Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

June 8th, 2015:

Hidup Ini Jangan Penat Memberi

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Jangan pernah merasa lelah dalam memberi. Credit Picture : http://madimar.deviantart.com/

Jangan pernah merasa lelah dalam memberi.
Credit Picture : http://madimar.deviantart.com/

Saya belajar satu perkara hari ini.

Walau kita mempunyai banyak kekurangan sekalipun, tidak kiralah dalam kekurangan diri, fizikal, atau kekurangan dari segi kewangan sekalipun, jangan sesekali merasa penat dan berhenti untuk memberi dalam bentuk apapun.

Kalau kita mampu untuk memberi bantuan dalam bentuk fizikal, maka berilah. Kalau kita mampu memberi bantuan dalam bentuk fikiran, maka berilah. Kalau kita kurang mampu untuk memberi banyak dalam bentuk kewangan, maka dalam bentuk sedikit pun, berilah.

Kelebihan yang banyak, tidak menjamin untuk seseorang itu menjadi seseorang yang selalu memberi. Percayalah. Tidak semua manusia itu sama, dan tidak semua hati manusia itu mempunyai rasa yang sama. Tubuh badan yang sempurna juga tidak menjanjikan manusia itu mempunyai akhlak yang sempurna. Semuanya atas pilihan dan kehendak manusia itu sendiri. Sebab itu, pilihan diantara mahu terus memberi atau berhenti memberi dalam hidup ini, juga termasuk dalam pilihan dan kehendak manusia itu sendiri.

Err. Faham, tidak? Harap anda faham.

Dan untuk menjadi seseorang yang sentiasa memberi, tidak memerlukan kita untuk menjadi kaya raya di dunia ini. Ikut kemampuan yang kita boleh beri, maka berilah. Kerana hakikatnya apa yang kita beri itulah, yang menjadi milik kita sebenarnya.

Biar manusia tidak iktiraf kita, kawan. Kita tidak perlukan pengiktirafan berupa puji-pujian dari manusia. Yang penting, kita tahu niat kita dan kita sentiasa memperbaiki serta meluruskan niat kita. Dalam melakukan sesuatu, ketepikan fikiran kita mengenai penerimaan manusia, tapi utamakan minda kita untuk berfikir mengenai bagaimana penerimaan Allah Ta’ala sekiranya kita melakukan apa yang hendak kita lakukan.

Semoga ALLAh merahmati.