Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Imbasan Buat Zauj

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hari ini, saya hanya ditemani oleh anak-anak yang menjadi sebagai tali pengikat yang mengutuhkan lagi ikatan kasih-sayang antara kita. Mereka semakin hari semakin membesar. Terasa bahagia melihat mereka membesar didepan mata. Ketidakhadiranmu di sisi, sedikit sebanyak mengundang kesayuan kepada mujahid dan mujahidah kecil itu. Tidak mengapa, mereka masih kecil suamiku.. Masih belum mengerti.

Dan jauh juga disudut hatiku, aku juga merinduimu.

Mengimbas kembali zaman perkenalan tanpa bersua muka. Kamu memerhatikan diriku dari jauh dan dalam diam kamu mendekati keluargaku untuk berkenalan dan mengenal hati budi bakal isterimu. Masa itu, dengan kesibukan berdakwah, belajar dan belajar, aku tidak menghiraukan perkhabaran dari Ummi bahawasanya ada seorang lelaki yang merisik akan diriku.

“Kalau betul-betul nak jadi, tunggu Ana habis belajar dulu Ummi,” bicaraku pendek.

Tiada dalam sangkaanku kamu benar-benar menunggu selama 3 tahun lebih untukku menghabiskan pengajianku. Pelik! Itu yang berlegar dalam kepalaku. Sanggupnya kamu suamiku..

Selepas 7 bulan kutamatkan pengajianku, akhirnya rombongan bertandang ke rumah. MashaAllah. Bermula segalanya…

~~~~~~~~~~

Pada tarikh sekian sekian.. Kita bersatu.

Setelah kita bersatu dan hubungan yang disandarkan pada keimanan menjadi halal pada hari pernikahan, terasa syukur tidak terlafaz dan kerdil di sisi Sang Kekasih nombor 1. Dan kasih-sayang antara kita semakin mekar apabila lahirnya mujahid dan mujahidah kecil pada pada hari yang sama dan beza jarak umur yang hanya 15 minit cuma.

Aku menyedari perubahanmu wahai suamiku..

Jika dulu kamu sangat istiqamah memberikan tarbiyah kepadaku, mengambil berat dan seorang yang sangat penyayang kepada isterimu, kini dirimu seakan-akan menjadi seseorang yang diperbaharui perasaan kasihnya. Tingkah laku, tanggungjawab serta perwatakanmu diperhalusi. Kamu membuatkan saya bahagia berada dalam keluarga sakinah. Kamu menjadi seorang yang begitu lebih lembut bicara dan pengasih sifatnya. Benarlah! Anak penyeri rumahtangga.

Tanggungjawabmu kepada Islam dan Ummah tidak pernah kamu abaikan. Ada waktunya kamu meninggalkan rumah berhari-hari untuk menyebarkan keindahan Islam, tidak pernah membuatmu lelah. Apabila berada di rumah, kamu menjadi seorang suami dan ayah yang sangat penyayang. Dan apabila tugas sebagai khalifah memanggilmu meninggalkan rumah untuk sebuah janji yang pasti, kamu sungguh tegas dengan amanah yang tergalas meskipun si mujahidah kecil itu seringkali menangis apabila tiba waktu keberangkatanmu.

Saya mencuri pandang pada wajahmu. Ada redup sayu dimatamu apabila menoleh si mujahid dan si mujahidah yang tertangis. Saya tahu dan faham. Jauh di sudut hatimu, kamu yakin dan percaya bahawa Allah akan menjaga sesuatu milik-Nya. Dan kamu juga tekad melangkah dengan meninggalkan kami dalam jagaan Allah.

Pergilah suamiku.. Pergilah berjuang! Jangan beratkan hatimu dengan kewujudan kami.

Saya tidak lupa dengan pesanmu wahai suamiku. Hidup di dunia untuk berjuang. Berjuang dan memperjuangkan. Sabar dalam perjuangan. Kerana di dalam sabar itu terdapat kebahagian. Dan saya pasti…

Pergilah wahai tentera Allah! Akanku melambai dari kejauhan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *