Ramadhan #1 : Rahmat Ramadhan

Mungkin sesuatu yang kita rasakan dalam hati itu juga, adalah petanda rahmat dari Allah.

Salakan anjing yang bersahut-sahutan selama beberapa minit, masih kedengaran di kawasan perumahan taman sebelah. Bunyi-bunyian yang biasa kedengaran. Seperti malam-malam sebelumnya. Namun malam ini, adalah malam yang lain. Malam tadi umat Islam sudah melakukan solat terawih yang pertama. Dan subuh ini, umat Islam akan bersahur dihari pertama pada bulan Ramadhan Tahun 1439 Hijrah, bersamaan dengan 17 Mei tahun 2018 Masihi.

Apabila menjelang ramadhan itu, macam-macam yang akan kita rasakan. Perasaan yang kita alami bercampur baur, bahkan. Perasaan hiba, sedih, bahagia dan gembira. Jadi teringat kepada diri sendiri. Sama ada mahu malu atau bergembira, kerana Allah SWT masih mengizinkan hayat kita merasai ramadhan sehingga saat ini. Walaupun mungkin, 11 bulan yang sudah betapa banyaknya keculasan yang telah kita lakukan. Tetap akhirnya, Allah masih memberi peluang. Dan ramadhan ini, bukanlah bulan yang hari-harinya yang kita sanggup lalui dengan sia-sia tanpa membuat sekecil-kecil kebaikan.

Kamu tahu? Ramadhan itu bukanlah bulan untuk orang berlumba-lumba membuat amal kebaikan dan ibadah kerana mahu bertanding dengan manusia lainnya. Seharusnya, seperti hari-hari kita semasa bukan dibulan ramadhan, ibadah kita adalah kerana kita ini mahu menjadi ‘sesuatu’ yang Allah pandang dan kasihi. Bukan mahu menjadi sebut-sebutan manusia tentang betapa kita ini orangnya yang kuat beribadah. Apa sahaja kawan, yang kita lakukan, niatnya adalah diantara kita dengan Allah. Bukan kerana mahu menjadi sanjungan manusia. Makanya, bulan ramadhan ini adalah bulan yang sangat-sangat positif!

Bila kita melihat seseorang yang sangat berusaha dibulan ramadhan, maka lihatlah diri kita. Dan cemburulah kepada orang itu. Kerana dia sedang asyik dengan amalnya kerana Allah. Justeru, diri kita pula ini bagaimana?

Jadi, ayuhlah! Permulaan asas diawal bulan ramadhan pada kali ini kita baiki waktu solat kita. Bagaimana? Sebelum masuk waktu sudah siap-siap, bersih-bersih pakaiannya, mindanya serta jiwanya untuk berjumpa dengan Allah. Ya, dimulai dengan mendidik diri untuk tidak cuma sekadar melaksanakan. Tetapi menghayati. Termasuk juga, biar kita semangat diwaktu sahur kita. Biar tiada rasa keterpaksaan dalam hati apabila bangun untuk menyiapkan sahur yang bakal kita suapkan ke mulut untuk menjadi bekal tenaga sepanjang hari kita berpuasa. Biar ramadhan kali ini, kita maknai sungguh-sungguh.

Jadikan setiap hari pada ramadhan kali ini, adalah hari kegembiraan kita!

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.