Ramadhan #2 : Tuhan Memberi Yang Kita Perlu

Selalu apa yang Allah berikan dalam hidup kita itu, adalah sesuatu yang kita perlukan. Dan hal itu yang akan membuatkan kita bahagia. Tetapi bagaimana kita ini mahu merasai hal yang sedemikian kalau kita terlalu asyik melihat kehidupan orang lain dan mula muak dengan kehidupan sendiri. Kita jadi mencari-cari setiap inci kekurangan itu ini dalam hidup kita. Kita akan jadi mulai menghitung-hitung; aku tak ada kereta besar. Rumah keluarga aku tidak besar. Aku tidak banyak duit untuk membeli itu dan ini.

Asal kita tahu ya, kebahagiaan itu tidak terletak pada banyaknya wang dan harta yang kita ada. Tidak terletak pada besarnya rumah serta kereta kita yang berderet sampai lima buah. Kerana wallahi! Orang yang tidak mempunyai wang dan harta sebanyak itu juga boleh bahagia. Kerana apa? Kerana menerima kehidupan sendiri dan merasa cukup dengan yang sikit. Kalau dah yang sedikit itu pun kita tidak boleh bersyukur, apatah lagi apabila kita mempunyai yang banyak. Kita akan menjadi seseorang yang tidak mahu melepaskan sesuatu kepunyaan kita secara percuma. Akhirnya menjadi kedekut dan tamak. Aduhai!

Kita mahu hidupmu bahagia? Maka mulaikan dengan menghargai kehidupan sendiri.

Sebaik-baik kehidupan yang perlu kita cemburu adalah kehidupan kita sendiri. Kehidupan kita yang selalu tunduk kepada Allah dan mengingati-Nya sentiasa. Kehidupan yang bila sampai waktu solat, ya solat terus. Bila mempunyai rezeki lebih, bersedekah tanpa berkira. Bila dikurniakan nikmat, terus memanjatkan syukur. Bila diberi ujian, tidak mengalah dan marah kepada Allah.

Sabarlah, ya. Kita tidak selamanya di dunia. Itu, tempat kita di sorga. Insya-Allah!

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Ramadhan #1 : Rahmat Ramadhan

Mungkin sesuatu yang kita rasakan dalam hati itu juga, adalah petanda rahmat dari Allah.

Salakan anjing yang bersahut-sahutan selama beberapa minit, masih kedengaran di kawasan perumahan taman sebelah. Bunyi-bunyian yang biasa kedengaran. Seperti malam-malam sebelumnya. Namun malam ini, adalah malam yang lain. Malam tadi umat Islam sudah melakukan solat terawih yang pertama. Dan subuh ini, umat Islam akan bersahur dihari pertama pada bulan Ramadhan Tahun 1439 Hijrah, bersamaan dengan 17 Mei tahun 2018 Masihi.

Apabila menjelang ramadhan itu, macam-macam yang akan kita rasakan. Perasaan yang kita alami bercampur baur, bahkan. Perasaan hiba, sedih, bahagia dan gembira. Jadi teringat kepada diri sendiri. Sama ada mahu malu atau bergembira, kerana Allah SWT masih mengizinkan hayat kita merasai ramadhan sehingga saat ini. Walaupun mungkin, 11 bulan yang sudah betapa banyaknya keculasan yang telah kita lakukan. Tetap akhirnya, Allah masih memberi peluang. Dan ramadhan ini, bukanlah bulan yang hari-harinya yang kita sanggup lalui dengan sia-sia tanpa membuat sekecil-kecil kebaikan.

Kamu tahu? Ramadhan itu bukanlah bulan untuk orang berlumba-lumba membuat amal kebaikan dan ibadah kerana mahu bertanding dengan manusia lainnya. Seharusnya, seperti hari-hari kita semasa bukan dibulan ramadhan, ibadah kita adalah kerana kita ini mahu menjadi ‘sesuatu’ yang Allah pandang dan kasihi. Bukan mahu menjadi sebut-sebutan manusia tentang betapa kita ini orangnya yang kuat beribadah. Apa sahaja kawan, yang kita lakukan, niatnya adalah diantara kita dengan Allah. Bukan kerana mahu menjadi sanjungan manusia. Makanya, bulan ramadhan ini adalah bulan yang sangat-sangat positif!

Bila kita melihat seseorang yang sangat berusaha dibulan ramadhan, maka lihatlah diri kita. Dan cemburulah kepada orang itu. Kerana dia sedang asyik dengan amalnya kerana Allah. Justeru, diri kita pula ini bagaimana?

Jadi, ayuhlah! Permulaan asas diawal bulan ramadhan pada kali ini kita baiki waktu solat kita. Bagaimana? Sebelum masuk waktu sudah siap-siap, bersih-bersih pakaiannya, mindanya serta jiwanya untuk berjumpa dengan Allah. Ya, dimulai dengan mendidik diri untuk tidak cuma sekadar melaksanakan. Tetapi menghayati. Termasuk juga, biar kita semangat diwaktu sahur kita. Biar tiada rasa keterpaksaan dalam hati apabila bangun untuk menyiapkan sahur yang bakal kita suapkan ke mulut untuk menjadi bekal tenaga sepanjang hari kita berpuasa. Biar ramadhan kali ini, kita maknai sungguh-sungguh.

Jadikan setiap hari pada ramadhan kali ini, adalah hari kegembiraan kita!

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Refleksi Ramadhan #29 : Naik Turun Istiqamah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

blogger-image-861227869

29 Ramadhan 1435H.

Hari ini, hari terakhir puasa. Hari terakhir ramadhan pada tahun ini. Ramadhan meninggalkan kita sekali lagi. Begitulah, datang dan pergi. Bukanlah persoalannya mengapa ramadhan perlu pergi? Tapi berbalik kepada diri kita sendiri.

Ibarat, ramadhan datang dengan membawa hadiah yang begitu banyak. Dan yang istimewanya, hadiah itu adalah untuk kita. Ramadhan menghulurkan, tinggal kita sahaja yang mahu ambil atau tidak. Jika kita mahu ambil, maka kita sangat bertuah dan beruntung. Jika kita tidak ambil, maka rugilah kita.

Maka persoalan untuk setiap diri kita sendiri,
sejauh mana kita telah menghargai ramadhan kali ini?

Apakah nanti selepas ramadhan ini, kita masih istiqamah atau sebaliknya? Masihkah kita menjadi hamba yang akan beramal kerana Allah Ta’ala?

Istiqamah. Sesuatu yang kita semua PERLU.

Continue reading “Refleksi Ramadhan #29 : Naik Turun Istiqamah”

Refleksi Ramadhan #28 : Aku Masih Dalam Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Cinta hati bakal pergi lagi.
Cinta hati bakal pergi lagi.

28 Ramadhan 1435H.

Borak-borak dengan adik yang sedang berada di seberang, tiba-tiba ditanya. “Kau ada buat almond london? Lusa raya ni kau jalan pi mana saja?”

Dan saya macam, “Huh? Lusa?!”
Sebetulnya, terlupa dan tidak sedar bahawa lagi dua hari eid akan menjelma.

Beberapa puluh tahun atau belasan tahun dahulu, mungkin kita adalah antara orang yang gembira sekali apabila ramadhan berakhir. Sebab yang dinanti-nanti adalah hari raya. Kita adalah orang yang paling seronok sekali dapat baju raya baru. Dapat makan makanan yang sedap-sedap. Dapat jalan-jalan berkunjungan dari rumah ke rumah saudara mara.

Tapi masa terus berlalu. Kita membesar, jadi dewasa dan kita semakin tahu. Yang sebenar-benarnya yang dinanti-nantikan itu bukanlah hari raya. Tetapi adalah hari-hari di bulan ramadhan. Hari-hari yang mana selama sebulan penuh dengan rahmat.

Nikmat yang manakah lagi yang mahu kita dustakan?
Nikmat yang manakah lagi yang mahu kita sia-siakan?

Semoga ALLAh merahmati.