Ma’assalamah, ya Ramadhan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Selamat jalan, wahai ramadhan. Moga kita bertemu lagi dengan kasih pada tahun hadapan.
Selamat jalan, wahai ramadhan. Moga kita bertemu lagi dengan kasih pada tahun hadapan.

Ketika turun ke dapur petang tadi dengan niat untuk menyediakan juadah berbuka puasa, Mama terus memberitahu bahawa beliau telah membuat spagetti. Okelah, agak tersenyum riang di situ. Terlupa bahawasanya esok akan raya, maka saya terus sahaja bertanya, “Ma esok sahur takkan makan spagetti jugak?” Dan beliau terus berkata sambil tangan gigih menggaul bahan-bahan untuk menjadi makaroni buah, “Besok kan raya.”

Senyap. Hanya mampu mengungkap, “Oo.”

Mengikut kiraan masa dalam Islam, masuk waktu maghrib itu menandakan pertukaran hari baru. Maka sekarang ini kita sudah berada di pintu bulan syawal. Esok pagi pasti meriah dengan solat raya di masjid dan seterusnya lagi meriah dengan kunjungan saudara ke rumah.

Ketika tangan menadah untuk berdoa tadi, perlahan-lahan terasa bahang kepanasan di kelopak mata. Entah rasa apa yang berkecamuk dijiwa. Namun yang pasti, sepanjang makan tadi masih boleh control macho. Masih rancak berbual-bual tentang esok dah raya. Tapi apabila masuk ke bilik yang sunyi tanpa orang melainkan diri sendiri, akhirnya airmata tumpah.

Entah. Terlalu banyak perkara yang perlu sangat disyukuri sepanjang bulan ramadhan tahun ini. Terlalu banyak ujian dan hikmah yang Allah beri satu persatu.

Kegembiraan untuk yang bermujahadah sepanjang bulan ramadhan untuk diraikan adalah pada esok hari, 1 Syawal. Dan tidak dilupa juga untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Seterusnya meneruskan ibadah di bulan ramadhan sehingga 10 bulan yang akan datang.

Eid mubarak, kawan-kawan!

Kita bukan merintih dengan perginya ramadhan.
Kita cuma risau amal kita apakah diterima oleh Allah setelah sebulan ini?

Semoga ALLAh merahmati.