Jangan Kamu Salahkan Sesiapa

Assalamu’alaikum wbt.

Credit to : whoever made this picture.
Credit to : whoever made this picture.

Butang next ditekan berkali-kali pada Ipod. Bermacam-macam lagu yang belum sempat penyanyinya mengeluarkan suara, terus sahaja bertukar lagu lagi dan lagi. Hujan membasahi bumi Sandakan. Malam ini ketenangan hujan tidak membelai perasaan. Entah apa yang bergelodak didalam hati sekarang ini. Fikiran menerawang jauh. Sejauh alam.

Kenangan demi kenangan singgah di layar memori.

Memang otak akan membuli jasad ya untuk tidak berehat? Jasad kata, aku mahu berehat. Otak kata, jangan harap! Selalu sahaja begini. Ada yang berpengalaman sama seperti ini? Keluhan demi keluhan dilepaskan. Bukan kerana mengeluh dengan suratan takdir. Tapi kerana dari tadi pusing ke kanan, tidak kena. Pusing ke kiri, tidak kena.

Keluhan tidak mampu mengubah apa-apa. Kadang, langsung tidak membantu mana.

Hidup ini adalah bertanggungjawab kepada diri sendiri. Bahkan bukan kepada diri sendiri sahaja. Tapi kepada orang-orang sekeliling. Kepada sahabat-sahabat yang jauh dan dekat. Kepada kenalan. Kepada orang-orang di luar sana.

Dan kau tahu apa perasaan dia bilamana kau tahu kawan kau sedang nazak (dengan permainan dunia), tapi kau tidak dapat bantu dengan tangan sendiri atas beberapa faktor? Kau tahu perasaan dia macam mana? Perasaan dia, kurang enak.

Continue reading “Jangan Kamu Salahkan Sesiapa”

Pra-Ramadhan : Nasihat Untuk Jiwa

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bahagia itu bila kita patuh kepada Tuhan. Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/
Bahagia itu bila kita patuh kepada Tuhan.
Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/

Sehari sahaja lagi, kita akan menerima kedatangan tetamu teristimewa kita setiap tahun, bulan Ramadhan. Tempoh 1 bulan ini, kalau kita betul-betul cintai ia, maka kita tidak akan pernah mahu lepaskannya. Maka, harapan buat diri saya sendiri dan sudah tentunya harapan kita semua, semoga ramadhan kali ini kita mendapat rahmat dan ampunan dari Allah Ta’ala.

Dan sebagai nasihat yang terutamanya buat diri saya sendiri, jangan take for granted ramadhan kali ini. Hargai ramadhan ini. Jaga ramadhan ini. Sungguh-sungguh.

Tahu.. Yang ramadhan bulan suci. Bulan kebaikan, bulan rahmat. Tapi jangan jadikan bulan ini adalah bulan untuk kita merasa cukup dengan amalan berpuasa sahaja, dan mengabaikan ibadah-ibadah wajib atau ibadah sunat yang lain.

Jangan jadikan malammu hanya menanti sahur tanpa mendirikan solat malam. Jangan membaca alQuran tapi tidak meresap ke dalam hatimu. Jangan jadikan puasamu sekadar lapar dan jadikan berbukamu sebagai pesta makanan.

Tapi jadikan bulan ini bulan yang setiap malammu dihiasi dengan solat malam. Sahurmu untuk merebut rahmat dan berkat dari Allah. Puasamu untuk melatih jiwamu. Dan berbukamu, menjadikanmu hanya yang berganda tahu mengucap syukur.

Tanamkan keikhlasan dalam jiwamu.
Cari Allah dalam langkahmu.

Semoga ALLAh merahmati.

Apabila Kita Mengkhianati Allah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kita akan jadi pengkhianat, bila mana kita berhenti menjadi hamba Allah.
Kita akan jadi pengkhianat, bila mana kita berhenti menjadi hamba Allah.

Digelar sebagai seorang pengkhianat, tiada siapa yang terasa gembira. Pasti perkataan itu akan menyentap hati kita. Pasti akan hadir rasa amarah di dalam diri kita. Atau dalam bahasa pasar yang selalu kedengaran, ‘bikin panas!’.

Tapi tahukah kita bahawa kita sebenarnya boleh jadi seorang pengkhianat dan menjadi manusia yang khianat? Ya, apabila kita berhenti menjadi hamba Allah. Macam mana tu? Saat dan ketika kita berhenti melaksanakan suruhan Allah, lalai terhadap segala perintah-Nya, meninggalkan amal ibadah dan kebaikan dalam beragama, berhenti usaha atas agama.

Kita bakal menjadi seorang manusia yang sangat khianat!

Kawan, semua orang tahu kehidupan di atas dunia ini bukanlah mudah. Bahkan susah. Tapi kehidupan tidak juga sesusah yang kita sangka. Kerana apa? Kerana Allah tidak membiarkan kita begitu sahaja. Allah memberikan jalan dan cara hidup kepada kita. Maka, apa tugas kita? Tugas kita adalah untuk mengikuti cara hidup tersebut. Kelihatan senang? Tidak.

Apa-apa sahaja dalam hidup ini, ada cabarannya. Percaya itu.

Ada Masa Iman Naik, Ada Masa Iman Turun

Iman naik dan turun dalam kehidupan seseorang Muslim itu, perkara biasa. Terkejut? Naaa. Ya, serius. Itu perkara biasa. Tapi adalah menjadi perkara biasa yang terhina bila kita sentiasa membiarkan diri kita menjadi seseorang yang imannya sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa menurun. Dan apa yang lebih teruk lagi adalah, kita menyedarinya, namun kita masih menganggapnya perkara biasa walhal perkara itu semakin parah.

Maka entri singkat ini sekadar mahu menyapa,
dengan ingatan sayang.

Apa khabar iman kita?

Hidup Ini Jangan Penat Memberi

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Jangan pernah merasa lelah dalam memberi. Credit Picture : http://madimar.deviantart.com/
Jangan pernah merasa lelah dalam memberi.
Credit Picture : http://madimar.deviantart.com/

Saya belajar satu perkara hari ini.

Walau kita mempunyai banyak kekurangan sekalipun, tidak kiralah dalam kekurangan diri, fizikal, atau kekurangan dari segi kewangan sekalipun, jangan sesekali merasa penat dan berhenti untuk memberi dalam bentuk apapun.

Kalau kita mampu untuk memberi bantuan dalam bentuk fizikal, maka berilah. Kalau kita mampu memberi bantuan dalam bentuk fikiran, maka berilah. Kalau kita kurang mampu untuk memberi banyak dalam bentuk kewangan, maka dalam bentuk sedikit pun, berilah.

Kelebihan yang banyak, tidak menjamin untuk seseorang itu menjadi seseorang yang selalu memberi. Percayalah. Tidak semua manusia itu sama, dan tidak semua hati manusia itu mempunyai rasa yang sama. Tubuh badan yang sempurna juga tidak menjanjikan manusia itu mempunyai akhlak yang sempurna. Semuanya atas pilihan dan kehendak manusia itu sendiri. Sebab itu, pilihan diantara mahu terus memberi atau berhenti memberi dalam hidup ini, juga termasuk dalam pilihan dan kehendak manusia itu sendiri.

Err. Faham, tidak? Harap anda faham.

Dan untuk menjadi seseorang yang sentiasa memberi, tidak memerlukan kita untuk menjadi kaya raya di dunia ini. Ikut kemampuan yang kita boleh beri, maka berilah. Kerana hakikatnya apa yang kita beri itulah, yang menjadi milik kita sebenarnya.

Biar manusia tidak iktiraf kita, kawan. Kita tidak perlukan pengiktirafan berupa puji-pujian dari manusia. Yang penting, kita tahu niat kita dan kita sentiasa memperbaiki serta meluruskan niat kita. Dalam melakukan sesuatu, ketepikan fikiran kita mengenai penerimaan manusia, tapi utamakan minda kita untuk berfikir mengenai bagaimana penerimaan Allah Ta’ala sekiranya kita melakukan apa yang hendak kita lakukan.

Semoga ALLAh merahmati.