mengizinkannya untuk berlaku. Maka dengan sisa hidup yang masih Engkau berikan, bantulah setiap hamba-Mu yang penuh kehinaan untuk menebus kesilapan dengan sebuah permulaan yang baik dan pengakhiran yang baik.

Biar pergiku ini, pergi dalam keredhaan-Mu. Dalam rahmat maghfirah-Mu.

Engkau mengetahui setiap degupan jantungku.
Perlahan mahupun cepat.

Tuhanku, jangan biarkan aku tersadai di persisiran dunia tanpa hidayah dari-Mu. Jangan biarkan aku tersesat jalan dan jatuh pada kebinasaan sendiri yang hanya akan membuatkan diri yang lemah ini terhumban ke neraka-Mu.

Rabbee, aku persembahkan diri yang penuh dusta dan hina ini di hadapan-Mu. Ku persembahkan diri ini yang dipenuhi dengan kudis-kudis dosa kepada-Mu. Aku akui penyesalan dengan lafaz kata hatta Engkau Maha Mengetahui segalanya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *