Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Cerpen : Kerana Kamu Sahabatku (1)

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit picture : http://oer-wout.deviantart.com/

Credit picture : http://oer-wout.deviantart.com/

“Wan, kalaulah satu hari nanti aku menjadi orang yang sangat lain daripada diri aku yang sekarang. Err, maksud aku, jadi jahatkah? Kamu masih nak jadi sahabat aku tak?”
Tanya Suib sambil berseloroh.

Pemandangan yang sungguh indah pada petang itu. Usai solat Asar, Suib dan Ikhwan sepakat untuk duduk bersantai di tepi pantai pasir putih.

Syed Muhammad Nurul Ikhwan tersenyum.

“Kamu rasa, saya nak biarkan Iba ke jadi macam tu? Naa. Takkan, inshaAllah. Saya tetap akan jadi sahabat Iba walau apapun. Bukankah sahabat itu diwaktu susah dan senang,” Ikhwan menjawab sambil mengenyitkan mata kepada Suib.

Abdul Suib tersengih menampakkan barisan giginya yang teratur.

“Entahlah. Tiba-tiba terfikirlah, Wan. Dimasa depan, aku tak tau nasib aku macam mana. Lagi-lagi bila kita dah bawa haluan masing-masing.. Berjayakah aku ek? Kot aku jadi gangster ke, Ah Long ke, perompak bersiri ke. Eh, ada ke perompak bersiri?” Ketawa Suib pecah. Tangannya menolak bahu Ikhwan.

Ikhwan turut tergelak kecil, menolak cermin mata ke pangkal hidung.

Suasana jadi sepi dari ketawa dan bicara Suib dan Ikhwan. Kelihatan Suib menarik nafas sambil menikmati pemandangan laut dipetang hari. Suib memicit tengkuk.

“Aku bertuah jumpa sahabat macam kamu, Wan!” Nada suara Suib seperti biasa namun matanya menakung manik-manik jernih. Cepat-cepat dia mengelip-ngelipkan matanya agar tidak Ikhwan perasan. “Kalau nanti aku berubah, jangan lepaskan aku ya. Tolong lempang aku sekuat mungkin, sepenuh hati..” Kata-kata Suib terhenti disitu.

Ikhwan terhenti dari menguis-nguis pasir di kakinya. Dia memandang Suib. Suib masih membuang pandangan ke arah laut. Ikhwan tahu, ada getaran kesedihan pada suara itu. Dia dapat merasainya. Mood Suib lain sikit hari ini.

“I won’t. Iba, saya takkan lupakan Iba la. InshaAllah. Saya takkan biarkan Iba jadi macam tu. Saya sayang Iba. Iba dah seperti ahli keluarga kandung saya sendiri. Saya sayang… Iba, demi Allah.” Hati Ikhwan diruntun sayu. Pantas lengannya memaut bahu Suib.

Suib tersenyum. “Walaupun aku geli sebenarnya nak cakap, tapi jujurnya aku sayang kamu as my bestfriend ever!” Dia tersengih sambil menunjukkan lambang peace atau keamanan kepada Ikhwan.

Ketawa Ikhwan pecah. Menggeleng-geleng melihat telatah sahabatnya. Pantas tangannya menggosok-gosok kepala Suib merosakkan rambutnya. “Dah habis sekolah menengah pun macam budak-budak lagi ke, Iba. Cuba action macho sikit.”

Ketawa Suib pecah lagi. Bahagia.

“Satu lagi.. Jangan lupa ingat aku sentiasa dalam doa kamu Syeikh Muhammad Nurul Ikhwan. Doa kamu, jadi bekalku dalam perjalanan di luar sana nanti. Macam kamu cakap, hati-hati kita akan bertemu dalam doa pada Tuhan yang sama..” Nada Suib riang tapi terdapat nada yang serius disitu.

Suasana menjadi sepi kembali. Hanya desiran ombak yang kedengaran. Desiran ombak itu, menenangkan. Ikut sama membelai perasaan dua orang hamba Allah yang duduk ditepi pantai. Mungkin ingin mengkhabarkan, bahawa kejadiannya kerana Allah.

Ikhwan mengangguk. “Same goes to me. Saya sayang Iba sampai syurga. Nak masuk syurga dengan Iba sama-sama. Jadi, saya dan Iba kena kuat, okay. Be strong!”

~~~~~~~~~~~~~~~

“..Saya sayang Iba sampai syurga. Nak masuk syurga dengan Iba sama-sama. Jadi, saya dan Iba kena kuat, okay. Be strong!”

“..Nak masuk syurga dengan Iba sama-sama…”

Ikhwan membuka mata. Lantas mengucapkan istighfar, “Mimpi itu lagi! Astaghfirullahal’adzim..” Ikhwan menyapu wajah dengan kedua telapak tangan. Mimpi itu kerap kali muncul dalam tidur akhir-akhir ini. Dan mimpi itulah yang mengejutkannya dari tidur di sepertiga malam. Selalu sahaja mimpi begini.

Dia menjeling jam dinding, pukul 3.16 pagi.

Ikhwan bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil air wudhu. Keluar dari bilik air, Ikhwan menadah tangan membaca doa selepas mengambil wudhu. Lalu menunaikan solat tahajjud menghadap Sang Khaliq di malam hari.

Usai solat tahajjud, Ikhwan berdoa. Disitu, terselit doa untuk sahabatnya, Abdul Suib.

“…Ya Allah ya Rahman, Ya Latiff, Ya Fattahu Ya ‘Alim.. Dengan Kebesaran-Mu, Engkau lindungilah dan temanilah kehidupan sahabatku, Suib. Ya Allah, sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan-Mu, kami dalam genggaman-Mu. Golongkanlah aku dan sahabatku dalam golongan orang yang mencintai Engkau dan yang Engkau cintai. Berilah petunjuk-Mu kepada kami ke jalan yang lurus…. Rabbana atina.. Allahumma aamiiin!”

Akhirnya, airmata kehambaan mengalir di depan Sang Khaliq.

Usai menunaikan solat witir tiga rakaat, Ikhwan duduk bersila di atas sejadahnya.

Sebetulnya, Ikhwan merindui Suib. Sudah hampir 5 tahun berlalu sejak kali terakhir mereka bertemu dan berhubung melalui medium YM. Dan tidak lama sejak itu, Ikhwan tidak menerima apa-apa berita dari Suib. Emel tidak berbalas, nombor telefon Suib sudah tidak dapat dihubungi. Suib berhenti universiti, malahan!

Ikhwan mengurut pelipis kening.

Betapa Ikhwan berharap bahawa mimpinya beberapa malam kebelakangan ini hanyalah mainan tidur semata-mata. Namun jauh dilubuk hati Ikhwan, ada sesuatu yang Allah mungkin hendak sampaikan. Sihatkah sahabatku itu, wahai Tuhan?

“Same goes to me. Saya sayang Iba sampai syurga. Nak masuk syurga dengan Iba sama-sama. Jadi, saya dan Iba kena kuat, okay. Be strong, Akhi”

Kata-kata itu sekali lagi menerjah ingatan. Sangat segar.

Abdul Suib bin Abdul Rahman, sebenarnya adalah seorang anak yatim piatu semenjak berada di kelas tingkatan 2. Dan harta peninggalan kedua orang tuanya akhirnya diwarisi Suib. Tetapi Suib dibesarkan oleh bapa saudaranya, Pak Cik Azman. Adik kepada arwah ayah Suib. Kini, setelah berpindah rumah beberapa tahun lepas, Ikhwan tidak dapat menjejaki.

Ikhwan memejam mata. Ada manik jernih yang jatuh ke pipi. Ada rindu yang mencengkam!
Ikhwan berazam. Dia akan cari Suib sehabis daya. Dia akan datang kepada Suib.

“Iba.. Saya selalu ingat Iba dalam doa saya. Tak pernah lupakan Iba. Saya….”
Ikhwan tertunduk.

“Haih..” Ada sesal pada nada Ikhwan. Dia baru tersedar. Selama ini memang Suib tidak pernah tidak didoakannya. Tapi dia tidak pernah bergerak untuk mengetahui lokasi Suib di mana. Selama ini, dia menyangka Suib ingin menyendiri untuk fokus mengejar cita-citanya. Tapi, sudah beberapa tahun berlalu..

“Iba, Iba di mana..?” bisik Ikhwan.

Mulai saat ini, Ikhwan ada misi. Ya, misi. Misi seorang sahabat!

One Comment

  1. Brandon says:

    I all the time used to read post in news papers but now
    as I am a user of internet therefore from now I am using net for
    articles, thanks to web.

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *