Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

[Cerpen] Pergimu Meninggalkan Kekuatan Perjuangan

Credit Picture : Google

Credit Picture : Google

Pintu dibuka dengan gerakan yang perlahan. Kelihatan seorang wanita lengkap bertudung dan berjubah melangkah masuk dengan kaki yang longlai serta tangan kanannya memegang beberapa buah buku. Wajahnya sugul, muram. Cukup memberi faham kepada orang lain mentafsir yang dia sekarang sangat tidak bermaya.

Kelihatan tidak bersemangat.

Usai meletakkan buku dan beg di meja belajar, dia melepaskan tudungnya lalu melangkah masuk ke dalam bilik air. Rakan sebiliknya, Kak Hazwani yang tua setahun darinya hanya memerhati. Sebaik sahaja keluar dari bilik air, wajahnya yang sugul tadi itu berubah rona. Kelihatan bercahaya, berkat air wudhu barangkali. Pantas dia mencapai telekung dan membentangkan sejadah di suatu sudut dalam bilik itu. Kak Wani, masih memerhati sebelum bertindak sebagai rakan sebilik sekaligus pendengar.

“Assalamu’alaikum warahmatullah…” dia memberi salam ke kanan dan kiri lalu berdoa.

Usai melipat telekung, dia duduk berhadapan dengan meja belajar. Dihadapannya, banyak nota-nota kecil yang ditampal sebagai peringatan. Diamatinya satu persatu. “Uh. Semua ni nota kecil lepas, dah buat dah..” Di papan itu juga tertempek gambar kedua orang tuanya. Tiba-tiba dia menguntum senyum melihat gambar itu. Gambarnya bersama kedua orang tuanya semasa dia menamatkan pengajian di Pusat Latihan Dakwah (PLD) dan gambar semasa menamatkan pengajian diplomanya.

Tanpa disedari, Kak Wani masih terus memerhati. Dia tahu, pasti ada yang tidak kena. Budak seorang itu tidak akan sesenyap ini jika tiada yang singgah mengganggu dihati. Kak Wani perasan perubahan wajah rakan sebiliknya itu apabila menatap sekeping gambar yang tampal di dinding. Gambar seseorang yang bertudung dan tersenyum. Memakai tudung hitam dan berbaju lengan panjang berwarna coklat. Beberapa saat wajah rakan sebiliknya itu tertumpu pada gambar itu, tidak semena-mena ada derasan air yang mengalir ke pipi. Dia menyeka titis-titis jernih lalu bangun menyarungkan tudung ke kepala.

“Akak.. Amni nak keluar kejap,” Amni memandang Kak Wani dan cuba tersenyum. Tangannya pantas mencapai buku lukisan dan pensil case untuk melukis.

Kak Wani membalas senyuman sambil mengangguk.

“Amni….” Sebelum Amni sempat melangkah, Kak Wani memanggil. Kerana tindak balas, Amni terus menoleh. “Hati-hati ya..” Kak Wani tersenyum. Amni mengangguk dan memberikan salam sebelum melangkah keluar.

Amni berjalan petang itu seperti orang yang tiada perasaan. Sesekali bertembung dengan adik-adik junior, Amni akan menyambut salam dan tersenyum. Apabila ditanya, “Akak nak ke mana?” Amni akan menjawab, “Akak nak ke sana,” Sana yang dimaksudkan Amni itu ialah bahagian ruang tengah sekolah pengajian perniagaan yang terdapat kolam ikan di situ. Kebiasaannya petang-petang selepas asar begini sudah tiada kelas. Kalau ada pun, para pelajar yang berada di tahun akhir saja. Selebihnya, ada yang memilih untuk tidur dalam bilik asrama masing-masing atau beriadah.

Setelah memeriksa keadaan sekeliling ‘clear’, Amni duduk di tepi kolam ikan lalu memerhati ikan-ikan tersebut. Sudah mahu habis pengajian Amni di tempat pengajian itu, ikan-ikan yang berada dihadapannya itu kebelakangan ini selalu menjadi peneman Amni. Hatinya hari ini memang sedih, ingatan yang tidak dipintanya itu terus-menerus menerpa ruang ingatan. Dan ingatan itu mengundang tumpahan titisan airmata. Didalam jiwa Amni, ada sebak yang tertanggung sehingga terasa ada seketul batu yang bermukim di dalamnya.

Bidadari.. Bidadari.. Temanilah hatiku
Bidadari.. Bidadari.. Tenangkanlah jiwaku

Telefon bimbit Amni berbunyi. Terpapar nama ‘Ummi’ di ruang skrin.

“Wa’alaikumussalam Mak.. Alhamdulillah Amni sihat. Takda kelas dah sekarang,”

“………..”

“Amni okay, inshaAllah. Mak janganlah risau ya. Amni okay..”

“………..”

“………..”

Tangisan dan suara yang dikawal-kawal tadi, akhirnya pecah juga. Amni menangis. Rasa itu sudah tidak tertahan. “Ya Allah, apakah aku tidak redha dengan takdirmu?” monolog hati Amni.

“Amni rindu dia sangat, Mak. Rindu sangat.. Amni tak tahu nak buat macam mana. Amni saying dia. Amni nak jumpa dia..” Esak tangis itu makin sedikit kuat.

“………..”

Mendengar butiran kata nasihat dari Mak-nya. Amni diam selama 5 minit. Puan Hasanah tetap menunggu dengan sabar anak tunggalnya itu untuk menenangkan diri. Dia faham, tidak mudah bagi anaknya itu untuk melalui semua ini dengan sendiri. Pun begitu, dia yakin Amni boleh laluinya dengan kebijaksanaan akal. Ibu manalah yang tidak risaukan anaknya yang sedang berada di kejauhan. Lagi-lagi buat masa sekarang. Namun doa buat sang anak di seberang sana tidak pernah putus. Ini pun, Puan Hasanah tidak sedap hati. Maka dicapai telefon untuk menghubungi Amni. Ternyata, naluri seorang Ibu sangatlah kuat.

Kedengaran Amni melepas nafas halus. “Mak, inshaAllah Amni dah okay,” Amni mengesat hidungnya dengan tisu.

“………..”

“InshaAllah. Wa’alaikumussalam wbt,” Amni meletakkan telefon bimbitnya ke tepi dan mencapai kertas lukisan dan pensil.

Tekun Amni melakar sesuatu. Sejak kebelakangan ini, Amni kerap membeli buku lukisan. Tempoh hari, Kak Wani memuji semua hasil lukisan Amni. Kata Kak Wani, kuat betul imaginasi Amni untuk melukis semua itu. Katanya lagi, Amni boleh menjadi artis nanti. Walhal, apabila Amni melukis semua itu, ia hanyalah tumpahan kesedihan yang terbuku dihati lalu dicurahkan ke kertas putih. Dan curahan itu terhasil sejak kebelakangan ini kerana teringatkan seseorang.

Bagi Amni, hanya itu satu-satunya cara untuk dia meluahkan perasaan. Yang pasti, selepas melukis, dia akan merasa lega sangat. Tapi, tetap saja. Ingatan itu akan muncul. Setiap masa!

Di satu sudut bangunan SPP itu, ada sepasang mata memerhati Amni yang dari tadi tekun melukis. Peliknya, dia melukis sambil menangis! Empunya sepasang mata yang memerhati itu melihat ke dalam mata Amni yang penuh kesedihan. Tiba-tiba rasa sedih itu seakan-akan menjangkiti jiwanya.

Sesekali Amni berhenti melukis untuk mengesat airmatanya.

Mata itu terus memerhati. Ya Allah, kesedihan apa yang hamba-Mu hadapi ini?

Bacaan alQuran yang kedengaran dari masjid kolej itu menandakan tidak lama lagi masuk waktu solat. Kelihatan Amni sudah menyudahkan lukisannya. Empunya mata yang memerhati itu beredar melangkahkan kaki ke masjid. Amni, setelah selesai menyiapkan lukisannya, dia menatap dalam kertas putih yang sudah dinodai warna pensil itu. Terasa sudah tidak ada airmata mahu dikeluarkan. Sekurang-kurangnya, buat masa sekarang.

“Semoga kau bahagia di sisi-Nya..” lirih sambil melangkahkan kaki menuju ke masjid. Mata Amni sembap. Dengan kulit Amni putih susu itu, kesembapan mata Amni tidak dapat disembunyikan.

————-

Waktu solat maghrib sudah masuk.

Amni memilih untuk menyelit di saf paling depan, dia beriman bahawa Malaikat akan mendoakan dan memakbulkan doa orang yang memelihara dan menyambung saf. Tiba-tiba tangannya dipegang oleh seseorang. Kak Najihah tersenyum mesra seperti selalu. Senior Amni yang berada di tahun akhir pengajian Syariah dan Undang-undang. “Dating jom..” tutur Kak Najihah.

Usai solat maghrib dan berdoa, kebanyakan jemaah wanita memilih untuk kembali ke hostel. Termasuk Kak Najihah, katanya ada meeting sekejap lagi. Tinggallah Amni duduk di dalam masjid beriktikaf tertunduk. Ingatan itu menerpa lagi, dan kali ini disertai dengan rasa cengkaman dijiwa. Mahu sahaja Amni menjerit menzahirkan rasa dihati. Mujur dia masih waras dan sedar dia berada dalam rumah Allah. Nanti tidak pasal-pasal dia dikatakan hysteria pula.

Amni mencapai terjemahan al-Quran berwarna hitam di rak buku di sudut ruang solat wanita. Lalu membaca beberapa helaian dengan tekun. Sesekali, matanya bertakung kerana ingatan terhadap seseorang yang dia sayangi. Amni menyudahkan pembacaannya dan mengucup mushaf itu.

“Assalamu’alaikum.. Boleh saya duduk sini?” sapa seorang wanita separuh tertunduk.

“Wa’alaikumussalam.. Eh duduklah. Takda orang,” Amni tersenyum mempersilakan.

Selepas wanita itu duduk, dia terus sahaja membaca alQuran dengan suara yang perlahan tapi cukup untuk telinga Amni menangkap untaian kalamullah yang dilafazkan. Sebak Amni mendengar peringatan demi peringatan. Amni meraup muka. Serentak dengan itu, bacaan wanita tadi tamat.

“Nama akak Hapsyah. Nama enti?” ujar wanita itu sambil menyentuh bahu Amni.

Amni menghulurkan salam, “Nama saya Amni Nur Fatihah, kak. Panggil Amni je,” dia tersenyum mesra. Ada tanda keikhlasan kelihatan disitu.

“Cantik nama tu, secantik empunya nama..” Hapsyah mengenyitkan mata. “Alhamdulillah kak. Terima kasih buat Mak dan Abah yang berikan nama ni,” Amni cuba tersenyum. Sebenarnya buat masa sekarang dia ingin bersendiri menenangkan jiwa. Tapi memandangkan kakak itu menghulur salam perkenalan, maka dia harus memberikan hak kakak itu.

Kak Hapsyah berdehem kecil, “Akak perhati Amni dari tadi. Bila akak terpandang Amni, akak terus teringat seorang sahabat akak. Wajah dia sebijik macam Amni. Akak terkejut sangat tengok tadi.. Tak sangka, akak singgah masjid ni buat kali pertama Allah ingatkan akak pada sahabat akak tu..” Kak Hapsyah memulakan perbualan.

Amni tersenyum kelat. Sahabat? Ya Allah, tolong. Aku masih tidak mahu bercerita atau mengungkap apa-apa tentang sahabat. Aku tidak mampu ya Allah.

Melihat Amni hanya tersenyum, Kak Hapsyah terus menyambung cerita. “Sahabat akak tu baru meninggal 6 bulan yang lepas. Tapi dia tetap hidup dalam jiwa akak. Erm, dia bukan setakat sahabat je bagi akak dik. Dia juga seorang saudara. Saudara dunia akhirat, inshaAllah!” Kak Hapsyah berhenti sekejap. Seakan-akan mengumpul kekuatan untuk bercerita, sambil tangannya lembut menarik zip terjemahan alQuran yang berwarna hitam itu.

“Sahabat akak meninggal dalam kemalangan jalanraya. Kereta yang dipandunya dirempuh sebuah trailer dari belakang…” Kak Hapsyah berhenti seketika, menggigit bibir. Ada nada sebak kedengaran. Tapi kemudian, bibirnya tetap mengukir senyum.

Meninggal? Amni membulatkan matanya. Ya Allah, kenapakah cerita kakak ini mengingatkan kepada rasa itu? Allahuakbar. Bantu aku. Bantu aku. Bantu aku.

“Allah lebih sayangkan sahabat akak. Alhamdulillah, akak sempat kucup jenazah buat kali terakhir. Masa mula-mula kehilangannya, akak bagai hilang separuh diri. Semua serba tak kena. Airmata sentiasa menjadi peneman akak. Mujur Allah kurniakan akak keluarga yang memahami.. Kalau tak, akak rasa akak dah sakit jiwa. Hmm, akak tahu.. Kalau sahabat akak tu tahu akak macam ni, mesti dia pun sedih tengok akak. Mesti dia marah kat akak. Allah… Rindunya kat dia.” Kak Hapsyah mengesat airmatanya.

Amni tetap diam. Jiwanya bagai mahu pecah.

“Err. Maaflah akak cerita semua ni kat Amni.. Akak Cuma teringatkan dia bila terpandang wajah Amni tadi,” tiba-tiba Kak Hapsyah dilanda rasa bersalah. Kasihan Amni tak tahu apa-apa terpaksa mendengar ceritanya. Mesti Amni hairan dan kaget.

Tak semena-mena airmata Amni tumpah lagi.

“Sekurang-kurangnya akak dapat jumpa sahabat akak buat kali terakhir…” Amni tetap tunduk. Titisan airmata yang jatuh itu terlihat oleh Kak Hapsyah. Maka bertambah lagilah rasa bersalah didalam hatinya. “Amni tak sempat jumpa pun dengan sahabat Amni sampailah dia meninggal dunia. Dia tinggalkan Amni kak.. Dia tak tunggu Amni sampai Amni habis belajar. Dia kata dia nak tengok Amni konvo. Tapi…”

Mendengar itu, Kak Hapsyah jadi kaget. Adakah dia telah mencungkil kesedihan dalam jiwa anak gadis ini? Sungguh, dia tidak bermaksud begitu. Ceritanya meluncur keluar apabila melihat Amni yang duduk keseorangan, dan wajah Amni sangat mirip dengan wajah arwah sahabatnya. Yang berbeza hanyalah warna kulit Amni lebih cerah. Kak Hapsyah memandang sayu. Dia cuba memainkan peranan walaupun dia tidak tahu kisah sebenarnya Amni dan sahabatnya.

“Dik, mana boleh cakap macam tu. Dia pergi dengan izin Allah.. Tu bukan kehendak dia. Dah tiba masanya untuk dia sahut seruan Ilahi..” Kak Hapsyah menyapu-nyapu belakang Amni yang teresak-esak itu. Kasihan budak ni, menanggung rasa dihati.

“Maaf kak.. Amni terbawa-bawa perasaan,” Amni mengangkat wajah dan cuba melakar senyum. Malunya. Mata dan hidung dan pipinya berubah warna kesan dari tangis.

Kak Hapsyah menghulurkan sebungkus tisu. Amni menyambut baik, “Dik, mungkin akak tak rasa macam mana perasaan adik sekarang ni. Tapi akak faham perasaan tu. Redhakan pemergian sahabat tu.. Kirimkan banyak-banyak doa padanya. Gembirakan dan buat dia tersenyum dengan perjuangan adik..”

Tiba-tiba telefon bimbit Kak Hapsyah berbunyi menandakan ada mesej masuk. Beberapa saat Kak Hapsyah membaca pesanan ringkas itu, dia meminta diri. Katanya mahu meneruskan perjalanan. Tadi dia singgah di masjid ini untuk menunaikan solat Jamak Takdim. Sebelum berlalu pergi, sempat Kak Hapsyah memberikan kadnya dan Amni memberikan nombor telefonnya dan mereka bersalam serta berpelukan. Saat memeluk Kak Hapsyah, Amni merasakan kehangatan yang menenangkan. Terasa kehangatan kasih-sayang seorang kakak.

“Redhakan pemergiannya dik.. Dia sentiasa hidup dalam jiwa kamu,” bisik Kak Hapsyah sebelum melangkah pergi.

*tidak tahu cerita ni akan bersambung atau tidak
hanya melampirkan secebis kenangan di sini~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *