Anak Yang Sedang Menuju Dewasa

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Seorang anak yang sedang menuju dewasa.
Seorang anak yang sedang menuju dewasa.

Disaat semua sedang menepi;
saat-saat mungkin terjatuh tertolak —
dengan sengaja mahu pun tidak.

Disaat diri sedang longlai bertatih;
saat menanam sabar berbenih onar —
balas perbuatan manusia atau tahan kerana Allah.

Maka aku akan berlari bagai seorang anak;
memanggil-manggil ibunya,
dengan airmata yang tidak tertahan panasnya,
bezanya cuma —
airmata tika sedang dewasa ini,
boleh bertahan banyak ketika untuk tidak tumpah.

Mama.

Orang yang paling terpercaya;
orang yang aku akan rujuk berlari sedaya,
orang yang aku akan luah isi hati meski bertapis jeda.

Cukup kedengaran suara “Hello” dihujung talian —
lenyap sebuah sedih,
lenyap mimik-mimik muka yang sembap.
lenyap semuanya.

Itu kuasa dari Tuhan untuk seorang wanita yang bergelar ‘ibu’.

—–

14 Disember 2013

Ada rasa terhadap mama yang tidak dapat diluahkan. Mungkin kerana sedih menjenguk jiwa kerana beberapa jam lagi untuk paginya akan berangkat dan bakal berjauhan jasad. Aku mengambil meletakkan kertas A4 berwarna putih kosong – serta merta ada manik jernih mengalir deras di pipi. Pen juga belum terpegang kemas.

Ternyata apa yang mahu diluah tidak dapat sehelai kertas itu memikulnya.

Usai subuh, aku menuliskan perkataan demi perkataan. Takut tidak dapat bertemu lagi selepas ini. Ajal bila-bila sahaja diputuskan oleh Allah — namun aku masih meminta, Tuhan membenarkan untuk aku berbakti dengan sebanyak-banyak;

untuk segala kudrat mama dan abah;
untuk segala kasih sayang yang tidak pernah membeza dari mereka.

15 Disember 2013

Lokasi sebelum perpisahan; lapangan terbang. Selesai check in di kaunter awal, aku sengaja berlambat-lambat untuk masuk ke balai berlepas. Berkepit dengan mama dan abah (adik-adik tidak turut serta ikut ke lapangan terbang). Dan seperti biasa, aku dibekalkan dengan macam-macam nasihat pagi itu. Bahkan beberapa hari sebelum aku berlepas!

Ada tangisan dalam jiwa;
“Wahai Tuhan, kasihanilah mereka dengan kasih-Mu!”

Tiba masa untuk masuk ke balai berlepas — aku ambil dan tarik tangan mama, aku cium dengan perlahan. Aku peluk mama semahunya. Namun tetap, aku masih menahan airmata ini. Biar mama senang hati melihat aku pergi tanpa ada tangis duka perpisahan. Aku pergi kepada abah yang berada di sebelah mama, aku salam dan kucup kedua belah pipi dan aku peluk abah. Aku lihat airmata mama semakin menderas.

Aku berpaling — terus menuju ke pintu kawalan automatik tanpa menoleh.
Panas dimata mulai terasa.

Dan akhirnya;
saat kaki melintasi pagar automatik —
airmata mengalir panas perlahan di pipi,
kakak polis yang ada disitu mengangguk;
faham akan rasa duka begini barangkali.

—-

Disetiap airmata yang tertumpah;
kerana berpisah dengan anak degil yang seorang ini,
kerana rasa mendung dijiwa dek keberadaan yang jauh anak seorang ini.

Aku pegang satu tekad sedari awal —
aku tidak akan pernah mensia-siakan airmata itu, mama abah.
akan aku balasi dengan kejayaan dan usaha untuk menjadi hamba Allah yang baik.

Dan yang paling terbesar sekali;
tidak akan aku pernah mensia-siakan kepercayaan dan doa kalian.

Baik-baiklah di sana, wahai kedua orang tuaku —
anakmu yang sedang menuju dewasa ini masih memerlukan kamu,
masih tidak puas untuk berada dekat dan berbakti dengan kamu.

Baik-baiklah di sana dengan jagaan dan rahmat dari Allah Ta’ala.
Baik-baiklah di sana dengan kudrat kekuatan seorang ibu dan juga ayah.

Anak kalian ini masih memerlukan kalian dengan sungguh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *