Adakah Saya Merindu?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hari ini balik ke rumah beberapa jam sebelum maghrib. Agak lama menunggu di perhentian bas. Lebih kurang 1 jam agaknya. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Ingin telefon Abah untuk minta tolong jemput, takut menyusahkan pula. Akhirnya, dengan hujan yang renyai-renyai.. Saya tetap menunggu di perhentian bas tersebut sehingga bas mini datang. Alhamdulillah.

Lebih kurang 5 minit lebih untuk sampai ke bandar. Apa tidaknya, si pemandu bas tersebut laju bukan main. Dalam bas tadi, walaupun dengan masa yang singkat itu, banyak yang masuk dalam kotak fikiran saya. Macam-macam.. Sehingga terasa seperti ada gambaran panggung wayang menayangkan apa yang saya fikirkan. Subhanallah.

Sesudah sampainya di bandar, saya terpaksa menaiki lagi sebuah bas untuk sampai ke rumah. Perjalanan memakan masa lebih kurang setengah jam lebih, bahkan mungkin sejam. Agak lama. Dalam hati, sudah kerisauan jikalau terlepas waktu Asar. Hari dah nak maghrib. Ingin singgah di masjid bandar tadi, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Di dalam hati berdoa agar ALLah mempercepatkan bas tersebut. Cuba untuk bertenang dan akhirnya sekali lagi bayangan seperti panggung wayang tersebut menjelma.

HIDUP SENDIRI

Saya berjalan sendiri. Saya turun dan naik sendiri. Iya, saya terfikir. Beginilah hidup. Saya ada sahabat, tetapi mereka berada di tempat lain. Juga berjuang sama seperti pejuang-pejuang yang lain. Juga mereka bersendirian. Dalam melangkah untuk berjuang sehari-hari, tidak sepenuh masanya kita ada teman atau sahabat di sisi. Ada ketika, kita akan bergerak sendiri tanpa sokongan dari siapa-siapa pun. Dan begitulah yang selalu terjadi dalam kehidupan kita.

Secara fizikal, kita mungkin bersendirian. Tetapi tidak didalam jiwa. ALLAh adalah sebaik-baik peneman. Sahabat? Sahabat adalah pinjaman dari ALLAh SWT, yang menjadi perantaraan manusia untuk ALLAh memberikan kekuatan-Nya kepada kita. Sahabat sampai syurga yang didamba. Bukan sahaja di dunia.

Saya teringat seseorang yang pernah menegur cara saya berjalan dahulu. Kenapa jalan tertunduk? Kelihatan seperti orang yang sedang bersedih dan kesunyian saja. Apakah tiada rakan-rakan? Ikutkan hati ingin saja saya tergelak. Namun, senyuman dilemparkan. Agaknya mungkin selalu kelihatan saya berjalan sendiri dan tertunduk, kelihatan seperti tidak berteman. MashaALLAh.

Macam yang saya katakan tadi. Banyak yang menjelma di kotak fikiran. Jadi saya tidak tahu apakah sebenarnya yang sedang benar-benar saya fikirkan. Apa yang pasti, hai saya terusik pada hari ini. Tidak tahu mengapa. ALLAh, aku sedang merindukan-Mu.

Kita tidak akan sunyi, sekiranya kita tidak sunyi dari kasih-sayang ALLAH. Namun kita bertuah, ALLAh masih mencampakkan perasaan rindu pada apa saja yang patut dirindui. Kerana rindu itu anugerah. Jadi hargailah.

Adakah saya sedang merindu? Wallahu’alam bissowwab.

Semoga ALLah merahmati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *