Rebah Dihadapan Tuhan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

“Pulanglah pada Tuhan
cahaya kehidupan
syarat bahagia di dunia
akhirat kekal selamanya
pada Allah, Allah..”

Lagu Fatamorgana yang dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz itu berkumandang di corong radio usai maghrib. Lagu itu mungkin sudah lama berzaman, sudah banyak kali didengari, malah pernah dulu semasa di alam persekolahan, saya dan rakan-rakan bawa lagu itu untuk dipertandingkan yang akhirnya kumpulan kami menjadi johan.

Tapi kali ini, lagu itu sangat menusuk.

Hidup ini penuh dengan dugaan. Tidak akan pernah sunyi dari ujian demi ujian. Tidak akan pernah diam dari menghadapi cubaan. Semuanya itu, akan tetap ada dalam kehidupan ini. Masalah yang timbul akibat banyak perkara, akibat perkara yang remeh dan masalah yang datang atau terjadi secara mendadak sangat menyesakkan jiwa.

Membuat jiwa sesak. Sangat.

Menerima Dan Memperbaiki

Kadang-kadang akal tidak dapat menerima; apa yang telah terjadi semuanya bagaikan berlaku dalam sekelip mata sahaja. Dan terasa semuanya sudah tidak dapat diperbaiki sampai bila-bila. Dan kesalahan paling terbesar dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim adalah, menyalahkan Tuan Punya Dunia atas apa yang berlaku!

Astaghfirullahal’adzim. *tertundukhina

Padahal manusia sedia maklum, apa yang terjadi itu semuanya ada hikmah dan asbabnya. Mungkin kerana itu teguran dari ALLAh Ta’ala untuk kita memperbaiki diri, juga mungkin kerana kelalaian diri kita sendiri yang akhirnya ALLAh Ta’ala punya pelbagai cara untuk menarik kita kembali ke jalan yang lurus.

Dan pastinya, ALLAh Ta’ala mahu kita lebih kuat mengharungi kehidupan ini!

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – al Baqarah : 155

Antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan hilangnya orang yang disayangi.

Acapkali, kita ditimpa masalah, kita mahu sabar dan redha. Tapi emosi menguasai akal, syaitan menyuntik pelbagai andaian, akhirnya kita akur untuk lebih menempiaskan segalanya dengan memberontak dalam kehidupan. Kita menyalahkan orang lain, diri sendiri dan akhirnya menyalahkan Tuhan kerana memperkotak-katikkan kehidupan. Sedangkan, yang bermasalah sebenarnya adalah kita yang cuba membesarkan diri dihadapan ALLAh Ta’ala. Semoga Dia mengampuni saya dan anda semua.

Aamiiin.

Tapi sungguh, jiwa yang jauh dari Tuhan itu lebih sesak! Bagaikan bangkai yang bernyawa. Jiwa rindu untuk mengalunkan kalamullah. Jiwa rindu untuk berdiri dan sujud dihadapan ALLAh. Jiwa jadi sangat rindu untuk mengadu dan berbicara terus dari hati dengan ALLAh! Jiwa jadi sangat rindu untuk menangis dihadapan-Nya.

Hei! Lihat jiwa yang menyalahkan Tuhan itu, sungguh kasihan!

Rebahlah, Dan Bertaubatlah

Merasa diri sudah sesekali tidak layak mendapat pengampunan-Nya. Merasa hina untuk mendongak ke langit kerana hinanya perbuatan menyalahkan ALLAh Ta’ala dan menjauhkan diri daripada-Nya. Merasa sudah tidak layak untuk meminta apa-apa daripada-Nya lagi.

Tapi.. Jiwa itu sangat merindukan Tuhan-Nya. Sangat!
Apa yang perlu dilakukan? Tolonglah. Tolonglah. Tolonglah. *menangis

Sedangkan, kehidupan makin kucar-kacir. Hubungan dengan sesama manusia semakin dingin di sana dan di sini. Itu tanda, ALLAh tidak redha. Dan ALLAh Ta’ala mahu jiwa itu kembali kepada-Nya dengan sesungguhnya. Dia sentiasa ada di sana untuk mengampuni hamba-Nya yang benar-benar bertaubat!

Wahai orang-orang yang menjauh dari Tuhan, apakah dengan terus menjauhkan diri itu membuat jiwa jadi tenang? Apakah dengan terus berandaian bahawa sudah tidak layak lagi mendapat pengampunan akan membuat hidup lebih teratur? Tidak!

Malah semua itu sebenarnya sedang cuba memusnahkan diri sendiri.

Rebahlah. Jatuhlah dengan sehinanya dihadapan ALLAh Ta’ala. Menangislah semahunya mengakui dosa-dosa kepada-Nya. Biarlah mata itu bengkak dek kerana menangis menginsafi diri, dan mata itu akan menjadi saksi di akhirat kelak. Biarlah nampak bodoh tidak berdaya dihadapan ALLAh Ta’ala. Kerana tanpa-Nya dalam hidup, diri akan lebih hina, sehina-hinanya! Merangkaklah dengan jiwa yang robek mencari-Nya.

Allah.. *tersedusedan

Ampuni kami ya Allah. Ampuni kami ya Allah.
Ampuni kami kerana menzalimi diri sendiri.

Terimalah taubat kami ya Allah.
Dengarlah pengaduan kami yang penuh hina ya Allah.

Engkau Maha Mengampuni.
Engkau Maha Penerima Taubat.
Saksikan kami yang sangat hina ini datang kepada-Mu, ya Rahmaan!

*menangis
*tertundukhinadenganpenuhmalu

Semoga ALLAh merahmati.

2 thoughts on “Rebah Dihadapan Tuhan

  1. astaghfirullah… sy muhasabah diri kmbli bca post awak kli ini..
    menitis airmta sy bca… ampunilah driku ini oh tuhanku….

    awak trima ksih atas en3 awak ni….syukran…

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *