Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

July 29th, 2015:

Kita Manusia Tidak Sama

Assalamu’alaikum w.b.t

Kita tidak sama, tapi kita tidak berbeza. Credit Picture : http://aoao2.deviantart.com/

Kita tidak sama, tapi kita tidak berbeza.
Credit Picture : http://aoao2.deviantart.com/

Bila hari raya atau bulan Syawal menjelma, itu adalah kesempatan terbaik (biasanya) untuk berkunjung ke rumah sahabat-sahabat yang bertahun tidak berjumpa. Sekurang-kurangnya, kalau bulan Syawal, berkunjung ke rumah sahabat-sahabat itu walau sudah malam menjengah, kelihatan normal dan tidak menyusahkan. Sebab norma masyarakat Malaysia, cara sambutan rayanya memang begitu. Takdalah janggal sangat datang rumah orang.

Maka kesempatan seperti ini tidak patut dilepaskan. Berkunjung ke rumah sahabat sekolah rendah, sekolah menengah, berkunjung ke rumah guru-guru dan yang seangkatan dengannya. Bila lagi hendak berkunjung seperti ini, kan? Saya sendiri mengira, ini adalah antara hikmah hari raya.

Seperti biasa, bila berjumpa dengan kawan-kawan lama, pasti ada beberapa orang diantaranya yang suka berdiskusi. Part ini paling saya suka. Walaupun part menyakat loyar buruk tak bertauliah itu yang paling banyak haha. Politik, masyarakat, keluarga, pasangan hidup, malah masalah hidup juga tidak terlepas dari dibicarakan. Jangan tidak percaya.

Itu menarik. Apa yang tidak menariknya adalah apabila kita bersembang, lalu timbul di hati kita. “Kehidupan dia lebih baik, beruntunglah dia. Kehidupan aku bukan macam dia. Entah apalah nasib aku macam ni. Oh Tuhan..” Monolog hati yang emosional diiringi lagu sedih.

Sebenarnya, malang sangatkah nasib kita? Sedih sangatkah hidup kita?

Jangan Terlalu Rendah Diri

Percaya atau tidak, rahsia kebahagiaan dalam hidup kita dan kegembiraan kita adalah apabila orang lain yang kita tahu sekadar namanya tapi tidak kenal kehidupan peribadinya, atau kejayaan sahabat-sahabat kita, kita tumpang gembira dan bahagia untuk dia.

Dengan cara itu, kita akan merasa bahagia dan gembira. Tetapi kalau kita melihat kejayaan sahabat-sahabat kita dan orang lain, lalu kita mengenang nasib kita dan mengatakan bahawa kita memang bernasib buruk, maka sebenarnya kita tidak lain tidak bukan hanyalah membuatkan diri kita hilang keyakinan. Walhal sebenarnya dunia akan terus berputar dan masa akan terus berjalan walaupun sama ada kita gembira mahupun tidak gembira dengan kehidupan ini.

Pilihan apa yang kita ada?

Kita gembira bila sahabat kita gembira dengan kejayaan mereka. Bukan itu sahaja, kita kena ambil inspirasi juga dari kejayan orang-orang sekeliling. Orang-orang yang berjaya itu berjaya sebab mereka bergerak dan berusaha untuk berjaya. Bukan duduk saja-saja, lalu kejayaan datang dan cakap, “Aku adalah kejayaan. Mind to pick me?” Dan lebih baik jika kita meminta nasihat dalam hidup.

Meninggi diri itu tidak bagus. Satu penyakit hati dan penyakit mental. Tapi, merendah diri pun tidak bagus juga. Merendah diri itu adalah satu cara kita membunuh kebolehan dan bakat dalam diri kita! Percaya? Sebab dengan rendah dirilah, kita akan merasa tidak berguna. Kita akan merasa bahawa nasib kita memang ditakdirkan malang. Kita akan rasa orang lain lebih beruntung daripada kita yang sentiasa tidak bernasib baik. Yang buruk itu, semua kita.

Jangan, kawan.

Rezeki di dunia, Allah SWT sudah bagi dan tetapkan. Tinggal sahaja kita berusaha dan berusaha. Jangan persoalkan lambat atau cepatnya rezeki kita. Persoalannya adalah, kita terus berusaha atau berhenti berusaha. Jangan dengki terhadap kejayaan orang lain.

Allah SWT berfirman,

“..dan tidak satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya”
(Surah Hud, ayat 6)

Bertenang dan Bersyukur

Rileks-lah!

Yang penting, keluarlah melihat dunia. Dan berani berusaha serta jangan lupa.. Jalani hidup kita seadanya. Usaha, jangan pernah berhenti. Dan dalam hidup, jangan pernah tinggalkan kejujuran dan kerendahan hati serta sangka baik selalu terhadap semua orang.

Jomlah.. Kita berusaha dalam bidang kita masing-masing.

Akan ada untuk diri kita dan keluarga kita, seandainya kita tidak pernah jemu untuk berusaha. Jangan sesekali putus asa. Dan seperti mana saya selalu cakap pada diri sendiri, maka saya akan tulis lagi dan lagi biar anda baca sampai muak dan muntah hijau (okey itu terlampau!). Jangan putus asa, jangan pernah putus asa. Jangan, jangan dan jangan. Jalan di hadapan masih panjang untuk kita tempuh. Kita ingat kita ini siapa mahu berhenti di pertengahan jalan, huh?

Antara kehidupan saya dan kehidupan anda, kita tidak pernah sama.

Tapi kita sentiasa ada sesuatu yang banyak untuk disyukuri, bukan? Chill-lah! Hidup ini juga terlalu singkat untuk perkara-perkara yang melemahkan jiwa kita dari berusaha. Jadi, senyumlah, positifkan diri dan berbuat baiklah kepad orang lain.

Senyum.
Selalu. Okey?

Semoga ALLAh merahmati.