Ramadhan #9 : Selalu Ada Kisah Dibelakang Tabir

Yang terlihat tidak selalu betul. Yang didiamkan tidak selalu salah.

Saya jadi kurang suka untuk skrol facebook sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila ada sesuatu yang berlaku yang menjadikan satu Malaysia heboh. Sebab saya akan menelusuri komen demi komen tanpa sengaja, dan kadang-kadang sebab terlupa. Ada yang positif, ada yang negatif. Seiring, kata orang.

Sebatas pengetahuan kita terhadap suatu berita atau banyak perkara, kita sering memberikan komen tentang berita tersebut. Kita menilai pada apa yang kita tahu, dan kerap meninggalkan hukum di dalam minda kita bahawa sekian dan sekian berlaku kerana sekian dan sekian. Semudah itu untuk kita memberikan kesimpulan pada tindak-tanduk serta kehidupan orang lain.

Jarang sekali untuk kita berfikir apa sebab dan kisah disebalik sesebuah perkara. Samalah seperti apabila kita diuji Tuhan, jarang sekali untuk kita berfikir kenapa dan apa yang Tuhan mahu berikan kepada kita sesudah ujian yang kita sedang hadapi. Kita jarang mahu berfikir di luar kotak dan menyikapi perkara yang berlaku, mungkin kerana terdorong akan hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut. Kerana apa? Kerana memang sikap kitalah. Sikap kita yang hanya mahu menerima dan menghakimi sebatas yang kita tahu.

Tapi ya, tetap saja kalau kita mahu belajar untuk menjadi lembut hati dan belajar untuk memberikan simpati dan empati serta cuba memahami keadaan, masih belum ada kata TERLAMBAT untuk hal-hal seperti itu.

Hal pertama dan terpenting kalau kita mahu berubah dari seorang manusia yang mudah terhibur dengan kesilapan, kelemahan dan tindakan orang lain yang pada kita itu “kenapalah dia bertindak macam tu, macam takda otak mahu berfikir!”, adalah kita kena beritahu pada diri sendiri bahawa setiap sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu, ada sisi lain yang kita tidak ketahui.

Maksudnya itu apa?

Maksudnya, ada cerita atau kisah yang kita tidak tahu atas tiap-tiap yang berlaku.
Lebih-lebih lagi apa yang berlaku itu adalah dalam hidup orang lain.

Sentiasa akan ada persoalan;

Kenapa dia bertindak macam tu? Kenapa dia jadi macam tu?
Apa yang membuatkan dia tekad sampai tahap yang sedemikian?
Peristiwa dan pengalaman apa sebenarnya yang mendorong hal itu?

Atau cukup sahaja mengambil contoh terhadap diri kita sendiri. Atas tiap-tiap perbuatan kita, dan setiap keputusan yang kita buat dalam hidup. Apa yang mendorong kita mahu melakukan hal-hal yang mahu kita lakukan?

Orang lain hanya boleh lihat keputusan yang kita buat, dan gerak kerja kita dalam kehidupan. Tapi jarang benar orang lain mahu faham dengan sesungguhnya kenapa kita mengambil keputusan untuk melakukan sekian dan sekian serta apa sebenarnya misi dan visi yang kita mahu capai dengan keputusan itu. Itu tidak termasuk lagi dengan hal-hal seperti, ada orang lain yang menghakimi keputusan yang kita buat itu begini dan begitu. Dan kita merasakan kepedihan dalam hati bila orang lain yang tidak pernah bertanya rasional disebalik keputusan kita, terus menghukum kita dengan pandangan-pandangan mensia-siakan hidup, buang masa, tidak bercita-cita dan mahu menjadi manusia yang tidak berguna.

Ayuh, jujurlah.. Apa perasaan kita? Pasti kita merasa sedih, terkilan dan marah.

Padahalnya kita ada sebab kenapa kita mengambil keputusan itu. Kita ada cita-cita dan misi dengan cita-cita itu. Kita terdorong kerana banyak hal untuk sebuah keputusan tersebut. Tetapi yang orang lain nampak, hanyalah perbuatan seseorang yang tiada wawasan dalam hidup. Lucu ya, sedih pun ya.

Ada banyak cerita yang kita tidak tahu mengenai setiap seorang yang kita kenali. Ada banyak sebab yang kita tidak tahu kenapa hal-hal sekian dan sekian terjadi dalam kehidupan seseorang. Cukuplah kita sedar bahawa, perbuatan orang lain itu ada sebab-sebab yang tersendiri yang mungkin sedikit pun kita tidak tahu.

Dan cukuplah hal itu, memberitahu dan memahamkan kita.

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Ramadhan #7 : Terburu-buru

Semua ada titik waktunya. Jadilah diri sendiri dalam menjalani kehidupan.
Credit Pic : Flickr Kayla Scully

Salah satu sebab kita itu selalu alami tekanan adalah kerana kita mahu mengikuti waktu orang lain. Mahunya, kita itu sentiasa berlumba dengan orang lain dalam memperolehi sesuatu dalam hidup, menggenggami detik berharga seperti orang lain dan menurut-turuti waktu orang lain. Kerana kita selalu terburu-buru dalam mencapai yang kita mahu tanpa mengatur kehidupan terlebih dahulu. Lebih tepatnya lagi, tanpa melihat waktu atau jam kita sendiri.

Kesannya itu, akan terlihat disaat kita sebenarnya menekan diri sendiri tanpa sedar.

Berjuang dalam hidup untuk banyak hal itu ya, wajib! Berjuang untuk menuntut ilmu kerana kita faham sesuatu, ilmu itu adalah ubat kepada ketidaktahuan kita terhadap banyak perkara. Berjuang untuk mencari duit demi kesejahteraan hidup dan keluarga itu perlu. Berjuang sendiri memperbaiki diri kerana kita faham diri kita itu bagaimana adanya, ya itu perjuangan juga namanya! Perjuangan untuk mencapai sesuatu yang banyak dalam hidup kerana dengan itu kita merasa bahawa kita sedang memaknai hidup dan diri sendiri, itu mulia namanya. Berusaha menjadi dan mencari jodoh yang baik untuk sebuah institusi kekeluargaan yang baik dimasa depan itu juga perjuangan yang mulia. Segala yang disenaraikan ini perbuatan mulia semuanya!

Tetapi apa yang tidak kena? Kerana acapkali, kita selalu melihat pada waktu orang lain memperolehi hasil dalam perjuangannya. Lalu kita melihat diri sendiri, dan berkata bahawa kita perlu mencapai apa yang telah dicapai oleh orang lain sekarang juga! Nekadnya kita mahu memiliki seperti apa yang orang lain miliki tanpa melihat diri kita sendiri.

Apabila kita tidak dapat mencapai kemahuan kita, kita jadi tidak keruan. Kita jadi manusia yang tidak keruan. Kita jadi manusia yang tersedih sekali dalam dunia ini. Mula terasa bahawa kitalah manusia yang wujud dalam dunia ini yang mengalami nasib dan kehidupan yang paling malang sekali. Penat sampai rasa nak tertanggal semua tulang, itu pun kita juga. Merasa bahawa paling tidak dipandang oleh Allah, pun adalah kita. You see it? Nampak tak kesan dari perbuatan kita yang berlandaskan zon waktu orang lain?

Walhal, apa yang kita takutkan sebenarnya? Bukankah setiap dari kita ada bahagiannya di dunia? Ada momen dan waktu tersendiri. Ada saat eksklusif sendiri. Hanya saja, kita jangan berhenti dari menjadi seorang manusia yang berusaha. Seperti mana kita balik ke rumah orang tua dengan perasaan percaya bahawa mereka sentiasa menyayangi kita sepanjang hidup mereka, maka seperti itu juga malah lebih, perasaan kita terhadap Allah. Kerana Allah itu bukan saja mencipta diri kita, malah mencipta kedua ibu bapa kita yang walau apapun diri kita, merekalah orang yang tetap percaya, yakin dan sanggup memaafkan kita berkali-kali dalam hidup.

Jangan terburu-buru, dan lebih parah, terikut-ikut kerana orang sekeliling membuat hal yang sama. Atas alasan, kerana tidak mahu dipandang hina oleh sekeliling. Eh, malah sanggup menghinakan diri sendiri dengan memberi tekanan kepada diri sendiri!

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Ramadhan #6 : Teruslah Meminta Sampai Hilang Stres

Credit Picture by Invisible Mart

Saya tidak ingat jika saya pernah ceritakan hal-hal ini di dalam blog saya. Atau mungkin sudah saya pernah ceritakan dalam salah sebuah buku saya? Tidak apa. Anggap saja ini sesi penyegaran kembali. Biar saya ceritakan kembali melalui tulisan. Boleh saya bawa kamu sama-sama untuk terbang ke masa lalu. Yang mana setiap dari kita pada masa lalunya, penuh dengan pengajaran.

Tentang bagaimana sebenarnya hidup ini sangat hambar jika tiada ujiannya. Kita manusia, kan. Manusia itu adalah satu makhluk yang cepat bosan dengan persekitaran dan rutinnya setiap hari. Jangankan pada rutin yang tidak mencabar, rutin yang cabarannya berbeza setiap hari pun manusia boleh bosan dan merasa dengan rutin itu dia tidak melihat di mana dirinya pada masa hadapan dan betapa gelapnya masa depan yang dialami. Oh, terlupa sikit. Kita ini manusia, yang penuh drama juga. Baik lelaki dan perempuan, walau banyak perbezaan tapi banyak juga persamaan diantaranya.

Pada suatu ketika dahulu, pada jarak waktu yang tidak berjauhan, saya meminta nasihat dari dua individu yang berbeza. Malam sebelumnya usai solat Isyak, terasa sangat badan saya lemah. Bukan itu saja, malah minda saya juga terasa penat. Jangan tanya sekarang, macam mana minda yang penat itu. Kerja-kerja sedang bertimbun. Tapi itu sikit pun tidak mengecutkan rama-rama di dalam perut saya untuk hakikat esok hari ada sesuatu yang penting perlu dilakukan. Saya membawa diri ke katil. Baring dan berselimut penuh tertib. Mata saya pejamkan rapat. Ke kiri, ke kanan saya mengiring bersilih ganti tidak dapat tidur.

Sehingga satu saat, saya menangis sendiri. Haha 😛

Kiriman SMS dikirimkan kepada seorang individu terpenting dalam hidup saya. Saya tidaklah mengharap untuk dibalas pun. Tapi dua minit selepas SMS itu dikirimkan, telefon bimbit saya berbunyi. Dalam hati terus, alamak calling terus dia bagi! Saya angkat. Dan nasihat beliau adalah, pergi ambil wudhu solat dua rakaat, panjangkan doa minta yang baik-baik dari Tuan Punya Dunia. Jangan lupa minta juga nikmat tidur yang tenang. Lepas solat semua tu, letak jauh telefon bimbit dari tempat pembaringan.

Selepas itu, yang saya ingat saya terus lelap.

Individu kedua keesokan harinya setelah selesai kerja-kerja penting. Kami berjumpa untuk makan tengahari sama-sama. Saya kata kepadanya, “Weh. Hak saudara seagama bila saudara meminta nasihat, kita kena bagi nasihat yang baik-baik, kan? So, please nasihatkan aku?” Pinta saya tanpa bercerita apa-apa pun kejadian atau tekanan yang saya hadapi.

“Senang ja, Su. Macam kau selalu cakap, masalah akan berlalu, datang dan pergi. Jadi, stres-stres pun tiada guna. Yang penting kita ni, macam mana pun jangan lupa selalu meminta-minta daripada Allah. Jangan lupa doa banyak-banyak, panjang-panjang. Tu ja..”

Tamat di situ. Saya tiada bertanya atau bercerita lebih lanjut lagi. Dan dia pun tidak bertanya lebih-lebih. Kami menikmati makanan masing-masing diselang-seli dengan cerita-cerita biasa. Tapi sungguhlah saya terfikirkan sesuatu. Semalam dan hari ini, nasihat kedua-dua individu ini berikan berkisarkan hal yang sama walau cara penyampaiannya berbeza. Akhirnya saya bertanya kepada diri sendiri. Suhana, apa yang engkau dapat dari nasihat mereka berdua?

Doa. Doa banyak-banyak. Dengan doa, stres akan beransur pergi.

Sebelum ada yang setuju atau tidak, dan tetap, itu terpulang kepada anda yang membaca. Mari kita faham apa erti doa? Doa itu ialah permintaan atau permohonan yang disertai kerendahan diri dan hati kepada Allah untuk mendapatkan hal-hal yang baik sesuai apa yang Dia bakal berikan dari sisi-Nya. Jadi apa yang berlaku bila kita berdoa? Kita jadi seorang manusia yang menadah tangan, meminta dengan penuh kerendahan, dan dalam pada itu tanpa sedar sebenarnya, kita sudah menyerahkan semua urusan kita kepada Allah, pengharapan kita diberi pertolongan dan kekuatan dari Allah untuk menghadapi apapun yang sedang kita rasai.

Tidaklah bermaksud apabila kita berdoa sungguh-sungguh, semua masalah akan hilang dan lenyap begitu saja seperti tiada apa-apa yang telah berlaku. Noooo! Dia tidak berfungsi seperti begitu, ya wahai kesayangan Tuan Punya Dunia. Tapi bila kita benar-benar bergantung yakin kepada Allah, kita akan merasa satu keringanan. Kita akan merasai bahawa apa yang sedang kita hadapi dalam hidup, tidak besar berbanding dengan keringanan yang kita rasai selepas itu. Dan kita ada keyakinan mengenai kebersamaan Allah dalam setiap langkah kita. Allah tidak akan pernah membuang seseorang yang mengharap kepada Dia.

Bukankah Allah Maha Penyayang Maha Pengasih?

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.

Ramadhan #5: Yang Teruji

..yang ada sesuatu dalam hidupnya.

Orang-orang teruji yang sedang berada di seluruh dunia.

Sementara kita tiada rehat atau cuti dari sesuatu yang bernama ujian dari pelbagai sudut dalam hidup, ujian yang kecil mahupun yang besar. Ala kulli hal, bulan ramadhan ini tanpa mahu menipu diri sendiri adalah bulan kerehatan kepada jiwa. Bulan yang saya rasakan bahawa mungkin kebanyakan orang sedang cuba untuk menumpukan perhatian kepada diri sendiri dan ibadah kepada Allah. Yang masih memikirkan ujian namun tidak menjadi lemah dengan kehadirannya.

Orang-orang yang bercelaru jiwanya. Yang terlalu memikirkan masa-masa terkedepan dan membayangkan apa yang sedang menunggunya dimasa depan. Yang antara berani, bahagia dan resah untuk meneruskan langkah kerana takut akan sesuatu yang tidak diingininya terjadi. Saya suka untuk nasihatkan diri saya sendiri, tiada apa yang kita boleh lakukan selain sudah melakukan yang terbaik. Masa itu bukan kita yang mengawalnya. Manusia juga begitu. Jauh sekali untuk kita dapat mengawal manusia. Melainkan kita sendiri yang perlu mengawal dan memastikan bahawa diri kita sendiri masih on track.

Keresahan si ibu dan bapa yang umurnya semakin meningkat senja, namun masih terus memikirkan anak-anaknya. Kerisauan sentiasa dihati mereka tentang bagaimana mereka akan menjaga diri mereka, hubungan mereka sesama adik beradik, dan peranan mereka sebagai seorang anak apabila kelak si ibu dan bapa kembali kepada Maha Pencipta. Resahnya si ibu dan bapa walau gembira melihat anak-anaknya membesar sihat, tapi selalu saja pandangan mereka terhadap anak-anak mereka itu, anak-anak tetaplah anak mereka yang masih kecil seperti suatu ketika dahulu.

Tongkahan dagu si suami beserta bebanan dibahu dan dalam jiwa tentang bagaimana untuk dia menanggung keluarga kecilnya yang semakin hari semakin bertambah keperluan dan belanja. Bebanan mindanya penuh dengan kekhuatiran tentang bagaimana dia mahu memberikan pendidikan kepada anak-anaknya tanpa mahu berhutang dan meminta-minta. Bebanan jiwanya yang paling terasa, betapa mahunya dia menyediakan keselesaan kepada keluarga kecilnya.

Hiba seorang anak yang melihat ibunya sakit menanggung ujian nikmat kesihatan yang baik yang semakin ditarik oleh Tuan Punya Dunia. Bagaimana robek dan terluka yang sangat dalam jiwanya apabila setiap kali melihat ibunya terbaring dengan penuh kesakitan. Sehingga suatu saat, berkali-kali dia memohon kepada Allah, biar Allah memindahkan kesakitan itu kepadanya lalu biar Allah memulihkan ibunya kembali sihat seperti sediakala. Di penjuru hospital, dia berdoa perlahan. Ya Allah, jangan Engkau ambil ibuku. Aku belum siap melepaskan dia. Biarkan aku yang meninggal terlebih dahulu, kerana aku tidak sanggup hidup tanpa ibuku.

Tentang sebuah keluarga yang tayangan mata mereka adalah keganasan, hujan peluru, dentuman bom yang berjatuhan, serta penindasan kepada ribuan keluarga yang keadaannya seperti mereka. Tiada yang menginginkan kehidupan yang tidak aman seperti ini. Tiada ibu dan bapa yang mahu anak-anaknya menangis ketakutan di tanah sendiri. Tiada seorang ibu yang sanggup meriba anaknya yang diambang sakaratul maut. Dan tiada seorang ayah yang dengan rela mengebumikan anaknya dengan tangannya sendiri. Tatkala diangkatnya ke liang lahad, dia teringat sewaktu anaknya masih bayi disaat dia mendukungnya buat pertama kali. Maka saat dia meletakkan jasad anaknya di atas tanah, dia terkenang bagaimana dia menidurkan anaknya yang kini tanpa nyawa suatu ketika dahulu mendodoinya lalu menidurkannya di atas tilam.

Sekarang.. Kita sahajakah yang ada ujian dalam hidup? Kita sahaja yang berduka?

Semoga Allah menerima amalan
darimu dan dariku
saudaraku.