Atas Banyak Hal Kita Tidak Perlu Kecewa

Bismillahirrahmaanirrahiim.

..dan ketika mana kau terasa rindu, bau aroma coffee itu selalu mengubati kerinduan. Tidak perlu diluah.
..dan ketika mana kau terasa rindu, bau aroma coffee itu selalu mengubati kerinduan.
Tidak perlu diluah.

Berapa ramai manusia yang sedang berduka?
Berapa ramai manusia yang sedang kecewa?

Berapa ramai daripada dalam kalangan kita ini yang mungkin sedang berhadapan dengan kekecewaan dalam hidup? Atau sedang berhadapan dengan suatu situasi yang sukar dihadam oleh kita sendiri. Berapa ramai yang sebenarnya sedang tenggelam dalam perasaan kecewanya sehingga mengabaikan hal-hal yang lebih penting?

Sebenarnya, seberapa banyakkah kedukaan yang kita alami sehingga menjatuhkan kita ke dalam lembah kekecewaan sehingga adakalanya kita sukar melihat hal-hal lain yang lebih penting dan yang lebih menggembirakan kita apabila kita lakukan.

Berapa ramai dari dalam kalangan kita ini akan mengaku?

Masih Banyak Hal Perlu Difikirkan

Suatu hari, saya pernah menghubungi seorang sahabat saya untuk berkongsi rasa. Sebelum itu, saya mengirimkan mesej pesanan ringkas dan bertanya sama ada beliau free pada ketika itu atau tidak. Jawab beliau, beliau free. Maka saya membuat panggilan dan kami bergurau senda sambil berkongsi tujuan asal tadi.

Di akhir-akhir perbualan kami sebelum meletakkan telefon masing-masing, beliau sempat memberikan pesan dengan nada yang bersenda. Begitulah kami, tidak boleh terlalu serius.

“Su, janganlah sedih. Jangan kecewa..”
“Eh takdalah.. You know me right?”
“Elehh awak tu, Su.. Kat luar je nampak kuat macam bro. Dalam hati…!”

Saya tergelak.

“Jangan kecewa, okey? Masih banyak perkara yang awak perlu buat dan perlu fokus.”

Saya sebenarnya, okey sahaja. Tiada apapun. Tapi apa yang membuatkan saya merasa ‘something adalah pada nasihat beliau,

“Masih banyak perkara yang awak perlu buat dan perlu fokus.”

Saya jadi terfikir sebenarnya. Betul juga nasihat beliau. Dalam pada rasa sesuatu di jiwa itu, sebenarnya kita tidak boleh berlama-lama dalam suatu keadaan. Keadaan yang seperti bersedih, keadaan marah, keadaan kecewa, keadaan benci (sebaiknya jangan sampai membenci). Kerana impak kita berada dalam keadaan tersebut hanya mengganggu urusan kehidupan kita yang lainnya sehingga kita boleh menjadi futur sebenarnya!

Macam mana perasaan futur dalam diri itu mungkin akan timbul? Jawapannya dalam banyak cara. Apabila kecewa mengetuk pintu hati dan berlama-lama di dalamnya, nanti kita bukan jadi sekadar futur. Percaya? Kerana, dari perasaan itu nanti kita akan bersoal jawab sendiri. Kenapa Allah tidak mentakdirkan begini? Kenapa Allah tidak membenarkan begitu? Kenapa ini, kenapa begitu? Nampak tidak kaitannya?

Kita Masih Akan Menempuh Kehidupan

Di hadapan perjalanan kehidupan, masih banyak yang perlu ditempuhi. Kita akan merasa bagaimana rasanya berdampingan dengan pengalaman-pengalaman baru, yang semestinya akan mengajarkan kita kepada erti sesuatu yang baru. Bukankah? Di hadapan perjalanan kehidupan juga, kita mungkin bakal menjadi seseorang yang baru. Yang ya.. Mungkin tidak sama seperti masa lalu? Yang mungkin lebih baik? Siapa tahu?

Pengalaman-pengalaman yang lepas, akan selalu menjadi pelajaran dan pengajaran yang berguna dalam kehidupan kita. Tidak semestinya pengalaman yang lepas perlu dilupakan. Bahkan sebenarnya kita perlu berdamai dengannya. Kerana tanpanya, mana mungkin kita boleh mendapat pengajaran.

Sesekali jangan timbulkan rasa dendam. Atau rasa ingin membalas kekecewaan yang diperbuat oleh orang lain terhadap kita dengan bakal kekecewaan yang kita lemparkan kepada orang lain. Kerana sesekali, kita tidak akan bakal menemui ketenangan dalam kehidupan. Kita akan menjadi seseorang yang dihantui kesedihan, malahan!

Kalau harapan yang pernah kita letakkan tinggi dalam kehidupan kita itu menjadi sirna, jangan terlalu cepat kecewa. Tarik nafas dalam-dalam, dan hembuskan dengan perlahan. Tenangkan fikiran. Letakkan hanya sesuatu yang positif dalam pemikiran. Di saat-saat begini sebenarnya, kita perlu lebih banyak ingat kepada Tuhan.

Bukannya bermaksud hanya apabila ada masalah sahaja perlu ingat kepada Tuhan. Tidak. Tetapi kerana apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang sukar dalam kehidupan kita, kita mungkin menjadi rapuh dan lebih lemah. Maka dalam fasa seperti itu, hanya Tuhan yang sebenar-benarnya memahami kita. Bahkan hanya Dia yang tahu bagaimana rasa dalam jiwa kita dan hanya Dia sahaja yang boleh menyembuhkannya dengan cara-Nya!

Bukankah?

Kadang-kadang, bila kecewa hendak menjengah jiwa saya, maka saya akan membaca kata-kata atau doa Abu Bakar as-Siddiq yang berkata,

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku berbanding diriku, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding mereka. Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangka, dan ampunilah aku pada perkara yg mereka tidak ketahui, dan janganlah menghukumku dengan apa yg mereka katakan.”

Hati menjadi tenang. Kerana itu luahan pergantungan.
Hanya Allah yang Maha Memahami.

Jangan pernah bergantung harap yang keterlaluan kepada manusia. Kerana manusia itu tetap manusia. Seperti diri kita sendiri yang penuh lemah. Adakala merasa kecewa dan mengecewakan. Tapi bergantung haraplah kepada Allah Ta’ala.

Pssst! Hey kamu. Kita sama-sama ya?
Jangan berlama-lama dalam kecewa, okey? *genggam tangan kamu*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *