Ramadhan #4 : Sifat Yang Terlalu Mudah

Betapa banyak hal-hal besar atau pun hal-hal kecil yang selalu membuat amarah dalam diri kita terumpan keluar. Terlalu nipisnya perasaan kita untuk sering rasa tersinggung dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Keserabutan yang timbul kerana kita mudah berfikir jauh dan dalam dari sudut yang negatif terlalu mudah mempengaruhi hidup kita dan hubungan sesama kita.

Mungkin kita pernah melalui pengalaman yang mudah marah terhadap semua perkara. Mudah untuk marah kepada kawan yang tidak memahami. Mudah untuk marah kepada bos yang seakan-akan tidak berhati perut dengan arahan yang sesedap rasa. Kita mudah rasa marah dan melenting kepada orang yang memotong kita di atas jalan raya. Kita perasaan, tak?

Terlalu mudah untuk marah.
Terlalu mudah untuk putus harapan.
Terlalu mudah unutk membenci manusia.
Terlalu mudah untuk memutuskan silaturrahim.
Terlalu mudah untuk meleka-lekakan kewajiban.

Kita itu mahu setuju atau tidak terhadap hakikat ini, ya terpulang. Kerana pada akhirnya, jika kita bertanya kepada diri sendiri, kita akan tahu jawabannya. Tapi, apakah kita tahu diantara yang mudah pada hari ini, apa pula yang terlalu susah pada zaman ini?

Kita mungkin banyak waktunya merasa terlalu susah terhadap belas kasihan. Kita terlalu susah untuk tidak berputus asa. Kita terlalu susah untuk memberitahu diri kita bahawa kita harus ada keyakinan yang besar kepada Tuan Punya Dunia. Kita terlalu susah untuk membiarkan semuanya berlalu agar silaturrahim sesama kita sentiasa terjaga. Kita terlalu susah untuk menjadi manusia yang lembut hatinya untuk tidak membenci dan memaki manusia. Kita terlalu susah untuk mencintai hal-hal kebaikan.

Jika kita tanya diri sendiri, berapa banyak kalilah setakat kehidupan kita hingga ke saat ini, apabila berlaku suatu situasi, yang menerpa fikiran kita adalah bersangka baik dan mempunyai belas kasihan?

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.