Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Cerpen : Penat Demi Sorga

Sunnah orang berjuang; ditemani dengan tawa dan tangis.

Sunnah orang berjuang;
ditemani dengan tawa dan tangis.

Mata Saleha menahan panasnya airmata. Letih.

Kedengaran gelak tawa dari luar. Dia cuma menggeleng-geleng perlahan sebelum matanya menatap kembali komputer riba dihadapan. Dia memeriksa jadual. Minggu ini, dia dijemput untuk memberi tazkirah di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan. Otaknya masih ligat berfikir.

Dia mendongak dan memandang papan berwarna kuning yang bertampal dengan kertas-kertas memo yang banyak. Terkandung peringatan-peringatan mengenai tugasannya sebagai seorang pelajar dan perlu diselesaikan tanpa mengabaikannya walaupun dia seringkali tidak lekat di rumah sewa. Pada siang hari, kelasnya sentiasa padat. Malam hari, ada sahaja mesyuarat persatuan itu dan ini. Usrah juga tidak pernah dilupakan.

Semester ini, entah kenapa terasa mencabar sungguh. Saleha menekup muka.

Saleha masih menghadap skrin, membalas satu demi satu emel yang dikirimkan padanya. Dia memerhatikan aksara-aksara yang ditaipnya. Sesekali dia merasa berdebar-debar apabila orang lain meminta diberikan nasihat. Takut-takut juga nanti segala nasihat itu akan menuntut hak dari dirinya sendiri. Namun, tugas sebagai seorang Islam apabila saudaranya meminta nasihat, maka dia perlu memberikan nasihat walau hanya sekadar sepatah dua kata.

Otaknya sekali lagi ligat berfikir.

Usrah atau dikenali sebagai bulatan gembira, bulatan bahagia atau yang seangkatan dengannya, kerjanya sebagai jurufoto muslimah, perniagaan kecilnya, pengurusan blog yang perlu diisi dengan entri-entri yang bermanfaat, adik-adik mutarobbi yang berada dibawah penjagaannya, para akhowat yang sedang berada jauh yang sentiasa dirinduinya, SMS yang bertubi-tubi masuk perlu dibalasnya, yang kadang kala terlupa hendak dibalas walaupun telah berhari-hari diterima, tugasnya lagi sebagai seorang pelajar Syariah dan Undang-Undang yang banyak sungguh tugasan dan projek akhir yang banyak.

Kepalanya tiba-tiba terasa berdenyut-denyut. Spontan tangan kirinya memicit kepala.

“Aku.. Penat. Tsst. Tsst.” Luah Saleha seorang diri di dalam biliknya. Sambil itu, manik jernih membasahi pipi. Bukan kerana tidak mahu memikul bebanan dibahunya. Tapi Saleha merasa penat. Penat, tidak larat. Bahkan ada waktu, kepalanya dilanda keserabutan.

Saleha menyandarkan belakang badannya ke kerusi. Benar, dia sering memberikan perkongsian dan memenuhi jemputan-jemputan serta berbicara mengenai keindahan Islam. Namun, dia juga manusia biasa yang boleh merasa penat dengan semuanya. Bukanlah Saleha hendak mengadu bahawa dia tidak patut memikul amanah ini. Entah. Mungkin adakalanya dia merasa perlu meminjam bahu melepaskan tekanan yang dirasainya.

Tambahan lagi, dia juga seorang pelajar sepenuh masa. Yang memikul amanah yang berat. Pun begitu, prestasi pelajarannya tidak pernah tidak memuaskan. Dan Saleha sentiasa komited dan tidak mengabaikan pelajaran. Untuk dia, bersyukur sungguh.

Tapi itulah. Entah mengapa, terasa sangat berat bebanan ini.

Sejak kebelakangan ini, tidurnya juga tidak cukup. Perlu mengkaji, mencari dan menyiapkan bahan-bahan untuk sesi perkongsiannya saban minggu. Kerana itu, setiap kali sahaja ada ceramah agama di masjid-masjid atau majlis-majlis ilmu, mahupun bertalaqi dengan guru-guru fiqh, maka dia tidak melepaskan peluang. Kerana baginya, ilmu itu perlu didatangi.

Namun akhir-akhir ini, tidur malamnya terganggu sungguh akibat banyaknya kerja. Tidurnya paling awal pun hanya pada pukul 1 pagi, dan paling lewat pada pukul 2 pagi. Dan 2 atau 3 jam selepas itu, dia perlu bangun untuk menunaikan haknya sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Dan berlarutan sehinggalah solat subuh, lalu bersiap-siap untuk ke kuliah pada awal pagi. Kadang-kadang baginya, tidurnya hanya menambah penat pada jasad.

Saleha benar-benar penat.

Siang tadi, Ayu rakan sekuliahnya menegur, “Saleha, kenapa mata awak dah macam mata panda? Tak tidur ke semalam? Haih awak ni, don’t push yourself to hard, my friend.”

“Allah itu, kalau mengasihi seorang hamba.. Pasti dia akan sibukkan kita dengan kerja-kerja agama. Jadi kita jangan merungut atau bersedih kalau kita ada banyak kerja untuk agama. Jangan berpisah dengan al-Quran dan Sunnah, kedua-duanya kita perlu jadikan sebagai peta, bukan hanya sekadar kertas semata-mata.” Kata-kata Ustazah Safiah, benar-benar menusuk ke dalam jiwanya. Terasa tusukan lembing jauh menembusi tulang belakang.

Saleha tertidur kepenatan di meja stadinya. Hanya terjaga apabila azan di masjid sudah selesai berkumandang. Saleha membersihkan diri dan menunaikan solat subuh.

Hari ini hari Sabtu. Pagi-pagi lagi Saleha sudah keluar rumah untuk memberi kesempatan kepada dirinya untuk melapangkan fikiran berjalan-jalan di tepian pantai. Ipad dan telefon bimbit pintar sengaja dimatikan. Tidak mahu gangguan katanya. Dalam pukul 10 pagi, Saleha menapak ke kedai buku. Dan dia ralit dengan buku-buku yang ada di dalamnya. Dan sudah menjadi kewajiban bagi Saleha untuk membawa keluar sebuah buku sekurang-kurangnya untuk dibaca dan dihadamkan. Dia membeli buku yang bertajuk, “Wasiat Ulama.”

Waktu Zohor sudah masuk sedari tadi. Sebelum pulang ke rumah, Saleha memandu kereta ke perkarangan sebuah masjid. Jemaah sudah pun bersurai semasa Saleha sampai. Maka Saleha solat seorang diri. Pada rakaat kedua, Saleha tersedar ada seseorang menepuk bahunya, tanda kebiasaan di Malaysia menandakan bahawa ada orang lain mahu berimamkan kita dalam solat. Dia terus menunaikan solat seperti biasa. Usai salam, Saleha melihat ke sebelahnya. Seorang perempuan yang sedap mata memandang. Tersenyum manis kembali. Saleha menyambung dengan bacaan doa. Sangkanya, perempuan tadi sudah beredar. Rupanya-rupanya masih berada di sebelahnya sehinggalah dia usai berdoa.

“Nama saya Zahirah. Terima kasih, kak..” Ucap perempuan tadi sambil hulurkan salam.

“Oo, nama saya Saleha. Eh, kenapa terima kasih?” Saleha berkerut dahi.

“Ye, saya kenal akak. Saya pernah pergi ke ceramah akak. Terima kasih sebab, hari tu akak mengingatkan betapa pentingnya kita rasa bersyukur sebab Allah pilih kita berada dalam tarbiyah. Hmm. Kalau nak tahu, hari tu, saya tak rancang nak pergi pun program tu. Cuma tiba-tiba kaki melangkah bila ternampak banner program akak tu.”

Zahirah menyambung lagi, “Sebenarnya hari tu, saya dah buat keputusan untuk tidak mahu lagi menyertai usrah dan mahu meninggalkan adik-adik usrah dibawah saya. Tapi bila terdengar akak cakap macam tu, entah mengapa hati saya rasa tersentuh dan sedih tiba-tiba. Sedih pada diri sendiri yang tak tahan ni..” Kelihatan airmata Zahirah bergenang. Cuba menahan untuk tumpah didepan Saleha.

Saleha kehilangan kata. Tiba-tiba sesuatu seakan-akan menghempap jiwanya. Orang lain boleh terkesan dengan kata-katanya, tetapi dia pula seakan-akan melupakan kata-kata sendiri. “Tak boleh jadi ni!” Getus Saleha.

Selepas berta’ruf ringkas dan berbual-bual isu ummah, Saleha meminta diri. Lalu dia berjalan menuju ke keretanya yang diberi nama Hilya. Duduk sahaja di dalam kereta dan menghidupkan enjin, Saleha duduk lurus menyandarkan belakang. Tangannya memegang stereng namun belum bergerak. Dia termenung teringatkan kata-kata perempuan yang bernama Zahirah tadi. Betapa terasa Allah sedang ‘menegurnya’. Sungguh!

Saleha mencapai al-Quran terjemahan terbitan Darul Iman yang berwarna hitam. Dia membelek-belek alQuran itu secara random, lalu matanya menangkap surah ad-Dhuha. Dia membacanya perlahan. Tiba ayat ke 7 dan ayat 8 dalam Surah ad-Dhuha, jiwanya sangat sebak. Airmatanya mengalir deras tidak semena-mena.

“Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia Dia memberikan kecukupan.”

Saleha terasak-esak perlahan. “Ampuni aku ya Allah. Ampuni aku ya Allah.. Aku bukan mahu kufur nikmat.” lirih Saleha sambil membawa terjemahan alQuran tersebut ke dadanya.

Dipeluknya mushaf itu erat.

Setelah menenangkan diri, Saleha menuju jalan untuk kembali ke rumah sewanya. Dia memberikan salam. Salamnya tidak bersahut. Nampaknya ahli baitnya semua sedang tidak berada di rumah. Saleha terus menuju ke biliknya, lalu menghempaskan diri ke katil. Dalam keadaan berbaring, dicapainya telefon Samsung S4 miliknya, niatnya mahu menyapa sosok seorang akhowat yang dirinduinya, Ukhti Amirah. Namun belum sempat dia membuka aplikasi whatsapp, sudah terpapar pemberitahuan ada mesej dari ukhti Amirah.

“Wahai ukhti mahbubah, Allah Ta’ala akan menilai penat kita yang sedang berusaha di jalan dakwah. Majulah. Jangan gentar dan jangan menyerah. Allah pilih kita bukan kerana kitalah yang terbaik. Tetapi sebenarnya Allah memilih kita untuk memberi kita peluang untuk membaiki diri sendiri. Majulah, ukhti. Majulah!” Mesej yang padu. Sangat padu!

Namun niat untuk menghantar pesanan ringkas kepada Ukhti Amirah tadi diteruskan juga dengan memilih medium SMS. Sengaja dia tidak mengirimkan di aplikasi whatsapp.

“Assalamu’alaikum ukhti fillah. Rasa penat sungguh. Kebelakangan ini rasa otak sangat serabut memikirkan semuanya. Serious, tak larat. Terasa dah diri ada simptom-simptom seorang yang futur. But I can’t help it. Tolong, sedarkan saudaramu ini.”

Send. Message delivered.

Saleha memejam mata. Bukan mahu tidur. Tapi mahu melegakan otak yang terasa semakin berat. Dalam keadaan begitu, ligat mulutnya menuturkan, “Fa inna ma’al ‘usri yusraa. Inna ma’al ‘usri yusra..”

Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi, tanda ada SMS – Ukhti Amirah.

“Allah itu tujuan kita, kan? Syurga itu dambaan kita, kan? Kerana itu ana katakan Allah masih memberi peluang. Ukhti fillah, bukankah syurga itu indah, kan? Susah-susah kita di dunia ini, ini bukanlah tempat kita. Jadi, teguhlah walau rasa tak larat sekali pun. Senyumlah, ukhti mahbubah. Senyumlah. Ke arah syurga kita sedang usaha.

Bukankah janji kita mahu berjumpa di sana? Bukankah kita mahu berehat dan bersantai di syurga nanti? Jadi kenapa mahu mengalah awal-awal di dunia ini?”

Saleha memejam mata. Sesaat terimbas jalan-jalan hidupnya. Akhirnya dia menangis beberapa ketika. Selepas itu dia tersenyum dan mencapai kembali telefon bimbitnya.

“Assalamu’alaikum adik-adik akhowat tercinta! Petang ini free? Jom jumpa di tempat biasa untuk berbulatan gembira! Rindu kalian lillah. Lepas berbulatan gembira, kita dinner!”

Message delivered. Dan Saleha benar-benar tersenyum selepas tangis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *