Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

August 10th, 2016:

Antara Kita Dengan Allah Dengan Manusia

Allah suruh jaga amal. Bukan membantutkan amal.

Allah suruh jaga amal. Bukan membantutkan amal.

“Zaman orang berbangga dengan keburukan, elok kita banyakkan cerita kebaikan biarpun macam masuk bakul angkat sendiri.” – Ahmad Saifuddin Amran

Ada orang kata, jangan tunjuk amal kebaikan. Nanti riyak, ujub, takabbur jadinya diri. Tapi pada pendapat saya, jika amal kebaikan itu adalah asas ‘common sense’ yang manusia kini sudah lupakan, maka perlu sekumpulan atau pun individu mempamerkan hatta sekecil kebaikan. Niatnya bukan mahu dipuji manusia ya.

Ada orang, tidak bersetuju jika seseorang itu banyak ‘bercakap’ di laman mukabuku, katanya sengaja hendak memberitahu orang lain yang dia itu baik orangnya. Tapi saya pelik, dalam masa yang sama, orang-orang yang tidak bersetuju ini, tidak akan mempunyai fikiran yang sama hebatnya apabila orang mempamerkan perbuatan buruk malah berbangga-bangga pula dengannya. Kenapa yang itu tidak dibidas pula?

Adapun perbuatan amal ibadat seperti solat atau amalan-amalan lain seperti ibadah sunat, sedekah dan yang seangkatan dengannya.. Saya setuju agar seseorang yang mengharapkan hanya kasih-sayang Allah, tidak membesar-besarkan mengenainya. Takkan menulis begini di dinding mukabukunya,

“Alhamdulillah. Baru selesai tahajjud dan solat hajat 40 rakaat.”
“Baru sahaja menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk.”
“Saya ni solat penuh 5 waktu sehari ditambah solat sunat.”

Untuk yang begini, kita mungkin akan jadi seperti, “Meh?!”

Saya jadi sedar, dunia sekarang sedang memasuki fasa perbuatan kebaikan itu dianggap asing. Manakala keburukan itu suatu yang biasa. Dan orang yang menuturkan ayat atau perbuatan yang sopan dianggap KOYA semata-mata menunjuk baik. Manakala orang yang tidak berakhlak dan bermoral disanjung dan dipuja kononnya trend semasa.

Jangan hanya tahu sebarkan video, gambar atau kata-kata yang hanya membuat kita tertawa, tapi saham dosa bertambah. Tapi sebarkanlah kebaikan-kebaikan.

Saya percaya, masih ramai orang-orang yang baik yang masih wujud di atas muka bumi ini. Salah seorangnya, mungkin adalah anda.