Aku Di Sini, Dan Diriku

Bismillahirrahmaanirrahiim.

But no one know me for who I am

Kelas yang batal pada hari ini digunakan untuk mengecas kembali tenaga. Dan mata terjaga sebelum waktu Asar menyeru. Mata tercelik.

Oh. Aku masih di sini. Di perantauan, jauh dari keluarga.

Entah mengapa hati yang merindui keluarga yang jauh dimata tapi sentiasa dekat dihati membuat aku terfikir, memutar kembali kejadian demi kejadian yang membuatkan kepala menjadi berat. Dan jika tidak tertanggung untuk memikirnya, maka ubat sementara adalah merehatkan otak dengan tidur. Entah tidur aku itu dikira ibadah atau sebaliknya.

Nafas kutarik perlahan-lahan.

Aku manusia biasa. Aku manusia biasa. Aku manusia biasa.

Aku manusia biasa yang penuh dosa. Penuh kelemahan.
Aku tahu aku insan biasa, bukan mulia.

Aku, dikenali dengan pelbagai cara. Ada yang mengenali diriku bertahun lamanya; sifatku, karenahku, tabiatku. Ada yang tahu perangaiku luar dan dalam. Ada yang mengenal diriku melalui blog ini dan blog-blog sebelumnya. Malah, ada juga yang mungkin mengenalku di mukabuku@Facebook.

Dan, ada yang mengenal wajahku zahir dan batin.
Dan, ada yang hanya mengenali diriku melalui suaraku dari corong telefon.

Seperti manusia lain, hatta banyak masa aku mencuba mengawal sifat buruk yang ada pada diri, ada saatnya keburukan itu terhambur keluar dek tolakan persekitaran. Dan hanya selepas itu, aku akan menyesal. Menyesal yang tidak berguna kebanyakannya.

Manusia lain itu, apabila terselak sifat keburukan yang ada pada diri, maka tiada lagi pandangan hormat melainkan dingin dan mengata belaka.

Aku hanya dipandang kosong. Tiada lagi hormatnya.

Manusia, kan. Apalah sangat.
Manusia itu aku dan kau; hamba Allah. Yang sinonim dengan kesalahan dan dosa.

Aku tahu aku bukan manusia yang baik. Aku pernah melalui jalan-jalan yang samar. Aku ada kisah jahiliyyah tersendiri. Aku keluar berjalan seadanya. Oh, jangan diukur aku pada pakaianku hatta pakaianku itu dikenali dipakai oleh orang-orang yang baik.

Kalau kau mencari keburukanku dan membandingkannya dengan pakaian yang ada pada diriku, nescaya kau akan berjaya mencari dan dapat pula menyenaraikannya. Sungguh!

*Aku sedih

Memang. Memang aku sedih apabila ada manusia yang mencanang-canang keburukan orang lain apabila orang lain membuat kesalahan. Tetapi apabila diri sendiri yang melakukan kesalahan, mahu pula dirinya dikasihi hanya dengan alasan dirinya hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas dari dosa.

Hahaha. Suatu perkara yang aku mahu gelak dengan deraian airmata.

Kau, kau dan aku ada takdir sendiri. Dan walaupun kau dan aku tidak berjalan di atas takdir orang lain, kau perlu tahu untuk berasa empati terhadap orang lain.

*Memujuk diri

Sudahlah wahai hati. Manusia memang begini di atas muka bumi.
Jarang sekali dapat menerima diri dengan seadanya.

Seperti aku. Aku sangka sudah menemui, tapi rupanya silap sendiri.
Bila sisi gelap diri terserlah, malah ditutupnya pula dengan penuh hina!

No one know me for who I am.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *