Semua Orang Berhak Kepada Ilmu

Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang suka mencari ilmu.

Macam mana mahu mula, ya.

Pada hari Sabtu lepas, 21 April 2018, guru yang pernah mengajari saya waktu bersekolah dulu menjemput untuk sembang-sembang motivasi dengan adik-adik pelajar sekolah di bawah kelolaan beliau. Saya terima jemputan tersebut dengan berbesar hati dan teruja. Lagi pula, sudah lama tidak bertemu guru-guru saya yang mulia. Teringat pula bagaimana ajaran dan didikan mereka, yang boleh menjadi guru serta kawan kepada kami suatu masa dulu.

Hari sebelum itu, Cikgu Alys ada memaklumkan kepada saya bahawa adik-adik pelajar yang ada di sekolah tersebut sebahagiannya ada kekurangan dari sudut dokumentasi dan hal tersebut sering membuatkan mereka rendah diri untuk berdepan dengan dunia luar. Saya jadi sayu sungguh.

Pertama, kerana anak-anak sekolah seperti mereka seharusnya tidak perlu sibuk dan risau memikirkan hal-hal yang berkaitan dokumentasi diri. Kerana tugas mereka adalah untuk menikmati hari-hari mereka sebagai seorang kanak-kanak dan pelajar. Berasal dan membesar di negeri yang dalam kalangan kawan-kawan menghadapi masalah yang sama, saya boleh faham perasaan adik-adik tersebut.

Kedua, saya adalah antara salah seorang yang teguh berpendapat bahawa hak untuk belajar dan mendapatkan pelajaran adalah hak semua orang. Lebih-lebih lagi bagi seorang kanak-kanak seperti adik-adik sekolah rendah tersebut.

Ketiga, masalah ini bukan saja dihadapi oleh Negeri Di Bawah Bayu ini. Bahkan di tanah semenanjung Malaysia juga ada berhadapan dengan perkara yang sama. Tapi memang masalah tersebut majoritinya berlaku di Negeri Sabah ini.

Untuk pengetahuan, adik-adik pelajar tersebut semuanya lahir di Malaysia ya. Namun tidak mendapat keistimewaan dari segi dokumentasi seperti mana anak-anak yang ibu bapanya pemegang kad pengenalan biru.

Saya hanya mampu untuk berkongsi cerita yang indah-indah dan tidak dilupakan sedikit duka, bagaimana saya dan sebahagian kawan-kawan suatu masa dahulu juga pernah bersekolah di sekolah persis di mana mereka berada sekarang. Namun hal itu tidak pernah membuatkan sebahagian besar dari kami untuk menuntut ilmu kerana masih ingat pesan-pesan guru kami.

Satu hal yang saya tekankan kepada adik-adik tersebut. Kerana saya pernah melalui umur dan pengalaman yang hampir sama dengan mereka, mereka cuma perlu ingat satu perkara. Mahu menjadi nakal, boleh. Kerana nakal itu tidak akan lari dari sifat anak-anak sekolah seperti mereka. Tiada warnanya zaman kanak-kanak seseorang kalau tiada pengalaman nakal untuk diingati. Tetapi, saya kata, biarlah nakal kalian nakal yang berakal.

Mungkin saya yang terlalu melankolik atau apa. Tapi apabila saya cuba untuk menatap wajah dan mata mereka satu persatu, sepertinya ada sinar harapan dan sinar ketidakpastian. Saya mengharapkan yang terbaik buat mereka semuanya. Semoga suatu hari nanti, mereka semua akan berjaya. Pentingnya ilmu dalam hidup, minda juga terisi dengan pengetahuan.

Terima kasih Cikgu Alys yang suaranya masih mantap menggugurkan jantung, dan Cikgu Zieyan (si baju putih) yang sentiasa ceria dan selalu buat anak-anak muridnya selesa dengan dia. Mereka ini adalah cikgu kami yang serasanya tidak pernah kelihatan tua. Malahan kami para pelajarnya sekarang ini yang terlebih kelihatan matang. Aku sayang kamu, Cikgu. *ketawatutupmulut

Semoga diberikan ketabahan selalu mendidik anak bangsa!