Ramadhan #3 : Tidak Ada Pemisah

Tiada siapa-siapa yang boleh merampas doamu.

Kalau ditanyakan kepada saya, apakah sebenarnya ucapan yang paling indah untuk didengari dan paling indah maknanya? Saya akan menjawab, ucapan yang indah itu adalah ucapan doa dari seseorang kepada Tuhannya. Apa lagi disaat seseorang itu berdoa, hatinya sangat percaya dan sangat yakin bahawa waktu itu adalah waktu kebersamaannya dengan Allah.

Saya tidak tahu jika kita mempunyai pendapat dan pandangan yang sama. Manusia berkehendak kepada Tuhan, itu lumrah. Walau golongan mulhid mengatakan bahawa mereka tidak mempercayai adanya Tuhan atas segala kejadian di dunia ini, namun percayalah bahawa ada ruang yang tidak boleh terganggu disudut hati mereka bahawa mereka memang memerlukan Tuhan, yang dengan mempercayai serta meyakininya akan membuahkan kekuatan kepada manusia. Lumrah manusia itu, adalah meminta-minta kepada Tuhan. Meskipun seseorang itu tidak pernah melakukan ketaatan ibadah atau meskipun seorang hamba itu sering melakukan jenayah. Disudut hatinya, pasti pernah terdetik mengadu, merintih dan meminta kepada Sang Tuhan.

Doa itu adalah hak eksklusif teristiwa untuk setiap dari kita. Kerana apa? Kerana tiada siapa yang dapat merebut waktumu untuk berdoa kepda Allah. Bahkan, tiada sesiapa yang dapat merebut doa-doa yang kamu lantunkan sendiri kepada Allah.

Yang pastinya, doa itu bukan ditujukan kepada manusia. Doa itu adalah antara kita dengan Allah. Doa itu adalah ucapan oleh seorang hamba yang mengharapkan berhubungnya segala luahan dan permintaannya kepada Allah dan didengari oleh-Nya. Disaat bibir atau hati melafaz doa dan meminta-minta kepada Allah, kita harus YAKIN bahawa Allah mendengar segala doa.

Walaupun doa yang hanya sekadar bisikan.

Hari ini sudah masuk hari ke-3 dibulan ramadhan. Saat ini ketika, mungkin kamu yang membaca sudah siap sahurnya. Mungkin ada juga yang belum kerana perbezaan waktu setiap daerah. Jadi, bagaimana potensi doa kita dibulan ramadhan ini?

Saya jadi teringat kejadian semalam ketika saya dan adik-adik sudah siap-siap di meja makan menunggunya waktu berbuka. Bila sudah duduk semeja, ada saja yang mahu digelakkan, yang mahu dibahankan, yang mahu diisukan. Ya, tidak salah itu. Tapi tiba-tiba teringat, alangkah bagusnya pada waktu-waktu itu kita mengambil masa untuk berdoa. Kerana waktu ketika itu, adalah antara waktu yang afdhal dan makbul doanya. Rugi kalau kita tidak meluangkan waktu seketika untuk berdoa kepada Allah.

Maksud hadis : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil, dan doanya orang yang terzalimi.” (HR: Tirmidzi)

Bulan ramadhan, bulan mulia yang merupakan hadiah daripada Allah Yang Maha Mulia. Ayuh, kita sama-sama rebut sekecil-kecil kebaikan dan pahala dibulan ramadhan ini. 11 bulan lamanya kita menunggu bulan ini, pasti tidaklah kita mahu mensia-siakan keberadaannya bersama kita dalam tempoh 30 hari ini. Rajin-rajinkan berdoa. Rajin-rajinkan berbuat kebaikan.

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.